Mengkaji mengapa jenayah berat berleluasa (Utusan Malaysia 23 Ogos 2024)

KEMERDEKAAN manusia menurut ajaran Islam, dihimpunkan ke dalam kekuasaan Tuhan. Oleh sebab itu, maka merdeka dengan tidak ada himpunan, merdeka menempuh langkah sendiri-sendiri saja tidak memperdulikan orang lain, tidaklah ada. Bertambah lanjut fikiran manusia, bertambah terikatlah dirinya oleh akal budinya. Kalau dikaji sampai ke sana, tidaklah ada yang merdeka dalam alam ini. Isi alam mesti tunduk kepada peraturan. Barang siapa yang melanggar aturan, binasalah!” – Buya Hamka


 

Dalam mewacanakan lambakan kes-kes jenayah berat mutakhir ini, ramai netizen yang enggan melihat hubung kait di antara jenayah yang berleluasa dan masyarakat. Malah ada yang berkata bahawa setiap satu kes adalah terpencil dan terasing daripada satu dengan yang lain. 

Namun dalam bidang kriminologi, yang mengkaji bagaimana masyarakat berinteraksi dengan jenayah, setiap satu jenayah yang berlaku dalam masyarakat boleh dikaitkan secara terus dengan struktur masyarakat di mana jenayah itu berlaku. Jenayah dalam sesuatu masyarakat bukan hanya dilihat sebagai simptom kepincangan dalam masyarakat tetapi juga dikaji dari sudut pandang bahawa jenayah adalah hasil takrifan dan permainan kuasa dalam masyarakat bermain dengan bahasa yang digunakan. 

Ini kerana ketidakadilan sosial dilihat sebagai landasan bagi membenarkan pihak berkuasa mentakrifkan sesuatu tindakan sama ada sebagai norma sosial yang diterima umum ataupun sebagai devians yang dianggap melanggar batasan nilai sosial. Sebagai contoh, pada tahun 2016, Dr Chrystie Myketiak dari Universiti of Brighton di United Kingdom melihat kepada bagaimana aspek ketidakadilan dalam masyarakat memberikan kesan langsung kepada pembentukan peribadi penembak rambang (mass-shooter). 

Ringkasnya, kajian mendapati bahawa penembak rambang menggunakan bahasa (linguistik) untuk merasionalkan tindakannya melalui kerangka hegemoni berdasarkan ketidaksamaan sosial, khususnya dalam aspek kelas sosial. Maka di dalam negara seperti Amerika Syarikat, di mana masyarakat sering berinteraksi dengan ketidakadilan sosial berlandaskan faktor etnik, bahasa, kelas sosial, agama dan jantina, tindakan penembak rambang cuba dikupas dengan meletakkan penjenayah sebagai subjek yang terbentuk daripada persekitarannya. 

Daripada perspektif ini, banyak kajian kriminologi yang merumuskan bahawa seseorang penjenayah tidak lahir dan membesar secara semula jadi sebagai seorang devian sebaliknya dijadikan devian kerana masyarakat yang telah ‘memaksanya’ untuk melanggar kawalan sosial yang ditetapkan. 

Mutakhir ini, rakyat Malaysia disajikan dengan berita jenayah-jenayah berat hampir setiap hari. Jika dulu kes bunuh dianggap sebagai jenayah yang luar biasa dan sangat jarang didengari. Malang sekali kini hampir setiap minggu ada sahaja mayat yang ditemui dibunuh dan kadang kala, pelaku yang dinamakan sebagai suspek dalam siasatan polis merupakan ahli keluarga atau kenalan mangsa sendiri. 

Malah, dahulu adegan tembak-menembak di antara pihak polis dan penjenayah adalah adegan luar biasa yang hanya berlaku dalam filem-filem aksi semata-mata. Sebaliknya kini, kita makin sering membaca berita bagaimana pihak polis terpaksa melepaskan tembakan kepada penjenayah yang cuba melarikan diri. 

Adakah sesuatu yang amat pincang sedang berlaku dalam masyarakat Malaysia? Adakah kes-kes jenayah berat suatu simptom ketidakadilan sosial dalam masyarakat ? Atau adakah rakyat yang semakin berani membuat pelbagai jenis onar dan tidak takut lagi melakukan jenayah berat merupakan produk hasil daripada ketidaksamaan kuasa di antara ahli masyarakat dan pemerintah? 

Tanpa masyarakat mengkaji dan mewacanakan fenomena terkini di dalam negara, mustahil untuk kita selami dan fahami mengapa sesuatu insiden itu berlaku. Tidak pelik apabila ada netizen yang begitu yakin setiap satu insiden adalah kejadian terpencil sedangkan setiap perkara yang berlaku mempunyai punca, kesan dan akibat dari sudut bidang sosiologi. 

Sebagai contoh, pasca 9/11 di Amerika Syarikat, insiden kebencian terhadap Islam dan Muslim melonjak tinggi. Setiap yang dilihat berkaitan dengan agama suci ini dipandang penuh prejudis sehinggakan rakyat Amerika Syarikat yang tidak pernah mengetahui tentang Islam sekalipun memandangkan agama ini dengan penuh kebencian. Ramai yang menegaskan bahawa prejudis terhadap Islam adalah munasabah, kesan daripada tindakan pengganas yang beragama Islam menyerang tugu kebangsaan di New York. 

Sedangkan kajian oleh Dr Elif Bulut dari Universiti Ipek Ankara pada tahun 2015 mendedahkan bahawa sikap negatif terhadap umat Islam bukanlah berdasarkan ketakutan terhadap serangan pengganas, terutamanya serangan 9/11. Sebaliknya, Islamofobia berpunca daripada pandangan bahawa cara hidup Amerika adalah yang terbaik dan mana-mana sub-budaya yang berbeza daripada cara hidup ini dilihat sebagai ancaman kepada nilai tradisional Amerika.

Sebagai pelajar undang-undang, saya tidak lagi melihat kawalan sosial, dalam bentuk hukuman yang ditetapkan kerangka perundangan, sebagai berkesan. Ada kerosakan dalam masyarakat kita yang merdeka daripada campur tangan luar tetapi masih terikat dengan tindakan biadap devian dan penjenayah yang tidak mahu mengikut peraturan yang terbentuk dalam masyarakat. Menelusuri mengapa fenomena ini menular dalam masyarakat adalah mustahak agar kita tidak lagi terusan dibuai sentimen selesa dalam pada masyarakat kita semakin membarah. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Ogos 23, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Masyarakat kita semakin pincang hari demi hari'.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)