KDN masih berahsia dalam cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan (Utusan Malaysia 15 Mac 2024)

KEADILAN amat luas, dan banyak lagi keutamaan lain yang bergantung kepadanya, seperti berbuat baik kepada orang lain, tulus dan ikhlas, membela kemanusiaan, mencintai tanah air, menjaga budi pekerti, dermawan dan menjaga hak persamaan.” –  Buya Hamka.



    Sekali lagi kerajaan memberikan komitmen meminda Bab III Perlembagaan Persekutuan bagi manfaat kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warga negara. Bagi memenuhi komitmen ini, kerajaan sebelum ini telah memanggil beberapa pertubuhan sivil (CSO) dalam sesi libat urus dan mengumpul pandangan awam mengenai beberapa pindaan yang dicadangkan. 

    Walaupun ramai aktivis isu kewarganegaraan memuji komitmen kerajaan menyelesaikan isu hak pewarisan kewarganegaraan yang wajar diberikan sama rata di antara mana-mana ibu atau bapa seorang kanak-kanak, namun masih wujud kegusaran yang nyata. Ini memandangkan dalam setiap sesi libat urus, pihak kementerian yang mengepalai usaha ini masih gagal memberikan gambaran penuh cadangan pindaan yang akan dibacakan di dalam parlimen nanti. 

    Sebaliknya,  sesi libat urus hanya berpusar kepada ringkasan cadangan tanpa dibekalkan dengan draf Rang Undang-Undang (RUU) yang dimaksudkan. Adakah kementerian sedang memberikan isyarat bahawa draf RUU masih belum dimuktamadkan? Sedangkan minggu lalu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa isu ini akan dibentangkan di parlimen dalam sesi bersidang kali ini. Jika benar cadangan pindaan kepada Bab III Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam masa yang terdekat, kementerian yang terlibat harus lebih telus dan terbuka. 

    Amat membimbangkan jika jaminan yang diberikan kerajaan digunakan untuk memasukkan pakej pindaan yang selama ini ditentang pelbagai pihak khususnya berkenaan dengan usaha memperketatkan undang-undang kewarganegaraan bagi kanak-kanak tanpa dokumen yang terbiar tanpa waris. Walhal pelbagai kes yang dilaporkan telah menunjukkan bagaimana kanak-kanak dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengalami masalah dokumentasi akibat kegagalan agensi kerajaan dalam memastikan mereka yang terbiar tanpa waris ini diuruskan dokumen pengenalan diri rasmi mereka secara sempurna. 

    Apakah kerajaan mampu memberikan jaminan penuh bahawa nasib kanak-kanak terbiar tanpa waris akan dibela dan isu kewarganegaraan mereka akan diselesaikan kelak? Padahal cadangan pindaan yang ditunjukkan dalam sesi libat urus dengan jelas turut memasukkan cadangan pindaan agar kerajaan diberikan hak dan bidang kuasa sepenuhnya untuk tidak meluluskan atau menangguhkan permohonan kewarganegaraan. 

    Cadangan pindaan untuk memperluaskan bidang kuasa kerajaan dalam menangguhkan atau menolak permohonan harus diteliti dengan mengambil kira juga peruntukan dalam Seksyen 2, Bahagian III, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahawa keputusan kerajaan di bawah Bahagian III Perlembagaan tidak tertakluk kepada rayuan atau kajian semula di dalam mana-mana mahkamah. Jika kelak diluluskan, bukankah kedua-dua peruntukan ini akan memberikan kuasa yang terlalu luas dan besar kepada kerajaan untuk bertindak menafikan hak kewarganegaraan kepada kelompok besar dalam kewilayahan Malaysia tanpa boleh dipertikaikan? 

    Sepanjang saya terlibat dalam kerja-kerja aktivisme di lapangan, khususnya di Lahad Datu, Sabah, bukan sekali dua saya disampaikan perkhabaran buruk tentang bagaimana rakyat bumi Sabah yang sudah menduduki kawasan pedalaman di sana secara turun-temurun dinafikan hak kewarganegaraan. Ada yang sudah dua generasi tidak memiliki dokumen pengenalan diri, apatah lagi kerakyatan Malaysia. Ada yang menerima layanan buruk di pejabat agensi ketika urusan pendaftaran sivil sedang cuba diselesaikan. Ada yang permohonan mereka dilengah-lengahkan tanpa alasan munasabah sedangkan mereka sudah berusaha sepenuhnya memenuhi syarat dan prosedur yang dikenakan terhadap mereka. 

    Saya akui memang benar urusan kewarganegaraan harus ditelusuri dengan baik kerana melibatkan isu keselamatan nasional. Namun, amat pelik dan janggal apabila kerajaan berterusan memperketatkan undang-undang dan peraturan kewarganegaraan bagi komuniti rentan seperti penduduk di kawasan pedalaman, dalam pada wujud sindiket yang menjual kerakyatan negara, yang mana dalang-dalang sindiket sebegini tumbuh dalam agensi kerajaan sendiri. 

    Sejujurnya, kami aktivis di lapangan sudah jelak dengan alasan melindungi keselamatan nasional yang kerap dijulang dan diulang kerajaan. Hakikatnya, apabila permohonaan pendaftaran sivil untuk dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan seseorang kanak-kanak dinafikan, kesannya melangkaui hujahan keselamatan. 

    Kanak-kanak ini dinafikan bukan hanya sekeping kad yang digunakan sebagai dokumen pengenalan diri, sebaliknya mereka juga dinafikan kebebasan untuk bergerak, hak mendapatkan pendidikan awal, serta akses penjagaan kesihatan. Apa pilihan yang mereka akan ada jika kesemua aspek kehidupan mereka disukarkan hanya kerana ketiadaan kerakyatan akibat penafian kerajaan ke atas pendaftaran kewarganegaraan mereka? 

    Aktivis di lapangan sering membincangkan kebimbangan jika isu kerakyatan ini diperalatkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab sehinggakan kanak-kanak yang tidak berdosa dimanipulasi untuk menjalankan kerja kotor mereka. Amat tidak adil untuk kerajaan bermain strategi politik dalam cadangan pindaan yang dibawa ke parlimen. Lebih-lebih lagi apabila prosedur sedia ada tidak mencukupi untuk memastikan komuniti rentan seperti kanak-kanak terbiar tidak berterusan dinafikan hak mereka. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Mac 15, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan masih rahsia?'.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)