Subsidi untuk menopang gaya hidup berisiko tinggi (Utusan Malaysia 16 Dis 2022)
‘SEBAHAGIAN ubat menjadi penyebab datangnya penyakit, sebagaimana sesuatu yang menyakitkan adakalanya menjadi ubat penyembuh.’ – Saidina Ali Abi Talib.
Berikutan Hari AIDS Sedunia 2022 tanggal 1 Disember lalu, timbul pelbagai polemik mengenai pengendalian penyakit global ini. Antara yang membangkitkan wacana hangat ialah kenyataan media oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyatakan inisiatif rawatan PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) akan dimulakan di klinik kesihatan pada tahun 2023 untuk mengurangkan risiko mendapat jangkitan HIV (human immunodeficiency virus) melalui seks.
Dalam minggu ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa turut mengesahkan bahawa KKM akan melakukan projek rintis penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV. Dalam projek rintis ini, pemberian ubat PrEP adalah kepada individu berstatus HIV-negatif yang berisiko untuk mendapat HIV, seperti pasangan kepada individu yang telahpun menghidap HIV. Tambah beliau, “penggunaannya bukan hanya kepada golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) tetapi ada beberapa lagi golongan lain yang akan menggunakannya untuk kita menyekat penularan HIV.”
Di Malaysia, ubatan yang dibekalkan dalam pasaran haruslah mematuhi peruntukan Akta Racun 1952 [Akta 366] yang diwujudkan bagi mengawalselia aktiviti pengimportan, pemilikan, pengilangan, penyimpanan, pengangkutan, penjualan dan penggunaan bahan racun yang disenaraikan dalam pelbagai jadual di bawah Akta 366. Ubat Tenofovir dan Emtricitabine yang sering digunakan untuk PrEP telah disenaraikan di bawah Kumpulan B, Jadual Pertama Akta 366 dan turut tersenarai dalam formulari KKM.
Di bawah Seksyen 21 Akta 366, ubatan yang dikategorikan sebagai Kumpulan B tidak boleh dijual atau dibekalkan kepada mana-mana orang kecuali oleh ahli farmasi, pengamal perubatan, doktor gigi atau pegawai veterinar yang berdaftar. Seksyen 21 turut memaktubkan maklumat yang harus dibekalkan dan dicatat oleh mana-mana pegawai yang memberikan preskripsi ubatan Kumpulan B.
Memandangkan ubatan PrEP sekarang ini sudahpun dibekalkan dan digunakan di hospital kerajaan, dapat diringkaskan bahawa inisiatif baru ini akan mempertingkatkan penggunaan PrEP termasuklah kepada pasangan homoseksual berstatus HIV-negatif. Ini jelas bertentangan dengan kerangka perundangan sedia ada.
Di satu sudut, kerajaan Malaysia ingin memberikan ubatan yang membolehkan homoseksual terus mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi mereka. Manakala di sudut lain pula, negara Malaysia masih mengekalkan pelbagai peruntukan undang-undang bagi mengekang hubungan seks di luar tabii. Sebagai contoh jelas, peruntukan di bawah Seksyen 377A-C Kanun Keseksaan adalah bagi mengharamkan perbuatan seks di luar tabii (yang ditakrifkan sebagai kemasukan alat kelamin ke dalam mulut atau dubur). Manakala di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan pula mengharamkan perhubungan seks dengan objek.
Hikmah pengekalan peruntukan sebegini bukan sekadar bagi memelihara moraliti negara bangsa Malaysia yang berpaksikan nilai, norma dan struktur sosial masyarakat ketimuran. Lebih daripada itu, peruntukan sebegini adalah bagi mengekang kecelaruan yang nyata akan berlaku kepada kesihatan awam jika perbuatan berisiko tinggi sebegini dibiarkan berleluasa.
Ramai pihak kini berhujah kononnya hak asasi manusia itu perlu diutamakan, khususnya kebebasan serta hak agar setiap insan tidak ditindas, malah tidak dikekang dalam apa cara sekalipun. Perkara ini dilihat dekat dengan sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia pada 10 Disember 2022 yang lalu dan juga moto Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) iaitu ‘Hak Asasi untuk Semua’.
Kami akui, setiap golongan wajar mendapat hak-hak kepada akses perubatan namun hak ini perlu diimbangi dengan tanggungjawab juga. Perlu diingatkan, dalam memperjuangkan hak-hak asasi manusia itu, kita sebagai ahli masyarakat sebuah negara bangsa perlulah bergerak seiring dengan tanggungjawab diri terhadap pencipta, agama dan masyarakat. Tanggungjawab yang paling utama adalah untuk mencegah daripada melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap tubuh badan.
Pendek kata, dalam setiap perjuangan hak asasi manusia, terselit batas dan sekatan yang perlu dipatuhi sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Malangnya, usaha KKM tersebut dilihat bergerak ke arah memperkasakan hak-hak yang acap kali dituntut oleh golongan-golongan homoseksual malah ada yang turut melihat usaha yang dibawa oleh KKM ini seakan-akan memberi galakan kepada gaya hidup songsang golongan LGBT.
Setiap usaha yang cuba dibawa oleh KKM bagi memelihara kesihatan masyarakat Malaysia wajar dipuji namun tanggungjawab yang digalas itu perlu diperhalusi sebelum membuat sesuatu keputusan termasuklah merujuk golongan-golongan pakar dan lebih arif daripada aspek kesihatan, agama serta masyarakat keseluruhannya. Benar kata pepatah bahawa mencegah itu lebih baik daripada merawat tetapi umum mengetahui mencegah aktiviti songsang ini bukan dengan cara pemberian ubat PrEP.
Sebaliknya, dengan menghindari terus perbuatan tersebut yang bukan sahaja melawan hukum Tuhan namun mendatangkan seribu satu kemudaratan kepada si pelaku. Jangan nanti ubatan yang diberikan inilah, yang akhirnya mendatangkan lebih banyak kemudaratan. Bagaimana nanti bila peruntukan kewangan kerajaan dilihat disalurkan untuk memperkasakan ubatan bagi membolehkan golongan homoseksual meneruskan kehidupan berisiko tinggi? Bukankah ini suatu kebobrokan yang nyata?
Besar harapan kami agar Kerajaan Campuran ini membawa satu transformasi serta perubahan seperti yang dijanjikan dan bukannya bergerak mundur ke belakang dengan memperkasakan kehidupan songsang yang dikira bukanlah gaya hidup masyarakat yang bertamadun.
PENULIS BERSAMA ialah pengamal undang-undang serta merupakan aktivis WAFIQ.
Comments
Post a Comment