Rosak kaum lelaki, rosaklah masyarakat (Utusan Malaysia 5 Jul 2024)

SETIAP peribadi Muslim di bahagian bumi yang mana pun mereka berdiam (berada) tidak memandang bangsa dan tidak memandang negara, adalah mempunyai tanggungjawab di hadapan Allah dan di hadapan hati sanubarinya sendiri, bahkan di depan umatnya generasi demi generasi. Mereka bertanggungjawab di zaman segala pahit, sebagai (seperti) sekarang ini.” – Buya Hamka 



Dalam mewacanakan hal tanggungjawab, Buya Hamka menceritakan perkaitan di antara tuntutan batin manusia tentang dosa serta pahala dan keperluan memelihara amanah agar kelangsungan masyarakat berterusan. Baginya setiap manusia itu mempunyai tuntutan batin untuk menghindari keburukan kerana setiap yang buruk itu bukan hanya berdosa tetapi juga menjahanamkan hidup manusia di masa depan. 

Malangnya prinsip semudah ini tidak lagi dianggap berat mahupun penting di mata masyarakat sekarang ini, sehingga ramai yang tidak lagi merasa segan dengan tuntutan batin untuk menghindari kemudaratan atas alasan gelap mata melihatkan gemerlapan dunia. Ada suami yang tidak segan dengan tanggungjawab menafkahi keluarga. Maka berderetlah kes tuntutan nafkah para isteri yang digantung tanpa pembelaan kini mengemis di Mahkamah Syariah. 

Lebih buruk lagi, ada ramai juga lelaki yang tidak segan dengan tanggungjawab memelihara nilai nyawa sesama manusia. Maka dibunuh isteri mereka atas alasan cemburu dan enggan bercerai. Rintihan ibu yang menatang anak perempuan mereka berpuluh tahun tidak sedikit menggumam di jiwa suami durjana dan hina sebegini.

Jika dulu sudah dimansuhkan penghambaan dan pemerdagangan manusia, namun kini kembali pesat kelompok kaparat yang menghambakan golongan lemah termasuklah kanak-kanak. Semuanya diperlakukan kerana berat nilai timpalan wang ringgit melangkaui berat tuntutan batin tentang tanggungjawab sesama manusia. Masyarakat kita yang meletakkan kaum lelaki sebagai pemimpin kini keciciran apabila terlalu banyak keburukan yang semakin menular. 

Oleh itu, tidak salah untuk saya katakan bahawa kegagalan lelaki memainkan peranan sebagai pemimpin, pembela dan pejuang kepada bangsa kini meranapkan bangsa ini. Lahirlah generasi baru yang tidak kenal dengan erti malu kepada tuntutan batin mereka mengenai tanggungjawab. Kita boleh kenali kelahiran generasi baru ini dengan melihat kepada kelompongan sikap merendah diri dan menjaga kehormatan dalam masyarakat. 

Sebagai contoh, baru-baru ini tular kempen pengiklanan yang melibatkan selebriti tempatan yang berimej Muslimah. Ramai yang terkesima kerana kalau dilihatkan daripada kandungan di media sosial peribadi selebriti ini, penuh dengan mesej keagamaan sehingga dia dan suami diangkat sebagai kononnya pasangan Muslim sejati. 

Imej murni ini tidak menimbulkan rasa segan dalam sanubari selebriti terbabit sehinggakan produk yang dikeluarkannya dengan bangga dipromosikan secara sumbang bahkan melibatkan iklan-iklan lucah yang menjadikan anggota tubuh wanita sebagai objek seksual semata-mata. Timbul persoalan utama: sebagai seorang wanita beragama Islam dan berbangsa Melayu yang didik dengan sifat malu dan segan, tidak malukah dia apabila imejnya terpalit dengan kempen pengiklanan yang jijik sebegitu?

Juga menjadi teka-teki dalam kalangan netizen yang mempersoalkan tidakkah suaminya, yang menjadi tonggak kepada selebriti wanita ini, merasa aib atas kegagalannya melindungi isteri daripada kehinaan sebegini? Sebagai suami, cukupkah seorang lelaki hanya menasihatkan orang ramai tentang hal keagamaan tetapi tidak reti menjaga akhlak isteri sendiri? Mungkinkah ini isyarat utama kegagalan generasi lampau memelihara tanggungjawab masing-masing sehinggakan keruntuhan nilai kehormatan diri semakin jelas terserlah? 

Sebagai seorang pengamal undang-undang, saya amat pelik mengapa perkara yang jelas melanggar undang-undang sebegini dibiarkan berleluasa seolah-olah tidak memberi kesan apa-apa kepada jati diri bangsa yang harmoni ini. Jelas tindakan pengeluar produk yang terlibat dalam iklan lucah itu telah melanggar peruntukan undang-undang, namun seminggu selepas insiden ditularkan, pihak berkuasa masih diam seribu bahasa. 

Mana pergi penguasa yang mempunyai amanah besar memelihara masyarakat daripada keburukan yang menular? Mana pergi penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana peruntukan undang-undang yang ada beribu-ribu di Malaysia ini? Semudah inikah orang Malaysia melanggar adab dan bebas tanpa hukuman. 

Saya membelek-belek Akta Iklan Sumbang 1953 [Akta 259] yang telah dikemaskini pada tahun 1981. Dengan jelas setiap peruntukan berniat memastikan kelucahan tidak dibiarkan tersebar secara umum. Amat pelik bagi saya cuba memahami mengapa undang-undang sudah ada sejak berpuluh tahun lama tetapi pihak berkuasa seperti bacul untuk mengambil tindakan. 

Seperti peribahasa menyebut ‘limau masak sebelah, perahu karam sekerat.’ Seorang selebriti dengan angkuh mampu berbuat segala macam onar, tidak akan ada penguasa yang menegur. Menebalkan terus keangkuhan dalam diri mereka tanpa peringatan tentang amanah, tanggungjawab dan tuntutan batin. 

Benarlah. Rosak kaum lelaki sebagai pemimpin dalam masyarakat, hancurlah masyarakat yang serba-serbi cukup material tetapi kosong jiwa, bobrok akhlak, bebal adab.  


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jul 5, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Rosak golongan lelaki, rosaklah masyarakat'.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)