Mana pergi anak-anak kita? (Utusan Malaysia 2 Ogos 2024)
“Teristimewa sehabis peperangan dunia ini, sebagai juga tiap-tiap habis perang, kita melihat kegelisahan yang memuncak. Kita melihat perasaan yang tidak puas, perkara-perkara, yang tidak beres. Baik berkenaan dengan politik, ekonomi, sosial, jalan pemerintahan, pengurusan, birokrasi. Kita melihat kejatuhan akhlak, kerosakan budi, kejahatan yang memuncak, kecurangan yang dikerjakan dengan tidak malu-malu. Kita ingin membangun tetapi yang kelihatan di mana-mana hanyalah keruntuhan. Kehormatan dan keruntuhan...” – Buya Hamka
Saban minggu ada saja poster orang hilang yang disiarkan termasuklah kehilangan kanak-kanak. Mengikut statistik yang dikeluarkan PDRM, dari tahun 2020 hingga 2023 terdapat 3,067 kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan di dalam negara. Malah PDRM merumuskan hampir 900 laporan orang hilang diterima setiap tahun. Jika bernasib baik, mereka akhirnya ditemui dan dikembalikan ke pangkuan keluarga. Malang sekali masih ramai juga orang hilang yang tidak dijumpai sehingga kini.
PDRM baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bagi memperbetulkan tanggapan awam mengenai laporan orang hilang yang kononnya hanya boleh dibuat selepas tempoh 24 jam orang itu disyaki hilang. Entah bagaimana fakta palsu ini disebar luas dalam masyarakat kita sehinggakan saya sendiri pernah mendengar kononnya jika kurang 24 jam PDRM tidak akan menerima laporan dan siasatan tidak akan dimulakan.
Sedangkan hakikatnya, polis juga mengesahkan bahawa tempoh masa orang hilang memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan keberhasilan penemuan semula mereka. Terutama dalam mengambil kira betapa mudah untuk orang keluar dan masuk di sempadan negara khususnya ke negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Malah dalam minggu ini juga, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah memberikan penjelasan bahawa semua laporan melibatkan kes kehilangan orang tidak akan ditutup selagi mana orang itu tidak ditemui. Yang membimbangkan, dalam kenyataannya turut memperakui wujud peningkatan kes orang hilang kebelakangan ini.
Meskipun isu perselisihan faham antara ahli keluarga dijadikan alasan bagi menjustifikasikan lonjakan kes orang hilang, namun tidak dapat kita nafikan isu pemerdagangan orang juga semakin rawak mutakhir ini. Sebagai contoh, isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia yang akhirnya dijual sebagai hamba atau lebih buruk lagi ke dalam sindiket penjualan organ. Maka amat membimbangkan jika ada orang hilang yang dilaporkan akhirnya menjadi mangsa kepada sindiket sebegini.
Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 telah dipinda pada tahun 2022 bagi memperketatkan lagi kerangka perundangan dalam membanteras isu pemerdagangan orang sekaligus menjadi benteng utama dalam isu perhambaan zaman moden. Pada tahun 2023, Malaysia dimasukkan semula ke Tangga 2 Senarai Pemantauan dalam laporan yang dikeluarkan secara tahunan oleh Pejabat untuk Mengawasi dan Memerangi Pemerdagangan Manusia di bawah Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menyediakan status inisiatif setiap negara menangani pemerdagangan manusia.
Walaupun Malaysia didapati masih tidak dapat memenuhi standard minima yang ditetapkan oleh Pejabat itu, namun usaha dan pencapaian negara tetap membolehkan Malaysia dinaik taraf ke Tangga 2. Antara lain, naik taraf ini mengambil kira pencapaian ini negara dalam memulakan lebih banyak penyiasatan kes pemerdagangan orang selain mendakwa dan mensabitkan lebih ramai penjenayah yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan orang.
Selain itu, kerangka perundangan turut bersandar kepada peruntukan melibatkan jenayah penculikan di bawah Kanun Keseksaan. Sebagai contoh, seksyen 363 dan 365 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman tujuh tahun pemenjaraan dan boleh dikenakan denda bagi kesalahan menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah. Minggu lalu, siasatan kes kehilangan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri telah diteruskan di bawah seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi merekodkan sejumlah 50 juta orang diperdagangkan di seluruh dunia. 35 peratus daripada jumlah ini melibatkan kanak-kanak di bawah 18 tahun. Data juga menunjukkan 27.6 juta orang seluruh dunia telah diperdagang dan menjadi mangsa buruh paksa pada tahun 2022. Mengambil kira lambakan kes orang hilang, data sebegini memberikan isyarat jelas agar usahasama yang lebih kemas diadakan bagi memelihara keselamatan warganegara Malaysia.
Tahun lalu beberapa filem tempatan mengetengahkan isu pemerdagangan manusia sebagai fokus utama termasuklah filem Walid yang menggambarkan sindiket penculikan kanak-kanak di utara negara. Manifestasi karya kreatif yang mengkritik isu sosial ini sudah jelas menunjukkan wujud kebimbangan dalam masyarakat yang melihat insiden pemerdagangan orang semakin rawak.
Negara kita berada dalam keadaan aman dan sudah moden jauh ke depan dalam hal pembangunan ekonomi serta modal insan, namun masih wujud kerosakan dan kejahatan yang berleluasa dalam masyarakat. Sehingga kita tidak lagi merasa selamat untuk membiarkan anak-anak bermain di taman permainan takut-takut mereka diculik dan dijual ke dalam sindiket pemerdagangan manusia. Sentosakah Malaysia bila kita tidak tahu di mana pergi anak-anak kita yang masih hilang hingga kini tidak dijumpai?
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Ogos 2, 2024.
Comments
Post a Comment