Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)
Di bawah adalah satu-satunya rencana yang ditendang keluar daripada penyiaran di ruang Cakna yang diniatkan untuk 05/06/2017:
Aneh bagaimana Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan bersuara dan sering kali dilaung-lolongkan oleh pihak yang kononnya membela hak asasi manusia di Malaysia, ternyata tidak pula dipakai secara sama rata. Hak dan kebebasan yang dimaktubkan hanya terpakai kepada kroni yang mereka anggap mewakili pandangan mereka sahaja. Sedangkan apabila kebebasan yang sama digunakan oleh pihak yang berada di luar lingkungan ‘elit’ mereka, maka kebebasan itu cuba untuk disekat dan dinafikan.
Demikianlah yang berlaku dalam isu pandangan akademik seorang pensyarah, Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang mengulas buku karangan seorang politikus DAP, Hannah Yeoh. Beliau telah menyampaikan pandangannya bahawa Hannah Yeoh telah secara salah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan menggunakan jawatan awamnya untuk mendakyahkan fahaman mubaligh Kristian, berasaskan petikan-petikan daripada buku tersebut setelah dibacanya. Hannah telah bertindak-balas melampau dengan membuat laporan polis, walhal sebagai seorang pengarang, sewajarnya sebarang pandangan daripada pembaca diraikan dengan berlapang dada. Sepatah kata Roland Barthes, sebaik-baik sahaja sesebuah karya itu diterbitkan, maka pengarang seharusnya mati; dalam erti kata dia harus menerima dengan hati terbuka sebarang kritikan daripada pembaca.
Justeru amatlah malang apabila Hannah yang juga memegang jawatan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Selangor telah melompat atas kritikan tersebut, dan cuba untuk menutup mulut seorang ahli akademik, dengan cara membuat laporan polis terhadapnya. Lebih-lebih lagi malang apabila para pejuang yang kononnya ‘pembela hak bersuara’ langsung menikus — bukan sahaja tidak berani bersuara mengecam tindakan Hannah yang mengancam kebebasan bersuara, bahkan ada pula yang secara terang-terangan bersekongkol dan menyokong tindakan Hannah tersebut. Sedangkan jelas sekali tujuan utama Hannah Yeoh membuat laporan polis adalah untuk mendiamkan pandangan peribadi seorang ahli akademik.
Apabila beliau gagal kerana Dr. Kamarul tampaknya tidak gentar dengan sebarang ugutan atau laporan polis, kini pengikut dan kroni beliau pula mengambil alih tugas itu dengan melancarkan ‘serangan’ ke atas Dr. Kamarul dalam bentuk rencana demi rencana yang diterbitkan silih berganti di portal-portal dalam talian, dan komen-komen murahan di laman sosial yang mengecam bagi tujuan membuli pensyarah itu. Lebih menyedihkan lagi apabila kecaman-kecaman tersebut dilihat menyerang secara ad hominem, yakni dengan berniat jahat diajukan kepada keperibadian Dr. Kamarul, berbanding kepada tulisannya yang mengkritik buku Hannah secara akademik.
Ini bukanlah kali pertama seorang ahli akademik dianaktirikan oleh golongan kononnya ‘pembela hak bersuara’, semata-mata kerana menyampaikan pandangan yang tidak selari dengan hasrat mereka. Sebelum ini, kelantangan Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah menegakkan peruntukan Perkara 153 dan menuntut pemansuhan sekolah vernakular pernah didiamkan. Kini tiba giliran Dr. Kamarul pula. Walhal motif kelantangan dan kelayakan mereka sama: ulasan polisi politik oleh ahli akademik.
Dalam kes Dr. Kamarul, beliau telah memfailkan laporan polis meminta agar penglibatan Hannah dalam hal keagamaan diselidiki, agar tidak bercanggah dengan pengharaman pengembangan agama selain Islam kepada orang Islam, seperti mana yang diperuntukkan dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Islam negeri-negeri. Isu ini wajar diselidiki lebih-lebih lagi apabila semakin ramai ahli politik bukan Islam yang dengan biadap menggunakan tempat keagamaan, termasuk masjid untuk bermain wayang politik mereka.
Kebiadapan ini berterusan sedangkan Sultan Selangor telah pun mengeluarkan titah untuk tidak menggunakan masjid di Selangor sebagai tempat berpolitik. Namun saban Ramadan, ada saja ahli-ahli politik bukan Melayu yang mengenakan baju kurung dan baju Melayu untuk masuk ke kawasan ibadat dalam masjid-masjid di Selangor untuk berpolitik. Ini tidak termasuk ceramah politik di gereja yang menidakkan pandangan pengundi bukan beragama Kristian.
Sebelum ini melalui satu kenyataan bersama, gabungan badan bukan kerajaan (NGO) pengamal undang-undang telah pun menuntut agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) memainkan peranan sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap sebarang aduan salah laku hak asasi manusia, untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba mendiamkan kebebasan bersuara Dr. Kamarul. Sehingga kini, tiada tindakan yang diambil terhadap ‘pembuli siber’ yang tidak penat dengan desakan mereka untuk menghentikan pendapat yang bercanggah dengan manifesto pegangan mereka.
Malahan, semakin ramai yang turut sama memekik membela Hannah termasuklah daripada kalangan politikus sebarisan dengannya. Hinggakan ada yang sanggup mengulas tanpa membaca terlebih dahulu apa yang dipersoalkan oleh Dr. Kamarul dalam ulasan beliau ke atas buku penulisan Hannah. Kedangkalan hujahan mereka menunjukkan percanggahan ketara dengan peruntukan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan ‘tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bersuara’.
Barangkali telah tiba masanya untuk difikirkan agar dapat ditubuhkan satu lembaga atau badan yang dapat mendidik semua ahli politik di negara ini agar mereka faham hak, kebebasan dan tanggungjawab mereka kepada parti, pengundi dan negara sebelum mereka dilantik untuk mewakili suara-suara masyarakat Malaysia.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ)
Comments
Post a Comment