Proses UPR menggarap dasar negara (Utusan Malaysia 2 Feb 2024)
PADA 25hb Januari yang lalu, perwakilan negara Malaysia, yang diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, telah membentangkan laporan negara dalam sesi mesyuarat ke-45 proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) untuk Pusingan Keempat.
Selepas pembentangan ringkas oleh ketua perwakilan negara, sidang mesyuarat yang bertempat di Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) telah membuka peluang kepada 130 delegasi negara-negara luar untuk memberikan pelbagai syor kepada Malaysia. Syor yang diberikan adalah terarah kepada penambahbaikan situasi hak asasi manusia di Malaysia selepas mengambil kira takat pematuhan amalan semasa.
Jumlah 130 delegasi negara-negara luar yang hadir untuk memberikan syor dalam proses UPR ini sebenarnya menggambarkan keterbukaan Malaysia dalam memastikan pematuhan hak asasi manusia disemak secara telus oleh negara-negara luar. Imej ini mengisyaratkan bahawa negara disenangi di peringkat PBB malah menunjukkan kesungguhan negara dalam proses menambahbaik hak asasi melalui penggarapan dasar, penggubalan kerangka perundangan dan perlaksanaan polisi berkaitan pelbagai aspek di bawah naungan hak asasi manusia. Kerana itulah seramai 130 delegasi negara luar yakin memberikan rekomendasi kepada Malaysia untuk dipertimbangkan.
Sebagai konteks, dalam setiap sesi mesyuarat, kerap kali sesi akan bersidang dua kali sehari yang dipecahkan di antara sesi di sebelah pagi dan sesi petang. Pada 25hb Januari lalu, Malaysia melalui UPR di sebelah petang berbanding negara Jordan yang melalui proses sama di sebelah pagi. Berbeza dengan Malaysia yang menerima syor daripada 130 delegasi luar, negara Jordan hanya menerima syor daripada 101 buah negara. Manakala negara Belize yang melalui proses yang sama pada 30 Januari hanya menerima syor daripada 61 delegasi.
Antara yang paling menarik, dalam pusingan keempat ini, banyak negara yang memberikan rekomendasi agar Malaysia memperbaiki akses pendidikan kepada komuniti rentan termasuklah kanak-kanak pelarian, orang tidak bernegara (stateless) dan orang kurang upaya (OKU). Syor yang sama merupakan antara isu pokok yang dilaporkan oleh Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil dalam Proses UPR (atau ringkasnya, MACSA) melalui laporan pihak berkepentingan yang diserahkan kepada OHCHR pada 18 Julai tahun lalu.
Selain daripada itu, syor yang diberikan delegasi luar banyak juga menyentuh kepada perlindungan kaum wanita daripada keganasan dan diskriminasi. Sebagai contoh, negara seperti Timor Leste, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu melihat keperluan untuk kerajaan Malaysia memberikan fokus yang lebih terjurus kepada perlindungan hak wanita terhadap sebarang bentuk keganasan. Bahkan, delegasi dari Kenya secara khusus menyeru agar kerajaan Malaysia mengambil langkah membanteras pemerdagangan wanita dan kanak-kanak perempuan. Isu mengenai hak wanita terutama perlindungan daripada sebarang bentuk keganasan adalah antara isu utama yang dilaporkan oleh CSO Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dalam laporan kepentingan yang turut dihantar ke OHCHR.
Dengan penyampaian syor yang senada dalam proses UPR ini, jelas menunjukkan laporan pihak-pihak berkepentingan seperti pertubuhan masyarakat madani yang berada di lapangan dapat memainkan peranan yang besar. Antara lain, pertubuhan sivil (CSO) berkewajipan memastikan negara luar maklum tentang keadaan sebenar di lapangan. Malah sepanjang proses UPR berjalan, CSO banyak memainkan peranan memastikan isu yang memerlukan perhatian kerajaan dibangkitkan di dalam media tempatan.
Selanjutnya, apabila negara menerima syor-syor konstruktif sebegini, negara berkewajipan untuk mempertimbangkan sama ada untuk menerima atau menolak rekomendasi yang diberikan. Jika kerajaan memilih untuk menerima syor yang diberikan oleh delegasi negara luar, maka menjadi tanggungjawab buat kerajaan untuk mengadakan dasar, atau kerangka perundangan dalam menyerap masuk intipati syor yang diterima agar manfaat sebenar dapat dirasai oleh golongan sasaran. Maka amatlah mustahak untuk kerajaan memperhalusi setiap rekomendasi yang diberikan, agar yang sama benar-benar dihasratkan untuk memperbaiki keadaan semasa di Malaysia.
Malangnya, dalam keghairahan delegasi luar memberikan pelbagai syor kepada Malaysia, masih terdapat negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Ireland, Jerman, Belgium, Croatia dan Chile yang menyampaikan syor untuk membela hak asasi golongan Lesbian, Gay, Transgender dan Intersex (LGBTI) termasuklah menerusi dasar pembenaran perbuatan homoseksual. Syor ini jelas bertentangan dengan polisi negara yang masih mengamalkan nilai-nilai ketimuran yang meletakkan peri penting kepada pemeliharaan institusi kekeluargaan termasuklah dalam undang-undang berkaitan.
Malah, penekanan kepada Kedaulatan Undang-Undang sebagai prinsip jati Malaysia turut diserlahkan semula dalam ulasan penggulungan perwakilan negara semasa sesi UPR tersebut. Syor-syor yang mampu menghakis pasak negara bangsa sebagai identiti Malaysia haruslah ditolak keras oleh kerajaan dalam pada syor yang memberi manfaat kepada golongan rentan yang memerlukan haruslah disokong melalui polisi yang lebih jitu.
Kerana itulah, meskipun UPR merupakan proses yang mampu memperkemas situasi hak asasi manusia di dalam negara Malaysia, namun jika tersalah langkah, syor yang diberikan semasa UPR berjalan mampu juga mencairkan identiti negara. Maka, saya amat berharap perwakilan negara menghayati komitmen mereka semasa proses terima-pakai pada 31 Januari lalu dalam memastikan penerimaan atau penolakan negara kepada mana-mana syor yang diberikan negara luar adalah berlandaskan pertimbangan yang adil kepada sejarah panjang negara bangsa Malaysia.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Feb 2, 2024 dengan pindaan Editor sebagai 'Pertahan kedaulatan undang-undang dalam proses UPR'.
Comments
Post a Comment