Hak pengguna untuk boikot produk sampah (Utusan Malaysia 22 Mac 2024)

DENGAN demikian, sudah nyata betapa luas bidang Syariat Islam itu, iaitu bahagian-bahagian yang tidak terpisah antara satu sama lain. Mencakupi seluruh kegiatan hidup untuk mencapai taraf yang lebih baik. Mencegah dan membendung yang membawa mudarat, memberi petunjuk kepada manusia, bagaimana supaya selamat hidupnya seiring dengan bertambah kukuh hubungannya dengan saudaranya sesama manusia.” – Buya Hamka 



Sejak 15 November 1999 lagi hak pengguna di dalam negara telah dimaktubkan dalam Akta Pelindungan Pengguna 1999 [Akta 599] selari dengan perkembangan ekonomi pasca kegawatan ekonomi serantau pada ketika itu. Bukan saja Akta 599 meletakkan garis panduan yang jelas tentang perlindungan yang harus diberikan kepada pengguna mana-mana barang atau perkhidmatan, tetapi Akta 599 juga menubuhkan Majlis Penasihat Pengguna Negara dan Tribunal Tuntutan Pengguna yang menjadi forum ampuh menyelesaikan sebarang aduan berkaitan hak pengguna.  

Di bawah Seksyen 32 Akta 599, setiap pengeluar dan penjual memberikan jaminan tersirat mengenai kualiti boleh terima sebarang produk yang dibekalkan kepada pengguna. Terkandung dalam jaminan ini hak pengguna untuk mendapatkan kebolehgunaan fungsi barang yang lazimnya tersirat dalam jenis barang,  dapat diterima dari segi rupa dan kemasan, bebas daripada kecacatan yang kecil, selamat, dan tahan lama. Jaminan ini setelah mengambil kira jenis produk, harga, sebarang jaminan yang diletakkan dalam iklan atau label produk. 

Bukan saja mengambil kira hak pengguna untuk mendapatkan tawaran barangan dan perkhidmatan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan, Akta 599 juga melarang penjualan barangan yang tidak selamat untuk digunakan. Malah di bawah Seksyen 23 tersebut, Menteri yang dipertanggungjawabkan atas penyeliaan Akta 599 mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan apa-apa barang atau kelas barang sebagai barang larangan jika didapati barangan itu tidak selamat atau telah menyebabkan atau mungkin menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang atau harta. 

Di bawah peruntukan sama, Akta 599 juga membenarkan perintah terhadap pengeluar barangan tidak selamat untuk menarik balik produk berkaitan daripada pasaran. Sebagai contoh, pada tahun 2020, IKEA seluruh dunia termasuklah di Malaysia menarik balik cawan yang didapati tidak mengikut piawaian kandungan produk beracun. Sekali lagi pada tahun 2021, IKEA menarik balik produk pinggan mangkuk yang dijual di gedung terkemuka tersebut. 

Keberkesanan peruntukan di bawah Akta 599 harus dilihat daripada perspektif negara sebagai pengeluar pelbagai barangan tempatan termasuklah kenderaan nasional. Malangnya, apabila terlalu banyak yang mempertikaikan kualiti dan keselamatan kenderaan buatan tempatan, sudah tentu sedikit sebanyak memberikan imej yang tidak sihat kepada kebolehsaingan industri kereta tempatan. 

Hak pengguna untuk mendapatkan barangan yang selamat dan berkualiti bakal diperkasakan dengan penggarapan ‘lemon law’ ke dalam Akta 599. Secara ringkasnya ‘lemon law’ membolehkan pengguna menuntut pampasan daripada pengeluar jika barangan yang dibeli rosak dalam tempoh masa tertentu, terutamanya kenderaan bermotor yang gagal memenuhi piawaian, kualiti dan prestasi. Peruntukan berkaitan ‘lemon law’ ke dalam kerangka perundangan di Malaysia sangat dialu-alukan terutama setelah mengambil kira pelbagai aduan pengguna mengenai kualiti kenderaan buatan tempatan termasuklah insiden terpencil di mana sebuah kenderaan yang baru dibeli telah terbakar lewat tahun lalu. 

Sudah tentu penggarapan baru di bawah ‘lemon law’ memberikan sinar kepada para pengguna di Malaysia lebih-lebih lagi dalam pada nilai kuasa membeli pengguna semakin terjempit dengan ekonomi yang tidak stabil mutakhir ini. Malah, pemilihan tema ‘Kuasa Pengguna: Mendepani Realiti Zaman’ dalam sambutan Hari Pengguna 2024 pada 15 Mac yang lalu jelas menunjukkan kepekaan kerajaan kepada nilai kuasa pengguna dalam membuat pemilihan barangan dan perkhidmatan berdasarkan harga dan kualiti yang ditawarkan. 

Pengguna zaman ini tidak lagi bergantung kepada pengeluar tempatan semata-mata untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang diperlukan. Sebaliknya, pengguna di zaman globalisasi mempunyai pilihan yang luas daripada pasaran dunia. Kekuatan kuasa membeli pengguna di Malaysia terlihat jelas setiap kali kempen boikot dimulakan terhadap sesuatu jenama termasuklah baru-baru ini apabila kempen boikot dimulakan terhadap pasaraya yang dilihat tidak sensitif dengan menjual produk yang menghina kalimah Allah dan agama Islam. 

Insiden yang berlaku ketika umat Islam, yang membentuk majoriti demografi di Malaysia, sedang menjalani ibadah berpuasa di bulan penuh kesucian ini seolah-olah mencabar nilai kuasi membeli majoriti penduduk di Malaysia. Dengan pemerkasaan hak pengguna yang dilakukan melalui advokasi, undang-undang dan polisi yang lebih mesra perlindungan pengguna, zaman pengeluar dan penjual mengawal pasaran tempatan sehingga memperkecilkan akal waras pengguna sudah tamat.

Seharusnya pembekal, pengeluar dan penjual barangan serta perkhidmatan dalam negara ini mengambil iktibar ratusan perniagaan mega yang tutup kedai akibat kempen boikot yang dilaksanakan atas pelbagai alasan termasuklah kecaman terhadap kekejaman regim Israel di Palestin. Hak pengguna dan nilai kuasa membeli pengguna di era kemunduran ekonomi bukanlah sesuatu yang boleh diperkecilkan. 

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Mac 22, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Pengguna berhak boikot produk 'sampah''.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)