Agama bukan hak ekslusif orang heteroseksual (Utusan Malaysia 10 Mei 2024)

SENGSARALAH orang-orang yang menjadi tempat memesan fatwa untuk menghalalkan barang yang haram, kerana ingin mendapat pujian dan pandai menyesuaikan diri.” – Buya Hamka 



Semasa sesi Semakan Berkala Sejagat Pusingan Keempat ke atas negara Malaysia berlangsung pada 25 Januari yang lalu, antara isu yang disentuh sudah tentu melibatkan hak asasi golongan minoriti termasuklah golongan lesbian, gay, bisseksual, transgender dan queer (LGBTQ) dalam skop isu orientasi seksual serta identiti dan ekspresi gender (SOGIE). 14 syor diberikan oleh pelbagai wakil negara luar agar kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah memastikan tiada diskriminasi dilakukan terhadap mana-mana orang atas dasar SOGIE orang itu. 

Saya yakin isu yang sama akan turut diulas dan diketengahkan dalam semakan ke atas Malaysia bersempena sesi ke-88 Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang akan bersidang di Geneva pada hujung bulan ini. Malah, dalam laporan pihak berkepentingan yang dihantar oleh pertubuhan masyarakat madani WAFIQ kepada Jawatankuasa CEDAW di bawah Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (OHCHR), isu melibatkan golongan LGBTQ turut menjadi isu utama yang dibangkitkan. 

Khususnya, WAFIQ memberikan pelbagai syor agar kerajaan dapat memberikan perlindungan khusus kepada hak serta kebebasan beragama komuniti LGBTQ. Syor seumpama ini wajar dan kritikal dalam pada kebanyakan gerakan membela nasib komuniti LGBTQ hanya memberikan fokus kepada membenarkan serta mengiktiraf kecenderungan seksual mereka tanpa melihat kepada sokongan sosial yang mampu membantu mereka untuk hidup dengan kehormatan. 

Bulan lalu, parlimen Iraq meluluskan pindaan undang-undang yang kini menjadikan hubungan sesama jantina sebagai suatu jenayah yang boleh dihukum dengan pemenjaraan sehingga 15 tahun. Malah pindaan yang sama turut menjadikan kegiatan mempromosi aktiviti LGBTQ sebagai suatu jenayah yang boleh dikenakan hukuman pemenjaraan sekurang-kurangnya tujuh tahun. 

Pada 6 Mei yang lalu, Gereja Methodist Bersekutu di Amerika Syarikat telah memutuskan untuk menerima golongan LGBTQ di kalangan paderi mereka selain membenarkan ahli kariah daripada golongan LGBTQ dan membenarkan upacara perkahwinan sesama jantina di gereja mereka. Keputusan ini berlaku ketika perbahasan hangat berkenaan dengan hak golongan LGBTQ sedang berlangsung di Amerika Syarikat kerana meskipun golongan LGBTQ dilihat semakin diterima umum di AS, namun harus diakui dan dihayati bagaimana masih ramai di kalangan rakyat AS yang memperjuangkan pemeliharaan nilai tradisional di sana. 

Di antara tindakan penerimaan serta pengiktirafan penuh yang bertentangan dengan tindakan memperketatkan saluran undang-undang, wujud keperluan untuk melihat kepada bagaimana suntikan agama mampu membantu komuniti LGBTQ khususnya sebagai suatu sokongan psiko-sosial. Namun, realitinya Malaysia sebagai sebuah negara yang memberatkan tatasusial ketimuran dan nilai kekeluargaan masih punya banyak ruang untuk mendidik rakyat negara ini agar tidak menindas komuniti LGBTQ meskipun tanpa perlu negara menerima dan mengiktiraf kesongsangan perilaku mereka. Malah, hakikatnya, hak komuniti LGBTQ tetap boleh dipelihara dalam pada kegiatan seksual mereka yang dianggap songsang masih diklasifikasikan sebagai suatu jenayah.  

Masih ada segelintir rakyat Malaysia yang memandang remeh, malah mencemuh, pelbagai program yang diadakan bagi menyantuni hak beragama komuniti LGBTQ untuk mengenali agama dan bertaubat. Baik melalui kelas bimbingan membaca al-Quran atau mendirikan solat secara berjemaah, masih ada yang tidak selesa dengan kehadiran jemaah yang datang daripada komuniti LGBTQ. Maka tidak pelik apabila kita melihat kepada pelbagai pertubuhan masyarakat madani yang kononnya menyokong golongan LGBTQ, mereka juga turut menghentam program seperti Mukhayyam yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyantuni komuniti LGBTQ. 

Mungkin kerana ramai yang terlalu memfokuskan kepada tindakan dan pilihan seksual golongan LGBTQ sehingga identiti mereka tidak lagi dilihat sebagai manusia yang mampu bertaubat dan sentiasa memperbaiki diri. Akhirnya mereka dicap sebagai pendosa tegar sehinggakan geng masjid sisihkan mereka dan pendokong identiti seksual songsang memperlekehkan mereka. 

Pada bulan Mac lalu, semasa sesi perbahasan di Parlimen, Menteri Dalam Negeri telah menekankan sekatan terhadap sebarang kandungan media yang dilihat mempromosikan tindakan atau aktiviti berunsur LGBTQ. Beliau berkata bahawa Malaysia tidak pernah meratifikasi atau menerima sebarang kewajipan antarabangsa dalam memelihara hak golongan LGBTQ melangkaui perlindungan yang telah dijamin di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.  

Saya menggesa agar kerajaan menghormati peruntukan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memastikan tiada diskriminasi atau sekatan terhadap hak beragama yang boleh dikenakan ke atas mana-mana golongan. Sudah tiba masa kerajaan lebih bertegas dalam memastikan komuniti LGBTQ yang hendak mendekati agama mereka diberikan hak yang sewajarnya khususnya dalam memastikan peluang kelas bimbingan agama dibuka bagi manfaat komuniti LGBTQ.

Tindakan segelintir besar pendokong identiti seksual songsang yang menghina program keagamaan seperti mukhayyam sebenarnya bukanlah tindakan yang membela nasib komuniti LGBTQ. Sebaliknya tindakan mereka harus dilihat sebagai niat jahat memperkecilkan hak beragama komuniti ini. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Mei 10, 2024.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)