Menunggang agama juga mempersenda agama (Utusan Malaysia 8 Disember 2023)
‘SEBAB itu ajaran Nabi (saw) menyebabkan orang tidak dapat diperhambakan oleh benda, oleh minuman keras, oleh rokok, oleh wanita, oleh harta, oleh takhta. Singkirkan segala berhala, segala pemujaan kepada yang selain Allah. Singkirkan mendewa-dewakan manusia.’ – Buya Hamka.
Jika dulu masyarakat disajikan dengan hiburan yang dilihat membazir masa dengan prinsip utama hiburan adalah semata-mata bagi menghiburkan orang ramai. Namun kini hiburan disulam-seli dengan prinsip keagamaan. Hiburan tidak lagi dikecam bahkan diterima sebagai sebahagian daripada matlamat hidup.
Zaman ini di mana masyarakat dahagakan suktikan agama dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh kekalutan, tumbuh mencanak selebriti berimej keagamaan menjadi tokoh sosial. Mereka dijulang sebagai ikon dakwah di kalangan anak muda sehingga ada yang menggelar mereka sebagai pempengaruh keislaman.
Dengan wajah polos suci, mereka menyulam bait-bait bagi memperniagakan kelembutan Islam sebagai seni dagangan. Ada yang membuat duit dalam ceramah-ceramah motivasi, ada yang menulis buku, mencipta drama TV berunsurkan keagamaan sambil disulami babak cinta terbatas, mengeluarkan lagu berbaur kemanusiaan atau sekadar mereka-cipta kandungan media sosial bertemakan keagamaan. Setiap satu dagangan dipadatkan dengan ayat Quran dan hadith Nabi sehinggakan orang ramai menyanjung mereka mulia.
Malangnya, meskipun niat berdakwah tetapi masih ramai pula di antara pendakwah muda ini yang lupa diri saat populariti mendampingi mereka. Pempengaruh sosial yang berimej keagamaan sudah tentu tidak sepi daripada menerima cabaran hidup. Yang sedihnya apabila mereka dilihat sering kali kecundang dalam meladeni ujian yang datang termasuklah gagal melihatkan kelembutan peribadi mereka saat mengharungi cabaran hidup.
Baru-baru ini riuh sekali lagi isu pempengaruh sosial yang mengamalkan poligami. Seperti lazimnya, apabila hal perkahwinan terutama isu poligami hangat diperkatakan, akan timbul aduan serupa berderet dalam kalangan selebriti atau pempengaruh yang mengundang ulasan orang ramai khususnya di media sosial. Meskipun sudah kerap diingatkan agar netizen tidak terbawa-bawa dengan kehidupan selebriti namun sudah menjadi lumrah, isu peribadi para selebriti yang tidak pernah mendatangkan faedah kepada netizen tetap mendapat penelitian rapi orang ramai.
Sehinggakan ada yang menolak dan mengecam amalan berpoligami dan dilihat menghina sunnah Nabi yang berpaksikan ajaran Quran. Sudah tentu penolakan kuat khususnya daripada kaum wanita adalah munasabah apabila ramai yang merasakan para lelaki yang mengamalkan poligami rata-rata tidak bersikap adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Pun begitu, harus diamati bahawa dari sudut perundangan, sebarang tindakan atau ungkapan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina, atau mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam, adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. Peruntukan seumpama Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] ini juga wujud dalam enakmen syariah setiap negeri.
Maka saya ingatkan agar netizen berhati-hatilah dalam memberikan ulasan yang mengecam amalan poligami agar tidak pula melanggar batasan sehingga mempersenda apatah lagi menghina amalan yang berpaksikan ajaran agama. Perlu ditekankan bahawa yang bersalah adalah sesetengah golongan lelaki yang berpoligami sedangkan amalan itu sendiri tidak salah. Kritikan berdasarkan fakta tanpa menyelitkan emosi itu penting agar amalan berpoligami hanya dilakukan oleh para lelaki yang mampu dalam semua segi.
Bahkan, kajian daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang disiarkan pada tahun 2021 menunjukkan bahawa permohonan untuk berpoligami telahpun ditolak mahkamah atas pelbagai faktor termasuklah apabila hakim syarie mendapati bahawa pemohon tidak memiliki ekonomi yang kukuh. Selain itu permohonan poligami juga ditolak apabila pemohon gagal membuktikan isu patut atau perlu atau apabila pihak pemohon sendiri yang gagal memenuhi kehendak yang disyaratkan dalam enakmen syariah.
Tentangan harus dinyatakan jelas terhadap para suami yang tidak segan memulakan kehidupan berpoligami melalui jalan salah dengan bernikah tanpa kebenaran mahkamah. Lebih mustahak daripada itu, seharusnya masyarakat juga mengkritik dengan lebih keras terhadap para lelaki yang menunggang agama demi menghalalkan kezaliman mereka. Tindakan mereka yang tidak mengikut prinsip agama sebenarnya boleh juga dilihat sebagai perlakukan yang mengundang orang ramai untuk merendah-rendahkan figura agama bahkan mempersendakan didikan agama itu sendiri.
Sebagai contoh, ajaran agama mendidik Muslim agar sangat berhemah dalam semua interaksi sosial dan berlemah-lembut dengan para isteri. Maka jika ada yang menggunakan poligami sebagai ruang untuk mengasari emosi, atau lebih buruk lagi fizikal, isterinya, lelaki itu bukan saja telah bertindak di luar batasan tetapi mendatangkan fitnah ke atas ajaran agama. Kekasaran fizikal yang merupakan suatu jenayah baik dalam perundangan sivil mahupun dalam perundangan syariah bukanlah sesuatu yang dipandang enteng.
Kepada pempengaruh sosial yang sedang menempa nama di pandangan masyarakat umum, beringatlah agar berhati-hati kerana lumrah manusia naik membilang anak tangga, turun selangkah jejaklah ke bumi. Jangan hidup menunggang agama hinggakan semua batasan segera dilanggar atas dasar ego peribadi.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Dis 8, 2023
Comments
Post a Comment