Lambakan kes keganasan terhadap kanak-kanak: Apa kerajaan nak buat? (Utusan Malaysia 20 Jan 2023)
‘ANAS bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Berbuat baiklah kepada anak-anakmu, dan sempurnakanlah adab mereka”.’ – Sunan Ibn Majah 3671.
Pada 9 Disember lalu, seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun mati didera bapanya dan ditanam berhampiran tempat riadah di Jalan Pudu. Pada 26 Disember pula, seorang kanak-kanak lelaki mati selepas didera oleh kakak kandungnya di Senggarang, Batu Pahat. Pada 4 Januari tahun ini, seorang bayi lelaki empat bulan koma selepas disyaki didera di taska oleh pengasuhnya. Minggu lalu, tular rakaman video orang awam menemui seorang kanak-kanak lelaki dengan kesan penderaan fizikal di Cheras Utama.
Sejak seminggu lalu juga diberitakan beberapa kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak. Minggu lalu, seorang lelaki warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bharu atas pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak kandungnya berusia tiga tahun 11 bulan. Awal minggu ini, seorang tukang masak warganegara Thailand dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan merogol dan memiliki gambar lucah mangsa berusia 15 tahun. Pada hari sama, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bekas pengetua didakwa dengan 13 pertuduhan termasuklah tuduhan berkomunikasi secara seksual, melakukan amang seksual fizikal dan merogol pelajarnya yang berusia 16 tahun.
Sebagai negara yang majoriti demografi ialah penganut agama Islam, apakah yang sudah rosak dalam masyarakat Malaysia apabila insiden penderaan terhadap kanak-kanak masih berleluasa? Sudah rosakkah pegangan agama kita atau sudah ranapkah akal waras kita sebagai masyarakat madani? Apa yang bobrok dalam struktur sosial negara ini sehingga begini dasyat masalah penderaan terhadap kanak-kanak berleluasa dalam negara? Sedangkan agama mendidik umat Islam memelihara hak kanak-kanak dan undang-undang mendidik larangan terhadap tingkah laku ganas serta eksploitasi ke atas kanak-kanak.
Perlu diingatkan bahawa Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) pada tahun 17 Februari 1995. Selepas ratifikasi ini, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2001. Seterusnya, kerajaan juga telah menggarap Pelan Tindakan dan Dasar Kanak-Kanak Negara selain daripada membangunkan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak pada Julai 2009. Tambahan lagi, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) turut ditubuhkan pada Ogos 2019.
Rangkuman perundangan dan dasar negara sudah cukup jelas untuk memastikan hak perlindungan kanak-kanak diperkemas di setiap peringkat. Ini telah disahkan sendiri oleh Yang Berhomat Dato’ Sri Nancy Shukri yang kini memegang tampuk kepimpinan di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) apabila beliau menegaskan bahawa undang-undang berkaitan kesejahteraan kanak-kanak seperti yang terkandung dalam Akta 611 sedia ada mencukupi dan mematuhi piawaian antarabangsa.
Namun, wujud kelompongan yang nyata apabila saban hari kita masih dihadapkan dengan berita jelik melibatkan penderaan terhadap kanak-kanak dalam pelbagai cara bahkan ada di antara berita ini meruntun jiwa. Malangnya, menurut kajian yang dilakukan pada tahun 2019, kes penderaan kanak-kanak terus menunjukkan trend meningkat setiap tahun. Undang-undang dan dasar sedia ada nyata sudah bobrok. Perlu diadakan sesuatu yg lebih holistik untuk menghentikan pelbagai keganasan terhadap kanak-kanak.
Masa untuk rakyat Malaysia berlepas tangan sudah lama tamat. Jika kita tidak endah dengan tuntutan jiwa dan rohani yang secara semula jadinya ingin memelihara kanak-kanak yang lebih lemah, maka perlu kita fikirkan tuntutan di masa depan. Kematian kanak-kanak pada hari ini menggambarkan kegetiran sumber manusia 20 tahun akan datang.
Awal tahun ini, KPWKM menyatakan hasrat mewujudkan sebuah unit, jabatan atau institusi khas bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak termasuklah menangani isu penderaan dan pengabaian yang semakin meningkat. Nasihat saya, daripada kerajaan membazir tenaga dan wang ringgit menubuhkan jabatan baru, mengapa tidak diperkasakan dan ditingkatkan sumber manusia dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya pegawai pelindung kanak-kanak yang ditauliahkan di bawah jabatan itu?
Gajikan lebih ramai pegawai pelindung yang bertauliah di JKM. Perkasakan bidang kuasa mereka untuk lebih tegas, cakna dan prihatin dalam menyantuni golongan rentan yang mereka sasarkan. Berikan mereka ruang yang lebih luas melangkaui sistem birokrasi khususnya dalam situasi getir menyelamatkan kanak-kanak. Buka ruang untuk hubung jalin antara JKM dengan sukarelawan bagi memampankan giat upaya pegawai kebajikan di lapangan. Tidaklah kita terus disajikan dengan keterlibatan pegawai pelindung yang bersekongkol dengan orang yang tidak layak dan tidak sesuai untuk memelihara kanak-kanak!
Inilah saranan yang telah ditinggalkan menteri KPWKM terdahulu yang berkata penambahan pegawai perlindung adalah bagi memenuhi keperluan mendesak berikutan nisbah seorang pelindung kanak-kanak adalah untuk 50 hingga 100 orang berbanding keperluan ideal seorang pegawai adalah 30 hingga 35 kanak-kanak. Jangan pula hanya kerana saranan keluar daripada bicara lawan politik, intipati tidak didalami sebaiknya.
Dengan lantikan Nancy Shukri memegang tampuk kepimpinan di KPWKM, diharapkan sesuatu yang tegas dan jitu dapat diketengahkan bagi menyelesaikan kemelut ini. Jika ada hamba Allah yang layak dan sesuai untuk melihat kelompongan sistem dalam KPWKM dan memperbaiki kegagalan ini, saya percaya beliau ialah orangnya.
PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Naib Presiden II WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
Comments
Post a Comment