Masyarakat yang sedang tenat (Utusan Malaysia 7 Jun 2024)
“DENGAN adanya ibu bapa, engkau merasakan bahawa engkau mempunyai urat tunggang dalam kehidupan ini. Allah SWT pun menakdirkan dan meniupkan rasa kasih sayang dalam hati kedua-dua ibu bapa kepada dirimu, sejak matamu terbuka melihat dunia. Apabila engkau dianugerahi pula anak oleh Allah SWT, barulah engkau ketahui benar betapa kasih ibu bapa kepadamu. Jasa mereka tidaklah akan dapat dibayar dengan wang, walaupun berapa banyaknya. Budi tidak dapat diganti dengan harta. Ganti budi hanyalah budi pula.” – Buya Hamka
Meskipun perit untuk diterima, tetapi hakikatnya semakin banyak nyawa kanak-kanak yang kecundang di tangan penjaga mereka. Malah, ramai juga ibu bapa yang menjadi dalang utama kematian zuriat mereka sendiri. Bagai ayam hitam terbang malam bertali ijuk, bertambang tanduk, hinggap di kebun rimbu, kejahatan yang dilakukan oleh penjaga yang diamanahkan memelihara keselamatan dan kesejahteraan seorang kanak-kanak lambat untuk diketahui ramai sehinggalah nyawa anak menjadi taruhan.
Bulan lalu, sepasang suami isteri di Johor Bahru ditahan atas kesalahan mengabaikan anak asuhan mereka yang berusia sembilan bulan sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan itu. Pada April lalu, seorang pengawal keselamatan di Bangi dituduh atas kesalahan membunuh anak lelakinya yang baru berusia enam bulan. Manakala pada bulan Februari lalu, seorang lelaki di Lembah Subang ditahan atas kesalahan mendera sehingga menyebabkan kematian anak saudara yang berada dalam jagaannya.
Sejak tahun lalu lagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) sudah menyatakan kebimbangan berkaitan statistik pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing. Rekod yang dikumpul setakat lapan bulan pertama 2023 menyaksikan aduan sebanyak 5,216 kes telah diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Angka ini jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya.
Meskipun undang-undang telah diperketatkan bagi memastikan penderaan terhadap kanak-kanak tidak terus berleluasa, namun sehingga kini masyarakat kita tidak sunyi disajikan dengan berita tragis berkenaan dengannya. Adakah masyarakat kita sudah lali dengan kejadian sebegini hingga saban bulan ada lagi anak yang mati didera bahkan dibunuh oleh ahli keluarga mereka sendiri?
Isyarat yang jelas dapat kita simpulkan apabila kita sebagai sebuah masyarakat gagal menyelamatkan golongan yang paling rentan dalam komuniti kita. Kesimpulannya hanya satu: masyakat negara ini semakin tenat hingga kanak-kanak yang lahir dalam kalangan kita tidak lagi selamat. Seolah-olah kita masih terlalu alpa dengan kepentingan memelihara tumbesaran sihat seorang kanak-kanak. Walhal pelbagai kajian telah menunjukkan bahana berpanjangan yang akan menimpa kanak-kanak yang membesar dalam suasana pengabaian dan penderaan oleh penjaga atau ibu bapa mereka.
Sebagai contoh, kajian di Harvard Medical School dengan kerjasama Universiti Northeastern pada tahun 2016 mendapati bahawa individu yang pernah mengalami penderaan atau pengabaian ketika zaman kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental di kemudian hari. Ini kerana kajian tersebut mendapati bahawa terdapat perubahan ketara pada imbasan otak mangsa pengabaian dan penderaan khususnya di kawasan otak yang bertanggungjawab untuk mengimbangi emosi dan impuls, serta pemikiran sedar diri seseorang individu.
Memahami kesan yang timbul akibat pengabaian dan penderaan kanak-kanak, seharusnya kita sebagai masyarakat Malaysia lebih tegas dan lantang bersuara bagi menghindar kejadian sebegini daripada berlanjutan. Dalam laporan pihak berkepentingan yang disediakan oleh pertubuhan masyarakat madani (CSO) bagi Semakan Berkala Sejagat Pusingan Keempat yang berlangsung di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Geneva pada Januari yang lalu, Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) telah membangkitkan isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak, khususnya bagi kanak-kanak yang ditempatkan dalam jagaan keluarga angkat.
Antara lain WAFIQ mengesyorkan agar Kerajaan mengambil langkah yang lebih keras dengan memastikan perlaksanaan penuh peruntukan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak 2001 khususnya yang melibatkan mangsa kanak-kanak. Namun, sebagaimana ketat pun peruntukan undang-undang digubal dan perlaksanaan dijalankan, mustahil isu ini dapat dibasmi tanpa peranan masyarakat yang lebih peka dalam melaporkan sebarang perlakuan yang boleh dianggap sebagai suatu pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Hidup bermasyarakat memaksa kita untuk menjadi seperti condong ditumpil, lemah dianduh. Setiap kita mempunyai peranan besar sebagai mata dan telinga yang celik dan cakna melihat kepada kanak-kanak di sekeliling agar tiada yang terus dimangsakan. Semoga nasib adik Zayn Rayyan dan anak-anak seumpamanya dapat dibela dengan keadilan dan menjadi iktibar kepada masyarakat di dalam negara ini.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jun 7, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Masyarakat kita sedang dan semakin tenat'.
Comments
Post a Comment