Apa dosa kita kepada generasi depan? (Utusan Malaysia 2 Jun 2023)

CINTA bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan.” – Buya HAMKA. 




Gempar baru-baru ini apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dikeluarkan Institut Kesihatan Umum di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan trend remaja telahpun menjalinkan hubungan intim sebelum mencapai usia 14 tahun. Khususnya, Tinjauan Kesihatan Remaja 2022 yang dijalankan terhadap murid sekolah menengah di antara usia 13 dan 17 tahun mendapati 154,646 remaja telahpun melakukan aktiviti seksual. Pendedahan ini bagai campak baju nampak kurap. Amat menjatuhkan kehormatan diri mereka, keluarga bahkan, bangsa. 

Lebih membimbangkan lagi, 88 peratus remaja yang aktif secara seksual mengaku tidak menggunakan sebarang bentuk kontraseptif. Trend ini menimbulkan kebimbangan yang besar terhadap kesejahteraan belia dalam negara. Ini kerana pengetahuan mengenai kesihatan seksual yang rendah bukan saja boleh menyebabkan kehamilan tidak dirancang, bahkan jangkitan pelbagai penyakit hubungan jenis (STD). Maka tidak pelik apabila dilihat Malaysia berada di kedudukan kelapan dalam kalangan negara ASEAN bagi rekod kehamilan remaja tertinggi dengan kira-kira 11.5 kehamilan direkodkan bagi setiap 1,000 remaja berumur 15 hingga 19 tahun.

Meskipun pendidikan kesihatan seksual sudahpun diterap masuk ke dalam silibus Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial kebangsaan khususnya melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan, namun malangnya silibus ini masih tidak mencapai matlamatnya. Data ini selaras dengan dapatan NHMS pada tahun 2020 yang menunjukkan 86 peratus remaja dan dewasa dalam kalangan usia 15 hingga 24 tahun tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi mengenai penyakit HIV.

Pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif yang seimbang dengan nilai sosial setempat serta mengambil kira perubahan sosial ialah penting dan mustahak bagi memastikan remaja tidak terlibat dengan kelakuan seksual yang membawa padah kepada diri dan masyarakat. Sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan pernah melaporkan, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekurang-kurangnya terdapat purata 10 kes buang bayi dilaporkan dalam tempoh sebulan sejak empat tahun lalu bermula 2018 hingga 2021. Khususnya, PDRM merekodkan 128 kes buang bayi pada tahun 2018, diikuti 125 kes pada tahun 2019, 104 kes pada tahun 2020 dan 86 kes pada tahun 2021. 

Antara punca kes buang bayi di kalangan remaja adalah ketiadaan ikatan perkahwinan yang sah semasa bayi dikandungkan. Dalam pada statistik kehamilan remaja meningkat, negara pula mengambil inisiatif tegas bagi mengawal perkahwinan bawah umur termasuklah dengan meminda enakmen syariah di peringkat beberapa negeri agar umur perkahwinan ditetapkan pada usia 18 tahun. 

Adakah sebagai sebuah masyarakat kita sudah terlalu gagal dalam mendidik remaja di kalangan kita sehinggakan mereka alpa dengan nilai sosial yang memandang seks tanpa pernikahan sebagai suatu yang memalukan? Atau apakah kerangka perundangan yang mengharamkan hubungan seks dengan remaja bawah umur 16 tahun sudah tidak mencukupi untuk membenteras gejala ini? Apabila sebagai masyarakat kita memberi isyarat memandang jelik perkahwinan bawah umur, adakah kita dilihat menerima malah meraikan seks di kalangan remaja tanpa batasan sosial dan kekangan agama? Apakah ini dosa kita sebagai masyarakat kepada generasi depan?

Ramai yang pernah menghujahkan pendidikan seksual adalah daripada barat dan sesat. Sedangkan apabila didalami intipati al-Quran, pendidikan seksual diselitkan dengan kemas sekali melalui ayat Surah Maryam (19:20) yang bermaksud: “Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat”. Persoalan Maryam ini menunjukkan hakikat bahawa al-Quran mengajar kehamilan tidak boleh berlaku tanpa wanita berhubungan intim dengan lelaki. Pemahaman ini ialah asas kepada pendidikan seks. 

Begitu juga didikan dalam al-Quran agar orang yang beriman menjaga kehormatan melalui pemeliharaan alat sulit mereka seperti yang disebut dalam Surah an-Nur (24:30) yang bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Malah al-Quran juga mendidik adab ahli keluarga bagi menghormati privasi, khususnya dalam Surah an-Nur (24:58) yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu...” 

Perlu dihayati bahawa pendidikan seksual bukan hanya fakta tentang bagaimana untuk tidak mengandung atau mengamalkan ‘seks selamat’. Pendidikan seksual yang sebenar haruslah diiringi dengan pengurusan nafsu melalui penghayatan agama yang jauh lebih menyeluruh. Pendidikan kesihatan seksual dalam Islam bertunjangkan falsafah bahawa hubungan intim sangat berkaitan dengan kehormatan. Didikan awal tentang falsafah ini kepada anak-anak remaja amatlah mustahak agar mereka dapat dengan bijak memelihara kehormatan diri, keluarga dan bangsa agar generasi yang lahir daripada mereka ialah bangsa yang memiliki kehormatan. 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Jun 2, 2023.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)