Apa erti kemenangan Bella buat JKM? (Utusan Malaysia 5 Mei 2023)
“IKHLAS dan sejati akan bertemu di dalam senyuman anak kecil, senyum yang sebenarnya senyum, senyum yang tidak disertai apa-apa.” – Buya HAMKA.
Pengalaman menjadi peguam pemerhati untuk kes perbicaraan terhadap Siti Bainun Ahd Razali di atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] sejujurnya merupakan pengalaman penuh emosi yang pernah saya ikuti. Setiap liku perbicaraan berjalan dengan isian drama yang mampu menggoncangkan akal waras waima orang yang paling rasional di antara kita. Apatah lagi, saya yang sering beremosi dalam reaksi.
Meskipun perbicaraan memakan masa lebih setahun, saban hari mahkamah penuh di setiap penjuru; galeri awam sendat dengan orang ramai yang tertarik untuk mengikuti proses kehakiman, barisan meja peguam penuh dengan lima orang Timbalan Pendakwa Raya yang bertungkus lumus membela nasib seorang anak yatim, lebih sembilan orang pasukan peguambela, dan tidak kurang daripada enam orang peguam pemerhati yang masing-masing tercatuk memastikan proses berjalan dengan baik.
Ada di antara barisan peguam pemerhati yang datang dari Johor, ada pula yang datang dari Kedah; semata-mata melampiaskan tanggungjawab sosial kami yang merasakan fakta kes terlalu aneh. Syukur di hujung tahun penuh onak ini, akhirnya mahkamah usai dengan penghakiman yang jelas. Keadilan buat Bella sudahpun dipenuhi.
Kini kami yang terlibat masih perlu mengemaskini matlamat perjuangan. Bagi yang ikhlas, mata kami tidak hanya melihat adik Bella sebagai mangsa tunggal keadaan. Sayu sekali kami akui kes ini hanyalah titik permulaan membongkar kebobrokan sistem pemeliharaan dan penjagaan kanak-kanak dalam negara ini.
Dalam pada adik Bella akan terus membesar dan hidup dengan traumanya yang tersendiri, saya khuatir jika kanak-kanak yang lain akan terperangkap di gaung juram yang sama jika kita tidak ubah sistem sokongan sosial dalam mengendalikan kanak-kanak di Malaysia. Sedangkan tumbesaran sihat kanak-kanak menjamin kestabilan sosioekonomi negara di masa depan.
Pertama-tama, perlu kita fahami status adik Bella berbeza dengan kanak-kanak lain; beliau bukanlah dalam jagaan ibu bapa kandungannya. Sebaliknya, Bella dijumpai berkeliaran sendirian di Kuala Lumpur dan dirujukkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkannya di sebuah pusat jagaan kendalian JKM.
Memandangkan Bella berada dalam jagaan JKM, sebuah agensi kerajaan dan bukan dalam jagaan ibu bapa kandungnya, maka menurut kerangka perundangan JKM harus memastikan jagaan Bella mendapat perintah mahkamah sebagai pengendorsan. Inilah juga prosedur yang terpakai apabila orang awam yang bukan ibu bapa kandungnya mendapatkan jagaan kanak-kanak daripada mana-mana pusat jagaan JKM; mereka haruslah ke mahkamah untuk mendapatkan perintah jagaan.
Melalui fakta kes, yang kini menjadi sebahagian daripada rekod awam, semasa perbicaraan ada saksi yang menyatakan proses memberi perintah jagaan sementara Bella kepada Siti Bainun tidak telus. Keterangan saksi lain pula mengatakan tiada lawatan ke rumah Siti Bainun selepas Bella dipeliharanya kerana isu birokrasi daerah tempat tinggal Bella. Maka tiada pengawasan yang sewajarnya terhadap penjaga Bella. Malang sekali, akhirnya percaturan ini memangsakan seorang kanak-kanak kurang upaya yang lemah tanpa kuasa untuk membela dirinya sendiri.
Apa garis panduan yang digunapakai JKM untuk menilai seseorang sebagai orang yang layak dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak dalam pengawasan agensi itu? Di mana prosedur JKM bilamana seorang kanak-kanak dibiarkan dalam jagaan seseorang yang kononnya layak dan sesuai namun akhirnya ditemui dengan berpuluh kesan luka kekal? Bagaimana urusan birokrasi memungkinkan kelompongan sehinggakan tugas membuat lawatan ke rumah kediaman orang yang memelihara kanak-kanak di bawah perintah jagaan tidak dipenuhi?
Sebelum ini saya telah menulis mengesyorkan kepada kerajaan agar beban kerja pegawai perlindung di bawah JKM diringankan dengan menggajikan lebih ramai lagi pegawai perlindung. Namun adakah solusi ini akan mampu membetulkan kerosakan yang nyata dalam segelintir tenaga kerja di JKM?
Kes melibatkan adik Bella hanyalah hulu malang pangkal celaka. Sebelum ini sebuah dokumentari melihatkan bagaimana beberapa orang remaja yang berada dalam jagaan JKM tidak diuruskan dokumen pengenalan diri rasmi mereka sehinggalah mereka keluar daripada pusat jagaan JKM tanpa dokumen diri dan hidup tanpa status sah sebagai warga negara Malaysia. Ini secara langsung menyukarkan kehidupan mereka. Tanpa dokumen, mereka dinafikan pendidikan, bahkan juga pembelaan.
JKM harus lebih keras merombak struktur agensi agar kelompongan dapat ditutup, kebobrokan dipulihkan dan kelemahan dijernihkan. Amat sayang sekali apabila ramai pegawai perlindung yang begitu tulus bekerja untuk menjaga kemaslahatan bangsa sedangkan agensi gagal memastikan kesejahteraan mereka dan golongan rentan yang mereka santuni. Saya mendoakan keadilan buat adik Bella menjadi batu loncatan agar Yang Berhormat Menteri yang baru dilantik dapat membantu mengharmonikan semula JKM.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).
Comments
Post a Comment