Wajarkah diadakan tempoh bertenang sebelum penceraian? (Utusan 17 Ogos 2024)
“Qauwwamuna bererti memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam. Mengajar kalau ilmunya masih kurang. Memujuk kalau dia dalam kesedihan. Di samping itu mencukupkan apa keperluannya, kainnya, bajunya, perhiasannya, yang sepanjang tubuh, sepanjang bayang-bayang. Itulah tugas lelaki membela perempuan. Ertinya mengikut kekuatan dan kemampuan si lelaki.” – Buya Hamka
Minggu ini beberapa akhbar Malaysia melaporkan berita mengenai Kementerian Hal Ehwal Sivil China kononnya telah mengumumkan hasrat penggubalan pindaan kepada undang-undang sedia ada di negara itu bagi mempermudahkan urusan pendaftaran perkahwinan dalam masa yang sama menyulitkan proses penceraian. Sebetulnya cadangan ini memperhalusi peraturan yang sudahpun berkuatkuasa sejak Januari 2021, dan kini diperkemaskan lagi untuk memastikan ia dapat mencapai sasaran dalam memelihara kepentingan keluarga di China.
Cadangan pindaan ini menarik kerana pertama, cadangan ini diwar-warkan secara terbuka bagi mendapatkan maklum balas rakyat mengenai ke pembentukan dasar dan penggubalan undang-undang yang akan terpakai di negara itu. Proses dan sistem sebegini memberikan peluang rakyat sesebuah negara untuk terlibat secara langsung dalam pembentukan hala tuju negara itu.
Kedua, sudah tentu pindaan yang dicadangkan dilihat sebagai pro-keluarga ketika China merekodkan penurunan kadar perkahwinan dan kadar fertiliti sedangkan terdapat trend lonjakan dalam kadar penceraian sejak pasca pandemik. Tambahan pula, kebimbangan kerajaan China mengenai kadar penuaan masyarakat negara itu mewajarkan cadangan pindaan sebegini.
Secara khususnya, cadangan pindaan tersebut menyatakan bahawa setiap pendaftaran perkahwinan boleh dilakukan mengikut lokasi pasangan itu berada. Selain itu, cadangan pindaan memberi penekanan kepada pengecualian terhadap peraturan yang menetapkan tempoh bertenang selama 30-hari selepas pemfailan penceraian, di mana jika mana-mana pihak tidak mahu meneruskan dengan penceraian tersebut, mereka boleh menarik balik permohonan itu bagi menamatkan proses perceraian. Harus ditegaskan bahawa pindaan yang dicadangkan akan mengkhususkan bahawa tempoh bertenang ini tidak akan terpakai dalam permohonan perceraian yang melibatkan tuduhan keganasan rumah tangga.
Asalnya, peraturan bagi memastikan tempoh bertenang ini dipenuhi adalah bertujuan untuk mempromosikan kepentingan perkahwinan dan keluarga, mengurangkan perceraian yang dilakukan secara beremosi tanpa berfikir panjang, menegakkan kestabilan sosial, dan melindungi hak-hak pihak yang terlibat dengan lebih baik. Malah langkah ini turut merealisasikan penekanan kepada pemeliharaan tumbesaran anak-anak pasangan yang ingin bercerai, yang mana sebetulnya sudahpun menjadi amalan biasa di mahkamah sivil yang menguruskan penceraian di China.
Hakikatnya, penceraian tidak hanya memberikan trauma dan kesan panjang kepada pasangan yang ingin bercerai tetapi juga kepada anak-anak mereka. Malah, kesan buruk penceraian ibu bapa termasuklah dalam peningkatan kes delinkuens dan jenayah dalam kalangan kanak-kanak, dan penurunan prestasi akademik mereka. Setiap kes penceraian pasangan yang melibatkan anak-anak yang lahir semasa tempoh perkahwinan harus ditangani dengan lebih baik.
Sejak tempoh bertenang ini berkuat kuasa pada tahun 2021, data yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal China menunjukkan terdapat 70% penurunan dalam pemfailan perkahwinan. Pun begitu, aktivis hak wanita mengecam peraturan tempoh bertenang ini kerana dilihat sebagai memperkecilkan hak wanita untuk membuat keputusan autonomi dalam kehidupan berkeluarga mereka.
Bantahan aktivis hak wanita semakin lantang sejak tahun 2023 apabila terjadi kes pembunuhan yang dilakukan oleh suami dalam tempoh bertenang selepas isteri memfailkan permohonan penceraian. Pada bulan April lalu, mahkamah China menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang telah disabitkan bersalah di atas kesalahan membunuh isterinya pada Julai 2023 ketika pasangan itu berada dalam tempoh bertenang yang dikuatkuasakan di negara itu.
Fakta kes menunjukkan bahawa si isteri telah memfailkan penceraian pada awal Julai 2023 namun atas permintaan si suami untuk berjumpa, beliau dan enam orang wakil keluarganya telah mengadakan perjumpaan bersama si suami di kawasan taman perindustrian. Apabila mereka hadir ke perjumpaan itu, suaminya telah meluru ke arah si isteri dan menikamnya dengan sebilah pisau selain mencederakan beberapa orang ahli keluarga isteri yang turut hadir.
Kejadian seumpama ini mewajarkan pertimbangan semula dalam memperhalusi pemakaian peraturan tempoh bertenang ketika proses penceraian ini. Kelompongan dalam undang-undang wujud bagi kes di mana keganasan boleh berlaku ketika tempoh bertenang dan bukannya sebelum permohonan penceraian difailkan. Maka, sebagai memperkemaskan lagi undang-undang yang menyasarkan pengukuhan masyarakat China sebagai komuniti yang menyokong nilai kekeluargaan dan digambarkan sebagai ‘mesra keluarga’, pindaan undang-undang sebegini adalah mustahak.
Di Malaysia, kadar penceraian negara merekodkan peningkatan 45.1% pada tahun 2023. Seharusnya jika Malaysia ingin memperkukuhkan kedudukan negara sebagai masyarakat yang juga mengutamakan nilai kekeluargaan, sudah tiba masa Malaysia perlu mempertimbangkan keperluan untuk menyatakan dengan jelas peraturan mengenai tempoh bertenang dalam proses penceraian khususnya di mana tiada dakwaan keganasan rumah tangga berlaku dalam perkahwinan yang terlibat.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Ogos 17, 2024.
Comments
Post a Comment