Sekolah jadi kilang kapitalis kaparat (Utusan Malaysia 26 Jul 2024)

REVOLUSI Perancis adalah pintu zaman buat kemerdekaan diri (liberalisme) dan penutup pintu bagi perhambaan diri kekuasaan besar (universalisme). Yang panjang fikirannya, hiduplah dengan hasil fikiran. Yang cerdik berusaha, mendapatlah kekayaan. Raja tidak berpengaruh lagi, Pendeta tidak berkuasa lagi. Ilmu pengetahuan tidak terhambat lagi. Ketinggian ilmu pengetahuan dan pendapat baru, menjadi mata penghasilan hidup. Orang sudah jemu dengan tradisi lama. Jemu denan kekayaan yang dijanjikan pendeta dalam ‘Kerajaan Langit’. Diputar otak, dapatlah mesin. Diputar lagi mesin diperbaiki. Penghasilan mengagumkan, kekayaan tumpah-ruah.” – Buya Hamka 



Bila sistem pendidikan dimanipulasi sebagai kilang buat melahirkan graduan yang bakal diperhambakan dalam sistem kapitalis kaparat, harga kehormatan nyawa manusia tidak dianggap kepentingan utama. Sebaliknya, manusia dinilai daripada keupayaannya dihambakan secara berterusan dalam sistem kapitalis yang sering disembunyikan nama-nama berprestij seperti ‘sistem ekonomi moden’ atau nama yang lebih menarik, ‘pasaran bebas’. 

Sama ada sebagai pembeli barangan dan perkhidmatan yang bertanggungjawab memastikan jerat globalisasi terus rancak mahupun sebagai peminjam wang yang dihambat hutang berpuluh tahun ataupun sekadar sebagai buruh yang membekalkan tenaga mereka sehinggalah ke hujung nyawa. Yang penting setiap manusia itu diukur berdasarkan bagaimana dia mampu meneruskan kelangsungan penindasan kapitalis ke atas ketamadunan manusia zaman berzaman.  

Wartawan Yahudi dari Kanada, Naomi Klein telah mengkritik permainan kotor termasuklah manipulasi oleh syarikat-syarikat multinasional sejak tahun 1999 dalam bukunya ‘No Logo’. Antara kritikan utamanya terjurus kepada taktik yang digunakan jenama besar dalam memperbodohkan pengguna dan mengawal ruang awam melalui pengiklanan. Sebagai contoh, beliau menyebut tentang bagaimana sekolah awam di Amerika Syarikat terpaksa mendapatkan sumbangan dana luar bagi meneruskan kelangsungan sekolah dek kerana kebobrokan sistem pendidikan awam di sana. 

Ada kala keperluan ini diisi oleh badan korporat yang tidak beretika dalam penghasilan produk mereka seperti syarikat minuman soda yang tinggi kandungan gula. Meskipun para pentadbir sekolah-sekolah awam ini tahu bahana pengambilan minuman bergula secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak, namun kerana terdesak mendapatkan sumbangan, mereka merelakan dinding-dinding sekolah ditampal dengan pelbagai iklan daripada syarikat soda terlibat. Para pelajar yang melalui koridor sekolah setiap hari dibiasakan dengan poster pengiklanan pilihan diet tidak sihat sejak daripada bangku sekolah lagi.  

Maka lahirlah generasi yang melihat pengambilan gula berlebihan sebagai perkara biasa. Malah generasi ini tidak diberikan pendedahan mengenai pilihan diet seimbang yang lebih sihat. Saban meningkat usia pertengahan 30-an, mereka menjadi mangsa pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) terutama obesiti dan diabetes. Daripada konsumer minuman soda yang tidak sihat, kini mereka perlu mendapatkan rawatan dalam sistem kesihatan yang mencengkam leher mereka dengan pembiayaan yang tidak munasabah. 

Pil dan ubat-ubatan farmaseutikal disogok agar ada pesakit yang berterusan terpaksa bergantung hidup kepada perkhidmatan kesihatan berteraskan keuntungan semata-mata. Kitaran kejam ini tidak akan berakhir selagi mana masyarakat tidak celik mata dan menghentikan trend membenarkan pengiklanan daripada badan korporat secara tidak beretika yang hanya melihat manusia dari sudut keuntungan tanpa mengimbangan hak pengguna untuk mendapatkan maklumat penuh mengenai barangan dan perkhidmatan yang diperolehi mereka.

25 tahun kemudian, trend yang dikritik keras ini menular dan membarah di Malaysia kesan daripada fenomena globalisasi. Dalam pada ibu bapa di Amerika Syarikat semakin lantang membantah manipulasi pemasaran produk kepada anak-anak kecil mereka, di Malaysia pelajar sekolah dibiasakan dengan imej dan pengiklanan syarikat rokok, peranti vap dan arak. Sentimen ‘tak ada apa’ digunakan sebagai justifikasi bahan terlarang diiklan dengan megah dalam program-program sekolah. 

Keburukan rokok, peranti vap dan minuman beralkohol sudahpun dikaji dan dibincangkan secara mendalam. Namun, tanpa segan silu pentadbir sekolah dengan tersenyum bangga memperagakan logo kapitalis kaparat dalam program sekolah. Kalau sudah serangkak tertimbakan, mustahil kepiting dapat mengajar anaknya jalan lurus. Kerana itu sistem pendidikan negara sekarang ini gagal menghasilkan manusia. 

Yang ada hanya kilang melahirkan graduan yang hilang adab, cetek akal. Maka tidak pelik apabila mahasiswa didapati bersalah merempit, mengedar dadah, mencabul, membuli bahkan membunuh kerana nilai manusia dalam pendidikan itu sudah terlalu cair. Jika elemen dan unsur negatif sudah berakar umbi dalam kehidupan seharian, benda haram sudah sebati dalam darah daging, bolehkah anak-anak kita tumbuh besar sebagai manusia yang punya harga diri? 

Saya tak pasti berapa ramai lagi nyawa yang perlu dipertaruhkan sebelum para pentadbir sekolah-sekolah di seluruh negara dapat bangkit menyuarakan kebimbangan yang ketara. Atau mungkin sekolah bukan lagi tempat mendidik adab, akhlak dan amal sebaliknya hanya medan melahirkan generasi muda yang tidak kenal amanah dan hormat. Tumbuhlah mereka membesar gemuk gedempol, langsung jadi politikus dan menteri yang megah mengenakan pakaian penuh dengan lencana logo-logo kapitalis kaparat. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jul 26, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Jangan jadikan sekolah kilang kapitalis ‘keparat’'.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)