YDPA sebagai pemelihara perpaduan nasional (Utusan Malaysia 15 September 2023)
‘DI ATAS robohan Kota Melaka
Kita bangunkan jiwa merdeka
Bersatulah Melayu seluruh baka
Membela hak keadilan pusaka.’ – Buya Hamka.
Suratan takdir mengaturkan program #TagupiMembaca Siri Keempat yang berlangsung minggu lalu tiba di Tawau dan melalui jalan raya ke Lahad Datu sehari selepas lawatan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di sana. Riuh rakyat jelata dari Sabah yang menceritakan bagaimana jalan raya yang serba daif sebelum ini lekas-lekas dibaiki bagi menyambut mesra lawatan YDPA. Kami yang tiba di sana turut merasai kehangatan sambutan orang Sabah buat Baginda Sultan dan turut menikmati manfaat yang terbit daripada lawatan diraja ini.
Ramai yang tidak sedar, ini merupakan lawatan rasmi YDPA kali kedua ke Barat Sabah yang sebelum ini pernah juga hadir di Tawau pada tahun 2019. Malah, mungkin ada yang melihat lawatan rasmi ini sebagai suatu perkara yang kecil. Namun tidak pada mata dan hati rakyat Sabah.
Lawatan YDPA sebegini merupakan pengikat hati di antara rakyat Sabah dan Sarawak kepada keseluruhan negara bangsa Malaysia. Masakan tidak, selain Tuanku Al-Sultan Abdullah, hanya Seri Paduka ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang pernah membuat lawatan ke Barat Sabah dan itupun kali terakhir pada tahun 2004.
Lawatan berterusan yang merapatkan di antara figura Ketua Negara dan seluruh rakyat jelata Malaysia merupakan bukti iltizam dalam titah Seri Paduka direalisasikan. Titah Baginda Sultan pada tahun 2019 bertitah, “Setiap daripada kita mempunyai peranan juga. Kalau kita di sini ada kawan di Sabah dan Sarawak, kita patut dekatkan. Kita mendekatkan mereka yang jauh dan dekatkan lagi orang yang dekat dengan kita.”
Bukan perkara mudah untuk memupuk rasa kasih di antara rakyat di Sabah yang sering melihat pembangunan mereka dipinggirkan. Dengan bentuk muka bumi yang mencabar dan ramai yang masih hidup jauh di pedalaman, kesukaran komunikasi di Sabah bukan hanya kerana capaian kewilayahan tetapi juga kerana infrastruktur tidak menyokong interaksi sosial yang efektif di antara mereka di sana dan kita di sini.
Pun begitu, sebagai Ketua Negara yang menggendong juga tugas memelihara perpaduan nasional selari dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan, sedar atau tidak YDPA berperanan besar untuk memastikan kesatuan hati di antara 33.4 juta rakyat Malaysia. Amanah ini yang berpaksikan sumpah YDPA agar memerintah mengikut Kedaulatan Undang-Undang termasuklah berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.
Amanah ini, yang diambil dengan menyebut nama Tuhan yang Maha Agung, menjanjikan agar setiap wilayah di dalam Malaysia membangun untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Hakikatnya meskipun sudah genap 60 tahun Sabah dan Sarawak bersatu dengan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia, kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak masih tidak merasai nikmat pembangunan yang sekata dengan apa yang didirikan di bandar-bandar besar di Semenanjung.
Mengikut permerhatian peribadi saya, semasa saya berada di Sabah, yang paling menyedihkan ialah keadaan infrastruktur bantuan agensi kerajaan yang tidak diselenggara dengan baik. Antara yang berlaku di depan mata, saya melihat bagaimana agensi kerajaan telah memberikan bantuan tangki minuman untuk sekolah alternatif yang menjadi hos program #TagupiMembaca.
Malangnya selepas lebih lima tahun tangki air tersebut dipasang, hanya sekali agen yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan datang untuk memantau kegunaan tangki air tersebut. Kesannya, selepas lima tahun, akhirnya tangki air tersebut rosak dan tidak boleh lagi digunakan. Manfaat besar yang diniatkan tidak kesampaian hanya kerana kegagalan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan amanah masing-masing.
Jika di Semenanjung, pantauan ke atas projek-projek yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan dilihat lebih ketat memandangkan saluran komunikasi adalah lebih baik walaupun setelah mengambil kira faktor jarak kewilayahan. Namun, jauh di pedalaman Sabah, pantauan seolah-olah hampir tidak wujud.
Maka, waima sudah berkali-kali saranan disampaikan kepada kerajaan agar diadakan suatu mekanisma yang telus untuk pendaftaran kelahiran penduduk di Sabah tetapi masih belum ada jalan penyelesaian yang tuntas. Hak kewarganegaraan mereka yang lahir dan membesar di bumi Sabah masih samar. Malah dengan cadangan pindaan kepada Bab III Perlembagaan Persekutuan yang disyorkan oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini, akses kepada pendaftaran dokumen pengenalan diri rasmi akan menjadi semakin sulit.
Setiap kali menganjurkan program #TagupiMembaca, saya akan merasa sebal. Dalam majlis perasmian program, akan ada slot untuk menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku. Para peserta dengan bersemangat dan penuh keyakinan akan menyanyikan bait lirik lagu meskipun rata-rata mereka merupakan orang tanpa dokumen. Tambahan pula, program kebetulan dianjurkan dalam tempoh sambutan Hari Kemerdekaan masih terasa. Dengan penuh bangga, mereka mengibarkan Jalur Gemilang yang ditiup bayu Tanjung Labian penuh sayu.
Mengapakah semangat cintakan negara Malaysia dan ketaatan mereka kepada Raja berterusan tidak diiktiraf?
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Sept 15, 2023 dengan pindaan Editor sebagai 'Taat setia sudah dilafaz, kerakyatan masih belum iktiraf'.
Comments
Post a Comment