Hak anak untuk menerima didikan moraliti yang baik (Utusan Malaysia 21 Jun 2024)

MENURUT sosiologi moden, kebebasan seseorang diikat oleh undang-undang (syariat). Dan syariat bersumber daripada akhlak. Dan akhlak (pula) bersumber daripada kepercayaan kepada Allah. Kebebasan tanpa ikatan undang-undang dan disiplin adalah chaos (huru-hara); dan chaos adalah musuh kemerdekaan nombor satu.” – Buya Hamka 



Antara tulisan ahli sosiologi yang amat saya minati adalah daripada Erich Fromm yang asalnya merupakan seorang psikologis Yahudi yang telah lari daripada rejim Nazi di Jerman ke Amerika Syarikat. Beliau banyak mengetengahkan wacana mengenai keperluan batin seorang insan khususnya dalam pembentukan kekuatan emosi individu itu. 

Dalam mengembangkan hujahan dan dasar kepada pemikirannya, Erich Fromm telah menulis manifesto mengenai perasaan kasih-sayang dan cinta melalui buku yang dikenali sebagai Seni Mencintai. Salah satu bab ditumpukan sepenuhnya kepada perasaan kasih sayang di antara seorang anak dan ibu bapanya. 

Beliau menggambarkan kewujudan cinta seorang ibu kepada anak yang bersifat tidak terbatas atau tanpa syarat kerana anak itu lahir daripada tubuh badan ibunya. Maka objektif utama kasih sayang seorang ibu adalah untuk memberikan perasaan diterima dan dikasihi dalam diri anak itu yang memungkinkannya mempunyai keyakinan diri untuk berinteraksi secara sihat di luar lingkungan keluarganya.  

Sedangkan cinta seorang bapa kepada zuriatnya bersifat terbatas mengikut kemampuan anak itu untuk mempelajari ilmu kehidupan bermasyarakat yang seharusnya menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk mendidik ke atas anaknya itu. Cinta seorang bapa harus memberi kepada anak yang sedang tumbuh membesar itu rasa kecekapan yang terus meningkat dan akhirnya mengizinkan anak menjadi autoriti dirinya sendiri dan lepas bebas daripada kebergantungan autoriti atau keupayaan bapanya. 

Maka objektif utama kasih sayang seorang bapa adalah untuk memastikan anaknya itu menjadi seorang dewasa yang cekap dan mampu hidup bersaing secara sihat dalam masyarakat. Tanpa didikan seorang bapa tentang disiplin dan tanggungjawab hidup bermasyarakat, seorang anak tidak mampu untuk menjadi seorang dewasa yang disenangi dalam masyarakat. 

Kebenaran falsafah ini jelas dapat dilihat dengan merujuk kepada kajian mengenai anak yang dibesarkan dalam keluarga ibu tunggal tanpa figura seorang bapa. Kajian pada tahun 2018 daripada University of Illinois at Chicago menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda dalam insiden delinkuen di kalangan remaja yang membesar tanpa figura seorang bapa berbanding mereka yang membesar dalam keluarga yang diketuai oleh seorang bapa. 

Atas sebab pentingnya didikan ibu bapa dalam pembentukan personaliti seorang anak, ahli psikologi dari Kanada, Jordan Peterson menegaskan bahawa sudah menjadi tanggungjawab dan amanah ke atas ibu bapa agar mengajar anak mereka disiplin untuk tidak melakukan perkara yang tidak disenangi orang lain. Tujuan utama ibu bapa melaksanakan amanah ini adalah agar anak itu tidak dibenci oleh komuniti di sekelilingnya. 

Awal bulan ini penyelidik pembangunan keluarga yang melihat kepada trend semasa mengenai tumbesaran kanak-kanak menyuarakan kebimbangan mengenai takat keupayaan kanak-kanak untuk bersosialisasi secara sihat. Pemerhatian yang direkodkan termasuklah kanak-kanak kini ramai yang gagal berkomunikasi dengan baik, sering buat perangai (tantrum), enggan berkongsi permainan malah ada yang bersikap agresif dengan memukul dan menggigit rakan sebaya di pusat-pusat jagaan.

Dalam masa yang sama, awal bulan ini laporan turut menyentuh kepada takat kesihatan mental di kalangan kanak-kanak yang dilihat membimbangkan dengan data menunjukkan seorang daripada enam kanak-kanak mengalami masalah mental. Rata-rata dalam perbincangan mengenai punca masalah ini, ramai yang menyalahkan penggunaan peranti elektronik yang tidak terkawal di kalangan kanak-kanak.

Timbul soalan utama, mengapa ibu bapa kini seolah-olah kalah dalam pertembungan teknologi sehingga tanpa sedar memangsakan anak-anak kecil mereka sendiri? Adakah ketagihan penggunaan bahan elektronik dan teknologi terlalu sukar dikawal sehingga ibu bapa tiada pilihan selain menyogokkan anak-anak mereka dengan peranti tanpa meletakkan batasan? 

Apakah peranan seorang bapa dalam mendidik zuriatnya mengenai akhlak, moraliti dan disiplin sudah langsung dicairkan dengan kemajuan teknologi? Tanpa kawalan yang diikat melalui pegangan akhlak dan moraliti yang jelas, dikhuatiri kanak-kanak membesar tanpa disiplin dan akhirnya tersandung dek ketidakmatangan mereka. 

Pada bulan Mei lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman melaporkan peningkatan kes rogol di mana pelaku adalah dalam kalangan kanak-kanak. Walaupun peruntukan di bawah Seksyen 113 Akta Keterangan 1950 membentuk suatu anggapan undang-undang yang tidak boleh dipatahkan bahawa seseorang budak lelaki yang berumur di bawah tiga belas tahun tidak berupaya melakukan rogol, namun ini tidak bererti insiden sebegini tidak berlaku. 

Akses kepada laman pornografi selain kemudahan mencapai media sosial yang memaparkan kandungan lucah adalah antara punca kanak-kanak dikatakan turut terjebak. Sebagai contoh, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memetik insiden rogol yang dilakukan oleh sekumpulan kanak-kanak berumur 10 tahun yang berlaku di Kelantan tahun lalu. 

Sudah tiba masanya ibu bapa tegas dalam mendidik disiplin kepada kanak-kanak. Hak kanak-kanak bukan saja untuk mendapat perlindungan keselamatan fizikal tetapi terkandung dalam hak ini hak perlindungan keselamatan batin agar mereka membesar dalam suasana yang sejahtera. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab ke atas ibu bapa untuk memastikan kekuatan tumbesaran emosi dan mental anak turut diberikan penekanan yang seimbang. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jun 21, 2024.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)