Makna Belanjawan 2025 buat wanita (Utusan Malaysia 8 Nov 2024)

ISTERI, Muslimat dan Mukminat tidaklah suka menonjolkan diri. Seperti penggunting pita membuka sesuatu bangunan baru sebagai suatu pertunjukan. Akan tetapi mereka mengambil peranan pada saat yang penting dan genting, sebagaimana sikap yang diambil oleh Khadijah r.a. pada zaman Mekah dan Ummu Salamah r.a. pada zaman Madinah itu. Di sinilah dapat difahami perkataan yang terkenal; bahawasanya wanita itu ialah tiang negara. Kalau wanita itu baik, baiklah negara, dan kalau mereka rosak, rosak pulalah negara.” – Buya Hamka.



Pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri telah mengusulkan Belanjawan Negara bagi tahun 2025 dengan tema ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’ yang memfokuskan pemerkasaan rakyat. Saya kira belanjawan ini digarap ketika pucuk pimpinan negara mengambil maklum kerumitan ekonomi global yang penuh ketidak stabilan bagi memastikan rakyat Malaysia tetap mampu berdaya saing tinggi. 

Bagi kaum wanita, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian kerana sudah ada ulasan yang menyebut Belanjawan 2025 sebagai usaha merapatkan jurang gender. Usaha ini dapat dilihat melalui tumpuan yang diberikan kerajaan untuk memperkasakan pegangan ekuiti wanita dalam pasaran ekonomi. 

Contohnya, daripada belanjawan dengan jumlah peruntukan RM421 bilion itu, sejumlah RM470 juta telah diutarakan untuk pembiayaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) milik usahawan wanita. Sudah tentu dalam pada ekonomi gig semakin rancak, usaha untuk memperkasa penglibatan usahawan wanita menjadi semakin mudah. Suntikan dana pembiayaan sebegini mampu memberikan ruang bernafas bagi usahawan wanita agar mereka dapat menumpukan daya saing mereka dalam pasaran. 

Cumanya, dengan perkhabaran kerugian berjuta ringgit duit negara melalui pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam syarikat yang memiliki jenama FashionValet, diharapkan agar suntikan dana pinjaman akan melihat model yang lebih telus berbanding model pelaburan negara. 

Dalam pada kita mahu lihat lebih ramai usahawan wanita bangkit dan menghasilkan produk serta jenama tempatan yang bermutu tinggi, rakyat juga sudah jelak dengan sogokan usahawan wanita muda yang mengetengahkan kehidupan bermewah-mewah sebagai jenama peribadi tanpa hasil yang jelas. Saya tertanya, adakah Khazanah dan PNB sedar tentang rekod kerugian berpanjangan FashionValet dalam pada banyak lagi jenama tempatan yang lebih layak menerima pelaburan mereka?  

Selain daripada suntikan dana pinjaman kepada usahawan wanita, Belanjawan 2025 turut menjanjikan beberapa inisiatif bagi menarik penglibatan wanita dalam sektor korporat. Sebagai contoh, Perdana Menteri telah memberikan komitmen untuk meningkatkan lagi pencapaian Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang diperkenalkan pada tahun ini di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

PERANTIS merupakan program untuk melahirkan lebih ramai tokoh korporat wanita dengan memberi keutamaan kepada pembangunan kemahiran kepimpinan wanita, melalui pemantapan jaringan kerjasama serta perkongsian ilmu. Program ini menyasarkan penzahiran tokoh wanita daripada pelbagai bidang termasuklah ekonomi, politik, sosial, perundangan, pendidikan, dan kesihatan. Malangnya program ini masih terlalu baru untuk dinilai tahap keberkesanan. 

Pun begitu, mungkin wajar dipertimbangkan data yang menunjukkan purata wanita memegang jawatan lembaga pengarah dalam 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah pada kadar 32.2 peratus. Cumanya persoalan saya, adakah program seperti PERANTIS akan menjadi gajah putih semata-mata apabila saban tahun kita tetap akan melihat anak-cucu ahli politik yang akhirnya dilantik bagi mengisi jawatan-jawatan penting dalam pelbagai perbadanan, lembaga dan organisasi yang ditubuhkan di bawah kerajaan? Apa guna negara lahirkan lebih ramai tokoh wanita yang bijak pandai jika akhirnya mereka tetap kalah dek nama tidak berbintikan orang ternama dalam negara?

Belanjawan negara tidak akan lengkap tanpa janji-janji pemberian tunai kepada rakyat. Meskipun negara semakin moden dan ekonomi semakin matang, namun ‘Cash is King’ masih dilihat gula-gula paling mustajab. Maka tahun ini Belanjawan 2025 menjanjikan RM600 bagi setiap wanita bujang yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Begitu juga bagi wanita warga emas yang layak menerima Kadar Bantuan Warga Emas, kadar sumbangan tunai akan dinaikkan daripada RM350 pada tahun ini kepada RM600 bagi tahun 2025.

Saban tahun Perdana Menteri akan membentangkan belanjawan negara dan wakil-wakil rakyat akan sibuk membahaskan intipati yang diusulkan. Tahun demi tahun juga pelbagai janji manis yang ditaburkan bagi meraih kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan, bukan saja Perdana Menteri tetapi juga, seluruh lembaga menteri yang menerajui negara. 

Rakyat akan memberikan fokus kepada pelbagai sektor utama khususnya kepada usul mengenai pemantapan kedudukan fiskal negara, kesihatan awam, keselamatan kewilayahan dan pendidikan. Meskipun dengan beberapa garapan yang saya anggap kemas, masih wujud inisiatif yang jelas bertujuan untuk melembutkan hati rakyat tanpa mempertimbangkan natijah membiasakan rakyat dengan sogokan gula-gula yang manisnya hanya dirasai sementara sahaja. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Nov 8, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Apa makna Belanjawan 2025 buat wanita?'.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)