Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)
“TAKTIK penjajahan jiwa yang terakhir yang dilakukan oleh bangsa-bangsa penjajah kepada negera-negara yang baru mencapai kemerdekannya adalah dengan membangkitkan keinginan hidup mewah. Kerana bila mana bertambah mewah hidup orang, bertambah pudarlah cita-citanya. Yang satu hendak melebihi yang lain dalam kemewahan. Kemewahan dalam membangunkan rumah-rumah, kemewahan dalam menghiasinya, kemewahan dalam memilih kenderaan, kemewahan dalam kehidupan sehari-hari, ditambah lagi dengan berdirinya tempat bersenang-senang bagai cendawan tumbuh di musim hujan.” – Buya Hamka
Hairan saya dengan dasar-dasar yang dikeluarkan kerajaan mutakhir ini. Terkini kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan kelonggaran syarat permohonan program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H). Program yang diasaskan pada tahun 2002 di bawah kerajaan pimpinan Barisan Nasional telah dihentikan sementara pada tahun 2020 sebelum diteruskan dengan pindaan semula pada tahun 2021 di bawah kerajaan pimpinan Perikatan Nasional.
Reka bentuk pada tahun 2021 menyasarkan penyertaan daripada individu bernilai tinggi dengan meletakkan syarat bahawa pemohon perlu menyimpan deposit tetap sebanyak RM1 juta dan menambah sebanyak RM50,000 bagi setiap tanggungan yang dibawa masuk ke dalam negara. Selain itu, pemohon harus mempunyai pendapatan bulanan RM40,000 dan sekurang-kurangnya RM1.5 juta dalam aset cair.
Kini, kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan merombak semula program ini dengan meletakkan sasaran utama permohonan daripada kalangan pesara. Maka nilai pegangan aset pemohon juga direndahkan bila mana syarat-syarat mengenai pendapatan bulanan dan keperluan aset cair yang kononnya membebankan kini dihapuskan. Selain itu, pemohon hanya perlu meletakkan deposit tetap minimum serendah RM705,000 untuk mendapatkan visa lima tahun.
Menarik untuk diamati bagaimana rombakan semula program MM2H turut mencipta kategori baru untuk permohonan visa lima tahun, 15 tahun atau 20 tahun. Walhal selama program diadakan sejak 12 tahun lalu, hanya ada satu kategori yakni untuk visa bertempoh lima tahun saja.
Saya kata menarik kerana rekaan baru ini dibuat dalam pada rakyat masih heboh membicarakan perihal pindaan kepada syarat dan prosedur kewarganegaraan yang diluluskan pada Mac lalu. Menarik pada pandangan saya kerana syarat neutralisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan kini membenarkan permohonan yang dibuat oleh sesiapa yang berumur 18 tahun, sedangkan sebelum ini syarat neutralisasi terhad kepada individu yang sudah berumur 21 tahun saja. Maka dengan penciptaan kategori baru di bawah MM2H, tidak mustahil akan ada lambakan permohonan neutralisasi bagi anak-anak tanggungan di bawah program MM2H nanti.
Dalam pada rakyat Malaysia semakin runsing memikirkan di mana hendak dicekau wang setiap bulan buat membayar ansuran rumah atau sewa kediaman, menarik bagaimana kerajaan seolah-olah melebihkan orang luar dengan merendahkan syarat penyertaan program MM2H dan sekaligus seolah-olah membuka pintu negara seluar-luasnya untuk orang luar.
MOTAC menjustifikasikan tindakan ini dengan mengatakan syarat yang terlalu membebankan pemohon dengan menyasarkan hanya individu bernilai tinggi kononnya tidak wajar. Malah MOTAC menyandarkan keputusan merombak semula program MM2H kepada data yang mengatakan terdapat penurunan sebanyak 90% permohonan di bawah program ini setelah dipinda pada tahun 2021. Maka, alasan lambakan rumah tidak terjual di serata bandar-bandar besar di seluruh negara dilihat mewajarkan kelonggaran dalam syarat program.
Saya merasa pelik membaca justifikasi ini yang disiarkan dalam berita-berita utama. Terutama setelah mengambil kira statistik yang baru saja dikeluarkan oleh firma hartanah dan pelaburan IQI Global pada April lalu menunjukkan bahawa Malaysia merupakan negara Asia Tenggara kedua paling popular dalam kalangan pembeli rumah kediaman dari China pada tahun 2023.
Benar kegawatan ekonomi global semakin dirasai. Rakyat Malaysia semakin merintih-rintih menyuarakan kesukaran yang terpaksa ditanggung beban akal memikirkan kelangsungan hidup setiap hujung bulan. Pun begitu, adakah kerajaan yang penuh dengan bijak pandai semakin ketandusan idea apabila langkah mudah yang diambil adalah untuk berterusan menjual aset-aset negara kepada orang luar dengan harapan mereka melabur lebih banyak matawang asing ke dalam pasaran ekonomi tempatan?
Rakyat Malaysia berterusan rasa terjempit dalam pada orang luar boleh keluar masuk sewenang-wenangnya ke dalam negara dan meninggalkan seribu satu onar. Saya mengambil contoh laporan audit ke atas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menunjukkan sebanyak RM10 juta hutang tertunggak daripada yuran pengajian pelajar antarabangsa tidak dikutip universiti itu. Sebagai graduan UIAM, saya merasa sangat terhina memikirkan bagaimana pada masa saya belajar dulu, waima kelewatan pembayaran satu semester ditagih dan dituntut sehingga boleh digantung pengajian jika tidak dijelaskan.
Terasa seolah-olah peribahasa yang sering diulang-ulang atuk nenek kita dahulu semakin terserlah kebenarannya. Anak di pangkuan dilepaskan, beruk di hutan disusukan. Adakah kita sebagai Luncai akan menggemakan ratib ‘biarkan, biarkan’ dalam pada kita mengemis di tanah air sendiri?
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jul 12, 2024.
Comments
Post a Comment