Pindaan kepada Perlembagaan nak mudahkan kerja siapa? (Utusan Malaysia 4 September 2023)
‘TUGAS kita bukanlah untuk berhasil, tugas kita adalah untuk mencuba kerana di dalam mencuba itulah kita menemukan kesempatan untuk berhasil.’ – Buya Hamka.
Minggu hadapan bermula 5hb – 8hb September saya dan kumpulan aktivis #TagupiMembaca akan meneruskan dengan siri keempat program amal yang bertujuan untuk membawakan pelbagai alatan bantuan pembelajaran dan bahan bacaan bagi manfaat kanak-kanak tanpa negara di Sabah. Mereka hidup sebagai warga tanpa negara atas faktor kegagalan ibu bapa memastikan pendaftaran kelahiran mereka disempurnakan.
Namun, apabila ditelesuri lebih jauh, status mereka berpunca daripada kelompongan besar dalam kerangka perundangan dan dasar kerajaan sehingga meskipun ada antara nenek-moyang mereka memiliki dokumen, akhirnya ibu bapa dan mereka sendiri gagal mendapatkan dokumen pengenalan diri rasmi. Maka tumbuhlah mereka membesar sebagai orang tanpa dokumen yang hidup sebagai persona non-grata dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara, meskipun bumi bertuah ini ialah tanah tumpah darah mereka.
Sebagai manusia yang tidak diiktiraf sebarang negara, kanak-kanak tanpa dokumen dinafikan pelbagai hak asasi manusia termasuklah yang paling utama akses kepada sistem pendidikan negara dan akses kepada sistem penjagaan kesihatan. Membayangkan jerih-perih apabila ada yang sakit, nilai nyawa mereka dipinggirkan daripada melangkah masuk ke pintu hospital awam, sudah tentu ramai aktivis di lapangan yang kesal dan sesal dengan keadaan rumit berdekad lama ini.
Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri mencadangkan lapan pindaan ke atas peruntukan dalam Bab III Perlembagaan Persekutuan kononnya bagi membuka ruang yang lebih luas untuk mendaftarkan kelahiran kanak-kanak daripada pelbagai kategori termasuklah kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah. Cadangan yang dikemukakan ialah rentetan daripada pelbagai desakan daripada pertubuhan masyarakat sivil khususnya selepas mahkamah memutuskan isu hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang lahir di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia.
Sebagai pejuang bahasa Melayu selaras dengan takzim yang diberikan sebagai bahasa kebangsaan, cadangan pindaan yang meletakkan syarat kefasihan penguasaan bahasa Melayu sudah tentu dialu-alukan. Malah, saya lihat, pada permukaan, beberapa cadangan lain dilihat sangat menarik dan memberikan sinar harapan kepada sahabt-sahabat saya di Kg Tagupi Laut, Lahad Datu Sabah.
Pun begitu, apabila didalami, ada di antara penambahan baru yang dicadangkan seperti membuka peluang besar kepada agensi kerajaan untuk menidakkan permohonan pendaftaran. Secara khususnya, pihak KDN mencadangkan kemasukan fasal baru bagi membenarkan hak kerajaan untuk tidak meluluskan atau menangguhkan permohonan kewarganegaraan.
Hal ini telahpun dibangkitkan dalam Laporan Gabungan Pemegang Taruh ke Proses Semakan Berkala Sejagat Pusingan Keempat oleh Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia untuk Semakan Berkala Sejagat (MACSA) yang telah dihantar ke Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOHCHR) pada bulai Julai lalu. MACSA mengesyorkan agar suatu proses yang telus diwujudkan bagi mengelakkan diskriminasi daripada terus berlaku khususnya selepas MACSA menerima pelbagai aduan melibatkan kesukaran pendaftaran kelahiran di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Malah dalam Laporan MACSA turut memberi cadangan agar suatu Pasukan Petugas Khas di bawah Majlis Keselamatan Negara ditubuhkan untuk melihat mekanisme yang sesuai, dengan tujuan pemberian kewarganegaraan kepada orang tanpa kerakyatan. Walaupun sebelum ini, Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan penubuhan suatu jawatankuasa khas bagi meneliti isu berkaitan kewarganegaraan secara menyeluruh daripada pelbagai aspek, tetapi dapatan kajian dalam tempoh yang amat singkat amat diragui.
Saya berpandangan mustahil untuk kerajaan menyelesaikan kajian menyeluruh di bawah jawatankuasa ini yang ditubuhkan dalam bulan Januari. Apatah lagi untuk mengeluarkan cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan pada bulan Julai, yakni kurang enam bulan dari tarikh penubuhan jawatankuasa. Proses libat urus dan penelitian jawatankuasa kelihatan tidak telus jika tempoh singkat ini memberi indikasi tahap keseriusan kerajaan dalam menyelesaikan isu ini.
Ketandusan ketelusan dalam proses pendaftaran kelahiran dan mendapatkan dokumen pengenalan diri rasmi telah menyebabkan lebih 200,000 kanak-kanak terus hidaup di bumi Sabah tanpa pendidikan. Biarpun ramai yang sudi membantu, tanpa sumber golongan aktivis di lapangan sudah tentu tidak memadai dan terbatas. Maka biarpun berkali-kali kumpulan aktivis #TagupiMembaca menyantuni mereka, masih banyak perihal yang tidak dapat dilestarikan.
Saya sudah jelak bercakap tentang kemahuan politik yang saban tahun tak hadir. Sejak daripada kerajaan silam yang sudah bertukar ganti, pelbagai janji yang sudah ditaburkan dan pelbagai saranan sudah disuarakan. Penyudahnya masih samar.
Mahu atau tidak, Kerajaan negeri Sabah dan Kerajaan Pusat harus bersikap lebih terbuka, bertoleransi dan cakna akan kemelut dokumen pengenalan diri yang berlarutan di Sabah. Tanpa jalan yang lebih memanfaatkan rakyat, Kerajaan hanya bermain dengan sentimen romantik kenegerian sedangkan komuniti tidak berdokumen masih berterusan dihimpit belenggu undang-undang dan dasar yang menindas mereka.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Sept 4, 2023.
Comments
Post a Comment