Karya Sampah Galakkan Rogol (Utusan Malaysia 30 Dis 2022)
‘ALANGKAH besar bezanya bagi masyarakat bila kaum perempuan dididik baik-baik. Dan untuk keperluan perempuan itu sendiri, berharaplah kami dengan harapan yang besar supaya disediakan pelajaran dan pendidikan, kerana inilah yang akan membawa bahagia baginya.’ – Raden Ayu Kartini Ario Sosroningrat.
Pendidikan bukan saja proses mendapatkan ilmu pengetahuan buat pemantapan akal masyarakat sejagat, tetapi juga merupakan proses sosialisasi bagi mengajar nilai dan norma sosial yang diterapkan menjadi budaya dalam jiwa masyarakat setempat. Atas fahaman ini, proses mengejar pendidikan bukan saja menitik-beratkan kebolehan menaakul para pelajar tetapi juga melihat kepada adab, pekerti dan hati nurani para pencari ilmu.
Sayang sekali apabila ilmu pengetahuan yang ada digunakan secara salah untuk mengakibatkan kepincangan dalam struktur sosial masyarakat kita yang sebetulnya tinggi adab, takzim adat. Sayang sekali apabila para wanita yang dihantar ke sekolah sejak umur enam tahun, saat bijak mengenal huruf dan mengatur bait, kini menggunakan ilmu di dada untuk mencemar adab masyarakat.
Inilah yang terjadi apabila berbangkit isu lambakan roman picisan karya penulis wanita di pasaran kini didapati banyak terselit dengan unsur-unsur negatif yang mencemar nilai murni. Malah, sehingga ada yang mensensasikan jenayah rogol. Meskipun isu ini sudah banyak dikritik dan cuba dibenteras, sehingga kini tiada jalan penyelesaian tuntas. Maka saban tahun timbul lagi novel keluaran penerbitan indie yang terpalit dalam perdebatan ini.
Tiada guna pasaran buku dilambakkan dengan penawaran pelbagai naskhah jika yang ada hanyalah roman picisan yang merosakkan benak dan mematikan jiwa sehingga setiap protagonist yang dipamerkan dalam novel fiksyen mempunyai sifat yang sama: wanita lemah yang senang dimanipulasi, menjadi mangsa rogol dan kemudiannya terpaksa berkahwin dengan perogol mereka.
Tema ini diulang-ulang dalam banyak roman picisan sehingga pembaca dibiasakan untuk menerima atau bertoleransi dengan jenayah rogol. Tidak cukup dengan novel fiksyen sebegini, tema ini diangkat juga untuk mewarnai drama-drama di kaca televisyen. Sajian ini bukan saja terbuka kepada orang dewasa. Lebih malang lagi, sajian tema sebegini tiada sekatan buat bacaan dan tontotan oleh kanak-kanak, remaja dan belia.
Representasi media yang meletakkan watak wanita sebagai lemah serta mudah dimanipulasi dan dikasari mencambah dengan rambang. Maka lahirlah generasi masyarakat muda belia yang dinormalisasikan dengan fantasi rogol. Kaitan ini sangat dekat dengan realiti sosial semasa yang melihat kejadian rogol berkumpulan di kalangan mangsa dan pelaku remaja semakin rawak.
Dalam bulan Julai lalu, empat orang remaja berusia antara 16 – 19 tahun didakwa rogol berkumpulan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. Dalam bulan Ogos pula, mangsa berusia 14 tahun dirogol sekumpulan lelaki Orang Asli di Bukit Ibam, Muadzam Shah. Dalam bulan Oktober pula lapan remaja di antara 14 hingga 18 tahun direman bagi membantu siasatan insiden rogol berkumpulan di Bachok.
Fakta semasa tidak lagi boleh disanggah dan masyarakat kita tidak boleh lagi menidakkan kaitan yang ada apabila masyarakat dibiasakan dengan tema hiperseksualiti baik dalam bacaan, tontotan televisyen, filem mahupun akses kepada bahan lucah yang mudah didapati. Atas nama kebebasan berkarya dan dengan menjadikan kreativiti sebagai taruhan, penulis bebas melakarkan sejuta macam kejelikan dalam penulisan mereka. Bukan saja tiada sekelumit rasa segan dan malu dalam diri mereka, tetapi penyunting, penerbit dan pasukan pemasaran mereka juga tidak rasa aib mencemar adab.
Saya sudah kerap mengulang: apabila dalam masyarakat rasa malu sudah semakin terhakis, yang tinggal hanyalah kawasan perundangan untuk mengawal kebejatan masyarakat kita. Dalam peruntukan undang-undang, sudah banyak yang menjadikan kelucahan sebagai suatu jenayah. Sebagai contoh di bawah Seksyen 293 dan 294 Kanun Keseksaan yang menjadikan penjualan, penyewaan, pengedaran atau pertunjukan bahan lucah kepada orang awam suatu jenayah yang boleh dihukum dengan pemenjaraan dan denda.
Lebih jelas lagi, di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] menjadikan kesalahan ke atas mana-mana orang yang mencetak, menghasilkan, menyebab atau membenarkan terhasil dengan mengguna mesin cetak apa-apa hasil penerbitan atau dokumen yang lucah atau bertentangan dengan kesopanan awam.
Sudah tentu buku yang menormalisasikan jenayah rogol ke atas kanak-kanak, remaja dan belia terangkum di bawah pemakaian peruntukan sebegini. Tetapi penguatkuasaan bagi mengawal lambakan roman picisan masih lemah. Sudah tiba masanya setiap lapisan masyarakat bangkit bersuara dan mengadukan buku-buku yang kita dapati melanggar kesopanan dan kesusilaan negara kita.
Benar, kita turut berbangga saat Kuala Lumpur dinobatkan sebagai ibu kota buku dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi tahun 2020. Mustahil sebagai penggerak gerakan intelektualisme, perkara ini tidak diraikan. Namun, dalam dasar dan inisiatif kerajaan memantapkan penerbitan buku, haruslah diperhalusi nilai buku yang terhasil. Jangan nanti buku berlambak, tapi akal masyarakat makin merosak.
PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Naib Presiden II WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
Comments
Post a Comment