Peningkatan kes keganasan terhadap wanita (Utusan Malaysia 26 April 2024)
“KALAU sehelai daun di hujung dahan berhak beroleh rahmat cintamu, maka seluruh pohon itu pun, dan tanah tempat dia tumbuh, dan alam sekelilingmu pun berhak beroleh cintamu. Cinta yang hanya mengenai sebahagian kecil daripada lapangan hidup yang luas, belumlah bertemu hakikat cinta.” – Buya Hamka
Kalau bab menulis tentang ceritera cinta yang menyakitkan, sudah tentu Haji Abdul Malik Karim Amrullah melalui karya seperti Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Terusir dan Merantau Ke Deli adalah karyawan terunggul. Setiap cerita yang disampaikan disulami dengan kisah pedihnya duri cinta sesama manusia sehingga watak-watak yang merasai racun ini tiada tempat selain kembali kepada Sang Pencipta sebagai ubat penawar. Cinta dipamerkan sebagai dugaan yang amat berat kepada watak-watak dalam karyanya.
Sebetulnya itulah hakikat dalam hidup yang tidak akan menjanjikan kepastian, waima di antara pasangan suami isteri yang bernikah atas landasan kasih dan cinta. Maka kerap pula dada akhbar menceritakan peritnya kesan cinta yang bukan meningkatkan rasa rahmat sebaliknya menjahanamkan seluruh penghidupan wanita yang dinikahi para lelaki haprak.
Dalam tempoh beberapa minggu lagi, akan genap tiga tahun Jahidah Nordin terlantar selepas dikasari suami semasa beliau ketika itu sedang mengandung sehingga mengakibatkan pendarahan otak yang serius. Dalam pada suami durjana ini masih menunggu pengakhiran perbicaraan di atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri ketiganya, timbul lagi kisah-kisah keganasan terhadap wanita yang sama berat.
Antara yang paling hangat diwacanakan akhir-akhir ini sudah tentu tindakan suami yang tega melepaskan tembakan kepada isterinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tindakan suami haprak ini, yang didahului dengan ugutan terhadap isteri, akhirnya memangsakan pengawal peribadi yang tiada salah selain menjalankan tanggungjawab tugasannya.
Dalam kes lain beberapa minggu lalu, seorang buruh binaan telah ditahan di Ampang Saujana selepas mengamuk dan mengugut isterinya dengan sepucuk pistol apabila isteri enggan memberikan duit untuk dia membeli dadah. Manakala di Dungun, seorang buruh bertindak menetak isterinya menggunakan parang selepas mangsa meminta cerai.
Dua minggu lalu juga seorang lelaki ditahan di Kulim bagi membantu siasatan ke atas kematian isterinya yang berusia 61 tahun selepas mangsa didapati meninggal dunia dengan kecederaan di bahagian kepala selain kesan lebam di muka dan seluruh badan. Minggu lalu pula, seorang lelaki telah diberkas polis di Gerik selepas suspek bertindak mendera isterinya dengan mengikat mangsa ketika mangsa sedang tidur, merentap rantai leher emas yang dipakai sehingga terputus dan menggunakan cecair lilin panas ke atas mangsa. Semuanya dilakukan gara-gara perasaan cemburu suami keji ini yang menuduh isterinya curang.
Terkini dalam kejadian yang berlaku pada minggu lalu, seorang isteri mengadu turut tercedera selepas dipukul sang suami apabila mempertahankan anaknya yang didera suami. Penderaan suami akhirnya mengakibatkan kematian anak lelaki yang baru berusia enam bulan.
Hendak dikatakan undang-undang lemah, kerangka sedia ada berkenaan dengan jenayah mengasari isteri telahpun dikemaskini sebaik mungkin. Pada tahun 2014, melalui Akta A1471, Kanun Keseksaan telah dipinda bagi memasukkan peruntukan khusus berkenaan dengan kes-kes yang melibatkan pasangan suami isteri. Dalam pindaan ini, rata-rata hukuman bagi kesalahan jenayah yang melibatkan pasangan dalam suatu perkahwinan yang sah adalah dua kali ganda hukuman yang dikenakan terhadap pesalah lain.
Sebagai contoh, di bawah Seksyen 352, hukuman yang dikenakan bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi pesalah biasa adalah pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tiga bulan atau denda yang boleh sampai RM1,000.00, atau kedua-duanya. Manakala di bawah Seksyen 352A pula, yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah oleh pasangan, menetapkan barang siapa yang menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah ke atas pasangannya semasa wujudnya suatu perkahwinan yang sah di antara mereka, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh sampai enam bulan, atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000.00, atau kedua-duanya.
Bagi memahami mengapa kejadian keganasan rumah tangga berlaku, ahli sosiologi dalam kajian lampau telah menjelaskan tentang faktor kebergantungan ekonomi serta dinamika kuasa dan kawalan dalam sesuatu hubungan yang mengalami keganasan rumah tangga. Ringkasnya, kebanyakan kes keganasan rumah tangga berlaku apabila pelaku mempunyai kuasa yang lebih besar dan mampu mengawal tindakan dalam rumah tangga termasuklah ke atas pasangan yang dikasari.
Hal ini berlaku kerana pelaku memiliki sumber, terutamanya kewangan, sehingga mangsa terlazim untuk menerima atau patuh kepada pelaku. Maka, jika dilihat daripada perspektif ini, tidak pelik apabila statistik keganasan rumah tangga dilihat semakin meningkat khususnya ketika musim perayaan yang memerlukan belanja yang lebih besar daripada kelaziman.
Kawalan keras melalui peruntukan undang-undang sahaja seolah-olah tidak mampu mengawal peningkatan kes-kes keganasan rumah tangga. Maka, saya amat berharap Kerajaan Madani di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat melihat semula kepada Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia agar situasi semasa yang sebenar dapat diteliti lantas dasar yang terlibat dapat diperhalusi. Dasar kebangsaan yang mampu mewujudkan rasa ihsan dan cinta perlu diperkemas agar ketidakstabilan pasaran ekonomi masa kini dapat ditangani dengan lebih baik agar tekanan menyediakan nafkah tidak menjadi alasan untuk para suami mendera isteri.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Apr 26, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Undang-undang sahaja gagal kawal keganasan rumah tangga'.
Comments
Post a Comment