Relevankah Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa? (Utusan Malaysia 3 November 2023)
‘Dan bahawa orang-orang yang beriman dan bertaqwa bersatu menghadapi siapa saja yang berlaku curang atau aniaya kepada mereka, atau berbuat dosa, atau bermusuhan, atau merosak terhadap orang-orang beriman.’ – Buya Hamka.
Sudah hampir sebulan konflik di antara negara haram, Israel dan kumpulan militar Hamas berterusan dengan jumlah kehilangan nyawa hampir mencecah 10,000, menjadikan konflik terkini sebagai konflik yang paling berdarah dalam ketegangan di antara tentera Israel dan rakyat Palestin.
Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 27 Oktober yang lalu telah menerima resolusi menyeru gencatan senjata di antara Israel-Palestin dengan 120 undi menyokong, 14 menentang, dan 45 tidak mengundi. 14 negara yang mengundi untuk menentang genjatan senjata merupakan negara Israel dan sekutu-sekutunya yakni Amerika Syarikat, Fiji, Marshall Islands, Micronesia, Guatemala, Nauru, Papua New Guinea, Paraguay, dan Tonga. Selain seruan gencatan senjata, resolusi sama turut mendesak agar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipatuhi oleh semua pihak yang sedang berbalah.
Sepanjang berlangsungnya perhimpunan tergempar itu, ramai pengulas di Malaysia yang membangkitkan isu penolakan Malaysia terhadap ratifikasi Statut Rom. Polemik yang sebelum ini hangat diperkatakan sekitar tahun 2019 kembali membara di kalangan ahli akademik, penganalisa politik antarabangsa dan tidak ketinggalan politikus yang menangguk dalam air keruh.
Amat dangkal untuk orang ramai kini menghujahkan kononnya Malaysia terlepas peluang untuk mengheret Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di atas sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa hanya kerana Malaysia tidak menandatangan Statut Rom. Sedangkan perlu ditekankan bahawa Negara Palestin sendiri merupakan ahli kepada Statut Rom dan berkemampuan dengan sendiri untuk memulakan tindakan terus ke ICC bagi membicarakan sebarang tuduhan pelanggaran undang-undang kemanusian antarabangsa terhadap kesemua kekejaman yang pernah dilakukan oleh negara haram Israel.
Tambahan pula, daripada 57 buah negara yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), 24 buah negara ini turut meratifikasi Statut Rom termasuklah Jordan yang merupakan negara pengusul resolusi di UNGA pada 26 Oktober lalu. Maka adalah amat cetek untuk mengatakan kononnya kekejaman Israel berterusan hingga ke hari ini hanya kerana Malaysia bukanlah negara ahli Statut Rom yang mampu untuk merujuk kes ke ICC.
Yang paling menarik sekali, perlu ditekankan bahawa Amerika Syarikat, yang terkenal sebagai sekutu terdekat Israel, juga bukan ahli Statut Rom. Malah dalam komunikasi bertarikh 6 Mei 2002, kerajaan Amerika Syarikat ketika itu dengan tegas dan angkuh menolak keahlian dalam Statut Rom. Alasan penolakan kononnya kerana Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, Bush merasakan keahlian dalam Statut Rom akan disalahgunakan negara-negara luar terhadap Amerika Syarikat.
Maka tidak pelik apabila Amerika Syarikat yang sering berlakon sebagai pengaman dunia tidak menentang bahkan mendiamkan tindakan serangan balas Israel yang melampaui had prinsip kekadaran di bawah Artikel 31 Statut Rom dan di bawah undang-undang antarabangsa. Tambahan pula Amerika Syarikat juga berpejam mata apabila Israel melakukan jenayah terhadap kemanusiaan seperti yang ditakrifkan di bawah Artikel 5 dan 7 Statut Rom, di samping melakukan penghapusan bangsa (genosid) secara sistematik terhadap rakyat Palestin yang merupakan pelanggaran prinsip di bawah Artikel 6 Statut Rom.
Konflik berdarah yang terkini bukanlah kali pertama, dan tanpa tindakan tegas masyarakat global, bukanlah kali terakhir Israel dengan biadap dan bongkak melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin. Saban tahun dunia menyaksikan pelbagai bentuk kekejaman yang dimulakan Israel. Pada tahun 2021, pada ketika rakyat Palestin sedang menghormati bulan Ramadan, dengan biadap tentera Israel menyerang kawasan Masjid al-Aqsa.
Kali ini, Israel tanpa rasa perikemanusiaan turut mengebom Gereja Ortodoks Yunani Saint Porphyrius yang menjadi tempat perlindungan ratusan Muslim dan Kristian di Bandar Gaza. 18 orang kehilangan nyawa dan struktur gereja yang sudah wujud sejak tahun 425 ranap. Amerika Syarikat yang sering menjulang diri sebagai pendokong demokrasi masih membela tindakan Israel. Walhal prinsip hormat kepada rumah-rumah ibadat merupakan prinsip paling asas dalam undang-undang antarabangsa yang telah diserap masuk ke dalam Artikel 8 Statut Rom berkenaan dengan jenayah perang.
Kelantangan pentadbiran dan rakyat Malaysia menentang kezaliman yang dilakukan Israel bukanlah perkara baru dan tidaklah harus diperkecilkan dengan membangkitkan polemik Statut Rom. Tanpa keahlian dalam Statut Rom, Malaysia masih mengabdikan setiap usaha memastikan keadilan sejagat diperolehi di bumi Palestin. Sokongan Malaysia buat rayuan keamanan rakyat Palestin bukan hanya atas dasar kemanusiaan tetapi juga atas pegangan persaudaraan agama yang tinggi.
Membangkit isu ratifikasi Statut Rom pada ketika konflik kian berdarah di antara Israel-Palestin bukan saja merendahkan kemustahakan isu ini tetapi juga memperkotak-katikkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap Palestin selama ini.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Nov 3, 2023 dengan pindaan Editor sebagai 'Tanpa keahlian Statut Rom, kita tetap pastikan keadilan di Palestin'.
Comments
Post a Comment