Menjadikan hospital awam pilihan utama rakyat (Utusan Malaysia 22 Nov 2024)

DALAM menanamkan keyakinan kepada Keesaan Allah pada jiwa, dia pun menanamkan semangat beramal soleh terhadap sesama manusia, dan dia pun menanamkan rasa takwa dalam setiap tindak tanduk. Jika dia mementingkan kebersihan peribadi, adalah kerana peribadi itu akan hidup di tengah-tengah masyarakat. Jika hak-hak asasi perseorangan dilindungi, hak bangsa-bangsa dan suku bangsa pun dilindungi. Keduanya mesti seimbang.” – Buya Hamka.



Pada tahun 2019, mySalam atau Skim Perlindungan Masyarakat, yakni skim insurans bagi golongan B40, diperkenalkan dan saya telah mengulas bagaimana polisi insurans kesihatan sebegini adalah permulaan awal dalam mencairkan keberkesanan hospital awam.

Pada hemat saya, dana yang diperuntukkan untuk sistem insurans sosial sebetulnya adalah dana yang harus digunakan untuk memperkasakan lagi sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan di seluruh negara. Selepas hampir lima tahun mySalam diperkenalkan, natijah yang mula terserlah adalah kepincangan dalam sistem kesihatan nasional dengan pelbagai aduan terutama mengenai kekurangan sumber manusia, bilamana semakin ramai kakitangan yang meninggalkan perkhidmatan di hospital awam.

Walaupun Belanjawan 2025 telah memperuntukkan sebanyak RM45.27 bilion bagi mengukuhkan perkhidmatan kesihatan, tapi persoalan utama masih berlegar-legar di minda rakyat. Apakah peruntukan ini akan mengembalikan perkhidmatan pakar perubatan, doktor dan jururawat terlatih ke hospital awam? 

Menteri Kesihatan sebelum ini telah menjelaskan bahawa daripada jumlah peruntukan ini, RM38.53 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus termasulah melalui penambahan emolumen kakitangan kesihatan, pengoperasian fasiliti-fasililiti kesihatan, perolehan bekalan ubatan dan pemerolehan aset. Manakala baki sebanyak RM6.74 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Pasti ramai yang menarik nafas lega mendengar janji manis yang kemas menyaluti pembentangan Belanjawan 2025. Persoalannya: Adakah Belanjawan 2025 mencukupi untuk menaikkan semula kepercayaan rakyat kepada kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan awam? Sedangkan mutakhir ini, setiap wad di hospital awam kelihatan sesak dengan bilik wad yang sepatutnya hanya ada empat buah katil dimuat sendat sehingga acap kali menempatkan lapan orang pesakit. Kelengkapan, perkakas dan peralatan yang ada di hospital awam juga kelihatan uzur malah banyak yang sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Baru-baru ini tular video seorang kanak-kanak lelaki setia menjaga ibunya yang sakit strok di hospital awam. Dalam pada ramai netizen yang mengulas mengenai nilai tanggungjawab tinggi yang telah dipamerkan oleh kanak-kanak itu, tidak kurang juga banyak sekali mata-mata netizen yang pantas menangkap keadaan dan suasana di hospital itu yang kelihatan daif.  

Jika dulu standard di hospital awam menjadi kebanggaan negara dan sering dinobatkan sebagai antara sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia, namun kini reputasi ini semakin mencair apabila terlalu ramai pegawai kesihatan yang memilih untuk keluar negara berbanding meneruskan perjuangan menabur bakti di hospital awam seluruh negara. Pilihan mereka sangat terbatas. Sama ada meneruskan perkhidmatan di hospital awam dalam negara dengan gaji yang dilihat tidak setimpal atau berpindah ke luar negara yang menjanjikan gaji yang berlipat kali ganda lebih tinggi. 

Maka tidak pelik apabila prestasi perkhidmatan penjagaan kesihatan negara dilihat semakin menurun. Institut Legatum, yang merupakan firma pelaburan antarabangsa, telah menyenaraikan Malaysia di tangga ke-42 dalam penilaian perkhidmatan penjagaan kesihatan awam terbaik di seluruh dunia bagi tahun 2024. Agak mengejutkan bagaimana negara kita disenaraikan lebih rendah berbanding Thailand yang berada di tangga ke-31. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri turut mengumumkan cadangan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri yang lebih baik dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Inisiatif untuk melihat rakyat Malaysia cakna dan bijak menguruskan kesihatan diri adalah mustahak agar sistem dan struktur perkhidmatan kesihatan awam lebih berdaya tahan, mampan dan mandiri. Mustahil hospital awam tidak padat dan sesak jika saban hari terpaksa menerima para pesakit yang mengalami gejala yang boleh dielakkan melalui amalan, pilihan dan gaya hidup yang lebih sihat. 

Trend penjualan makanan bergula, berkolesterol tinggi dan tidak sihat sewajarnya diberikan lebih penekanan dan dibanteras agar diet yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan tidak dijadikan budaya pemakanan rakyat. Kerana itu, polisi melalui Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 yang telah dilancarkan pada 29 Jun lalu perlu diperkasakan bagi mengawal sisi gelap diet tidak sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Saya amat berharap agar sistem penjagaan kesihatan di seluruh negara menerima perubahan positif yang mendesak diperlukan. Dalam masa yang sama, sudah tiba masa rakyat semakin cakna dan mengambil kawalan dalam penjagaan kesihatan diri mereka memandangkan pilihan yang ada jika kita jatuh sakit semakin menipis.  


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Nov 22, 2024.


Comments

Popular posts from this blog

Pengkhianat Negara Makin Ramai (Utusan Malaysia 28 Ogos 2020)

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)