Bila polis jadi perompak (Utusan Malaysian 19 Jul 2024)
“Yang menjadi sebab timbulnya dosa dan kesalahan, menurut penyelidikan ahli-ahli ilmuwan budi bangsa Barat adalah lantaran sempitnya lapangan tempat manusia tegak di dalam hidupnya. Orang yang sempit lapangan hidupnya, sehingga tidak kelihatan olehnya orang lain, melainkan hanya dirinya sendiri saja, tabiatnya yang dinamakan egoistis, itulah orang yang sedekat-dekatnya kepada berbuat jahat. Sebab segala kejahatan yang dilakukannya dirasakannya hanya faedah untuk dirinya saja.” – Buya Hamka
Bagi penggemar filem berbahasa Tamil, sudah tentu siaran filem Maharaja di saluran Netflix dinantikan. Saya amati jika penggemar filem ingin disajikan dengan penceritaan yang teratur, menyentuh isu sosial secara kritikal tanpa memperbodohkan penonton, filem keluaran Kollywood lebih banyak pilihan. Skrip yang kemas dengan bait yang tidak terlalu ‘menyekolahkan’ penonton membuatkan topik sosial yang sarat dilihat tenang dikupas di kaca televisyen.
Yang menariknya kali ini, dalam pada menceritakan topik berat seperti jenayah yang berlaku rawak dalam masyarakat, filem Maharaja turut secara santai menyindir isu penyelewengan dan korupsi dalam kalangan anggota polis. Tidak keterlaluan jika saya katakan oleh kerana jalan cerita yang padat dengan putar belit menjadikan filem ini antara filem yang harus ditonton semua penggemar filem.
Rasa marah, benci dan meluat dengan watak-watak polis korup yang disajikan dalam filem ini adalah sentimen sejagat yang akan dirasai oleh semua penonton meskipun tidak pernah mengalami situasi sama seperti yang digambarkan. Malah, pada hemat saya, kebencian terhadap korupsi dan salah guna kuasa dalam kalangan anggota polis bukanlah sentimen yang perlu diajar melalui pengalaman.
Sebaliknya, tanpa perlu mengenal atau mengalami insiden penyelewengan sekalipun, setiap insan dididik untuk merasa benci terhadap rasuah dan sogokan kepada polis yang sepatutnya menjadi badan yang memelihara keselamatan masyarakat tanpa mengira kepentingan wang ringgit peribadi mereka. Ini lebih jelas dalam budaya Melayu yang kaya dengan peribahasa seperti ‘karam sambal oleh belacan’ demi menunjukkan kerugian yang dialami kesan daripada perbuatan khianat oleh orang yang dipercayai.
Kritikan sosial melalui karya seni sebegini seharusnya dilambakkan lagi dalam pasaran filem tempatan. Tidak cukup hanya dengan filem Maharaja dari Kollywood dan Sheriff: Narko Integriti keluaran industri perfileman tempatan, seharusnya setiap isu sosial yang tular diolah sebagai kritikan seni. Bukannya industri kita tidak cukup material. Lihat saja dengan kes-kes melibatkan isu korupsi, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang dionarkan anggota polis kebelakangan ini.
Misalnya, pada Disember tahun lalu, seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) telah melanggar seorang pelajar tingkatan lima sehingga kehilangan nyawa. Perit benak rakyat Malaysia hendak menerima fakta kes memandangkan insiden pelanggaran dilakukan di hadapan kawasan sekolah pada tengah hari buta bilamana saksi-saksi awam penuh di kawasan kejadian. Suspek tergamak melakukan pengkhianat kepada amanah yang disandangnya seolah-olah negara ini tiada undang-undang.
Pada April lalu, polis menahan tujuh orang suspek kes samun warga asing dan lima daripada suspek merupakan anggota polis. Pada bulan Mei pula, tiga suspek termasuk bekas polis ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes-kes samun bersenjatakan objek menyerupai pistol.
Tidak cukup dengan itu, pada bulan Mei juga, tular berita seorang anggota pengiring orang kenamaan yang didakwa telah memukul seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU). Pengiring tersebut kemudiannya disahkan sebagai seorang anggota polis, tetapi meskipun selepas 12 orang dipanggil untuk memberi keterangan pada awal Jun lalu, sehingga kini tiada penangkapan yang dibuat dalam insiden ini.
Minggu ini pula negara sekali lagi dikejutkan dengan berita penahanan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang disyaki membunuh seorang wanita. Bukan hanya satu, bahkan boleh jadi ribuan filem yang dapat diceritakan tentang perompak dan pengkhianat yang bertopengkan seragam polis.
Sebagai badan yang diamanahkan untuk memelihara keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, amat membimbangkan apabila ada anggota polis yang bukan saja sanggup bertindak mencederakan orang awam malah ada yang tegar membunuh. Itu belum dikira lagi dengan kes-kes melibatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota polis.
Jika sudah hampir setiap bulan ada kes melibatkan anggota polis, sudah tiba masa pihak berkuasa yang terlibat termasuklah Suruhanjaya Pasukan Polis memperhalusi semula lantikan dan penjawatan dalam badan beruniform tersebut. Seolah-olah menjadi petanda yang amat ketara bahawa ada sesuatu yang amat tenat dalam badan itu apabila saban bulan rakyat disajikan dengan pelbagai berita kehuru-haraan yang diolah anggota polis.
Apakah latihan integriti yang diterapkan di pusat-pusat latihan polis sudah terlalu lemah hingga dilihat tidak terkesan dalam anggota mereka? Sampai bila rakyat negara ini sanggup membungkam diri saat orang yang diamanahkan memelihara kini menghina negara? Amat memilukan apabila polis yang sepatutnya jadi penghubung kaki tangan kini hanya menjadi sokong yang membawa rebah.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jul 19, 2024.
Comments
Post a Comment