Harga mahal memelihara kedaulatan negara bangsa (Utusan Malaysia 1 Mac 2024)

PEMERINTAHAN saya sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah sama seperti Agong yang lepas iaitu mengikut Perlembagaan, dasar dan peraturan yang ditetapkan. Kedudukan saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-raja untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa terpelihara.” – Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Yang Kelima Belas


    Ramai yang terlepas pandang tentang intipati Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Asing [DR41/2023] yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 29 November tahun lalu oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina binti Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Walhal, penggubalan RUU ini dibuat setelah negara mengharungi detik yang sangat menggetirkan dalam sejarah moden Malaysia.

    Tanpa ramai sedar, sejarah panjang DR41/2023 bermula apabila segerombolan pengganas Sulu memasuki perairan negara melalui Lahad Datu Sabah pada 11 Februari 2013. Mereka menuntut agar Sabah dikembalikan ke kesultanan Sulu. Bagi memastikan keselamatan wilayah dan kedaulatan negara, kerajaan pada ketika itu telah berunding agar kumpulan itu, yang dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu, diusir keluar daripada kewilayahan Sabah tanpa sebarang pertumbahan darah. 

    Namun pada 1 Mac 2013, dua orang anggota keselamatan negara ditembak mati selepas pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, yang telah digunakan sebagai pusat misi mereka. Meskipun rundingan kekal berjalan, namun pembunuhan ke atas pasukan keselamatan ini telah mengakibatkan Ops Daulat dilancarkan pada 5 Mac 2013 bagi mengusir keluar kesemua anggota kumpulan pengganas Suluk. 

    Natijahnya, pada 7 Mac 2013, di bawah Ops Daulat, 52 orang ahli kumpulan pengganas ini telah terbunuh manakala keesokan harinya 50 orang lagi telah diberkas.  Kesan lain daripada sejarah gelap ini juga adalah penubuhan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZon) pada 25 Mac 2013 yang diselia di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang ditubuhkan pada 1 April 2013. Secara rasminya, konflik diisytiharkan berakhir pada 10 April 2013 tetapi sehingga kini kawasan perairan Sabah dipantau ketat bagi memastikan sejarah hitam tidak berulang. 

    Tambahan lagi, rentetan daripada konflik berdarah ini, seramai 416 individu ditahan termasuk 110 orang disiasat di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 [Akta 747]. Prosiding perundangan berakhir apabila pada 8 Jun 2018, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas sembilan warga Filipina yang terlibat dalam konflik ini.

    Malangnya konflik ini berlanjutan hingga tahun 2019, apabila waris Kesultanan Sulu memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut hutang yang kononnya tertunggak berlandaskan suatu Perjanjian Pajakan yang dimeterai antara Syarikat British-Borneo Utara dengan Kesultanan Sulu pada 22 Januari 1878. Pada 28 Februari 2022, penimbang tara yang dilantik telah memberikan award sebanyak $14.92 billion kepada waris Kesultanan Sulu. 

    Dengan award yang sama, bermula 2022 waris Kesultanan Sulu memulakan pelbagai prosiding di Sepanyol, Perancis, Luxembourg, dan Belanda untuk merampas pelbagai aset negara Malaysia, termasuklah percubaan merampas banggunan diplomatik milik Malaysia di Perancis serta aset Petronas di Luxembourg dan Belanda. Pun begitu, melalui penghakiman rayuan di mahkamah Luxembourg pada Januari 2023, di mahkamah Perancis dan di Belanda pada Jun 2023, kesemua mahkamah memihak kepada kerajaan Malaysia dan membatalkan kesan rampasan di bawah award yang dikeluarkan penimbang tara Sepanyol.

    Kemenangan ini merupakan penanda yang baik, namun meninggalkan pengajaran besar dan mahal kepada sejarah kedaulatan Malaysia. Pengajaran ini memaksa kerajaan mengambil langkah yang lebih agresif termasuklah melalui penggubalan suatu akta parlimen bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia. 

    Ringkasnya, peruntukan dalam DR41/2023 memastikan tiada tindakan praperbicaraan boleh dibawa, dimulakan atau dikekal terhadap harta sesebuah negara di hadapan mana-mana mahkamah, kecuali jika negara berkenaan bersetuju dengan pengambilan tindakan itu sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian antarabangsa. Penggubalan RUU itu adalah berasaskan doktrin kekebalan negara asing daripada bidang kuasa mahkamah yang diterima pakai di bawah undang-undang adat antarabangsa serta beberapa prinsip yang diperuntukkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Kekebalan Bidang Kuasa Negara dan Harta Mereka 2004. 

    Yang lebih utama, DR41/2023 menerap masuk prinsip layanan salingan di mana Perdana Menteri diberikan kuasa untuk menarik balik kekebalan yang diberi kepada mana-mana negara asing jika negara asing itu tidak memberikan kekebalan yang sama kepada Malaysia. Maka, jika selepas ini mahkamah negara luar seperti Sepanyol, Belanda, Perancis atau Luxembourg bertindak mengingkari perjanjian diplomatik dengan kerajaan Malaysia, mana-mana pihak boleh membawa tindakan terhadap aset negara-negara ini ke mahkamah di Malaysia. 

    Hampir 11 tahun sejarah hitam di Lahad Datu berlaku. Bagi setiap pengorbanan pelbagai pihak dalam memastikan kedaulatan negara bangsa tidak langsung tergadai dalam konflik ini, seharusnya setiap rakyat Malaysia mengambil sejenak untuk menghargai kejayaan negara memastikan keselamatan kewilayahan Malaysia. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Mac 1, 2024.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)