Malaysia nak ada Akta Ombudsman? (Utusan Malaysia 21 Julai 2023)

KATA-KATA amanah satu rumpun dengan kalimat aman. Jikalau tiap orang memegang amanahnya dengan betul, akan amanlah negeri dan bangsa.’ – Buya Hamka.



Pernah berlegar suatu masa dulu di media sosial tentang petikan daripada filem yang mengatakan bahawa ‘seseorang itu tidak ada kehidupan yang buruk, sebaliknya mereka hanya ada kerajaan yang buruk.’ Petikan ini menggambarkan jelas bagaimana kegagalan mana-mana jentera kerajaan bukan saja menganggu masyarakat umum tetapi lebih utama kehidupan individu seseorang rakyat. Untuk mengakhiri kesengsaraan rakyat akibat tindakan tidak kemas sesuatu kerajaan, amat wajar sekali diwujudkan suatu badan yang menyiasat sebarang dan semua aduan awam tentang kerajaan. 

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) mengumumkan bahawa  Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia dijangkakan akan siap didraf dan dirujuk melalui proses kelulusan Jemaah Menteri dalam tahun ini. Sudah tentu anggaran beliau, RUU ini akan dibacakan juga untuk kali pertama di Parlimen dalam tahun ini. Ini bertepatan dengan komitmen kerajaan lampai bahawa RUU Ombudsman akan disegerakan pendrafan dan pembentangan.

Secara ringkasnya, ombudsman merupakan istilah merujuk kepada pegawai yang dilantik untuk menyiasat aduan individu terhadap syarikat atau organisasi, terutamanya pihak berkuasa awam. RUU Ombusman Malaysia bertujuan untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus dalam menangani aduan awam dan  dijangkakan akan memperuntukkan fungsi dan kuasa pengurusan aduan salah tadbiran di agensi kerajaan Persekutuan. 

Di negara luar seperti Australia, ombudsman telah diwujudkan seawal 1970-an lagi, bilamana ombudsman diberikan kuasa untuk menyiasat aduan sebarang tindakan atau keputusan jabatan dan agensi Kerajaan Australia, menyelia penyiasatan yang dijalankan oleh Polis Persekutuan Australia berdasarkan laporan atau aduan awam. Lebih baik lagi di Australia, ombudsman turut menyiasat aduan mengenai perkhidmatan yang disampaikan oleh kontraktor swasta untuk Kerajaan Australia. Bulan lalu, ombudsman yang ditubuhkan khas bagi memantau industri telekomunikasi telah menyiasat aduan umum mengenai pelbagai isu telekomunikasi termasuklah penggantungan perkhidmatan telekomunikasi secara tidak wajar dan harga pakej perkhidmatan yang tidak berpatututan. 

Selain itu, di Bahrain, ombudsman ditubuhkan untuk memastikan pematuhan tatacara dalam penyiasatan dan keputusan badan penyiasatan negara tersebut serta pematuhan kepada peraturan pentadbiran yang mengawal prestasi penjawat awam. Malah di Bahrain, ombudsman berfungsi dengan sudut pandang yang lebih luas melihat kepada pematuhan hak asasi sebagai landasan utama. Pada tahun 2016, ombudsman Bahrain dipertanggungjawabkan untuk menyiasat dakwaan mengenai serangan seksual terhadap seorang wanita yang berlaku di dalam salah sebuah pejabat kerajaan di sana.

Ombudsman Republik Indonesia telah ditubuhkan melalui Undang-Undang Nomor 37 Tahun 2008 tentang Ombudsman Republik Indonesia dan diberikan kuasa untuk menerima aduan awam mengenai salah laku dalam pentadbiran awam, bertindak menyiasat aduan yang diterima selain melakukan kerja-kerja pencegahan salah laku melalui pengesyoran cadangan pembaikan dalam dasar dan tatakelola negara. Awal minggu ini ombudsman di Indonesia telah menerima aduan mahasiswa di Nusa Tenggara Timur mengenai kos biaya kuliah di universiti awam yang dilihat terlalu mahal sehingga menyukarkan mahasiswa meneruskan pengajian mereka. 

Ombudsman di Ukraine malah telah diberi bidang kuasa luas untuk menyiasat sebarang salah laku sepanjang Peperangan Rusia – Ukraine berterusan. Awal tahun ini, Ombudsman Ukraine mengumumkan dapatan mereka bawah terdapat 461 orang kanak-kanak yang telah terbunuh sejak permulaan perang di negara itu. Hujung Jun 2023, delegasi khas Pope bertemu dengan Ombudsman Rusia bagi Hak Kanak-Kanak bagi memberikan maklum balas mengenai dakwaan kononnya Rusia telah menghantar pulang kanak-kanak Ukraine secara paksa. 

Saya melihat keperluan mewujudkan suatu badan khas di Malaysia untuk menerima setiap aduan awam berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan melalui mana-mana jentera kerajaan ialah mustahak dan mendesak. Sekarang ini rasa ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap mana-mana perkhidmatan awam hanya dapat disalurkan secara tidak teratur melalui pelbagai landasan seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) berkenaan dengan hospital awam.

Keberadaan Biro Pengaduan Awam (BPA) dilihat tidak malar, malah tidak dikelolakan sebagai pusat penerimaan sebarang aduan awam dan sudah tiba masanya diperkasakan dengan lebih hebat lagi agar dapat merealisaskan fungsi sebenar BPA termasuklah untuk menyelesaikan aduan dengan cekap, adil dan berkesan, memperkenalkan pembaharuan dan inovasi berasaskan aduan awam, serta memberi khidmat nasihat kepada agensi bagi meningkatkan sistem pengendalian aduan awam yang berkesan. 

Maka, pengumuman Ketua BPA awal bulan ini bahawa BPA akan diserap sepenuhnya kepada Ombudsman Malaysia memberikan masa terbaik untuk menjernihkan semula tugasan di bawah Ombudsman yang bakal diwujudkan dengan fungsi sedia ada BPA. Tanpa suatu badan khusus yang diwujudkan bagi menerima segala aduan awam, rakyat Malaysia hanya mampu memberikan teguran kepada kerajaan secara halus di peti undi saja. 

Solusi sebegini tidak efektif sedangkan dalam negara terus dijerut dengan pelbagai masalah ekonomi, sosial dan politik yang meruncing. Keperluan untuk suatu sistem khas penerimaan aduan adalah amat diperlukan lebih-lebih lagi pada masa rakyat memerlukan perhatian segera dan solusi tuntas kepada setiap aduan yang mengganggu kesejahteraan rakyat Malaysia.


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Julai 21, 2023 dengan pindaan Editor sebagai 'Bila nak tegur kerajaan saja, kena buat secara 'halus''


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)