Pemimpin cerminan rakyat (Utusan Malaysia 25 November 2022)

SEORANG pemimpin yang baik harus terlebih dahulu mahu dipimpin.’ – Aristotle



Meskipun banyak sekali kritikan terhadap teori etika yang dihujahkan Aristotle, namun kita harus akui wujud kebenaran yang jelas dalam penghujahannya. Khusus apabila beliau menyatakan keperluan setiap orang berusaha untuk mendapat keperibadian unggul dengan akhlak mulia bagi mencapai kesejahteraan hidup. Nasihat ini melandaskan kefahaman bahawa setiap pemimpin itu harus rela dinasihati dan dipimpin bagi membolehkannya ruang untuk sentiasa memperbaiki diri agar dapat seseorang pemimpin itu mencapai keperibadian unggul. 

Masyarakat zaman ini tidak lagi menghayati nasihat sebegini. Malah, kemelut politik yang melihat bagaimana kerajaan tidak berjaya dibentuk meskipun selepas beberapa hari pilihan raya umum (PRU) selesai, membuktikan kebenaran bagaimana kerakusan politikus yang memimpin akhirnya menzahirkan kecelaruan buat rakyat yang dipimpin mereka. 

Ini kerana pemimpin yang dilantik tidak wujud dalam ruang vakum sebaliknya lahir daripada kalangan masyarakat. Jika masyarakat yang ada tidak arif, tidak terpelajar, tidak sensitif, tidak segan dan malu, maka mustahil sekali pemimpin yang dilantik mampu menjadi seseorang yang arif, terpelajar, sensitif, segan dan malu dengan amanat di pundaknya.  

Inilah teras nasihat yang dititipkan Baginda Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh al-Daylami dan al-Bayhaqi, apabila Rasulullah bersabda, “Sebagaimana kamu, begitulah dijadikan yang memimpin kamu.” Sayangnya hakikat ini terus dinafikan semua pihak. Ramai yang lebih selesa menuding jari menyalahkan sikap politikus pihak lawan, dalam pada mereka kekal menyokong dan mempertahankan politikus dokongan mengikut tahap ketaksuban masing-masing. 

Ada yang menyelar politikus pihak lawan dengan cacian dan makian. Ada yang menjadikan peristiwa ngeri 13 Mei sebagai modal untuk menakut-nakut sesama rakyat sehingga toleransi yang diraikan kita selama ini dicabar secara terbuka. Ada yang meniupkan api kebencian sehingga memanggil agensi pengawalselia berjaga-jaga. Ada yang secara ajaib kini mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) meskipun sebelum ini kerap membantai institusi YDPA di media sosial. 

Maka amatlah tidak menghairankan apabila kita melihat kemelut politik masa kini ketika saban hari rakyat yang konon-kononnya serba tahu, dengan lantang dan angkuh mempamerkan kebongkakan masing-masing ketika berinteraksi sosial baik di dunia jana mahupun maya. Sedangkan, rakyat bijak dan waras akan menginsafi hakikat bahawa kemelut politik yang melanda negara ialah hasil kesemua 222 ahli politik yang baru menang undi majoriti rakyat di kawasan parlimen masing-masing dan juga 21.09 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam proses demokrasi ini. Tiada satu pun bebas daripada tanggungjawab memastikan kestabilan politik negara. 

Pada saat getir, ramai yang mengulang-ulang bagaimana YDPA mempunyai kuasa luas di bawah Perkara 40(2)(a) dibaca bersama dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dalam menentukan lantikan Perdana Menteri. Kini rakyat meyakini fungsi YDPA dalam mengimbangi kestabilan politik. Tiada lagi diulang-ulang jumlah kerusi ketika budi bicara YDPA dilihat sumber kelestarian. Sedangkan saat keputusan titah YDPA tidak memihak kepada politikus dokongan mereka, sudah tentu institusi YDPA malah keseluruhan institusi Majlis Raja-Raja diremehkan. 

Mereka juga rakyat yang sama pada saat aman, mencebik peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan penuh jelak. Nasihat agar menghormati setiap satu intipati dan sari Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara tidak diendahkan malah diperlekehkan. Telahan saya, beri saja masa sedikit hari lagi, sudah tentu saat kerajaan baru mula memperkenalkan dasar nanti, akan terdengar pelbagai analisa rakyat yang akan mencairkan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. 

Dalam Malaysia bakal turut sama terkesan dengan trend kegawatan ekonomi global, ketidakstabilan politik bukanlah permainan yang boleh dipandang selesa oleh mana-mana pihak. Yang kayangan akan merasa, yang marhaen akan merana. Setiap daripada kita harus mula memainkan peranan dalam memastikan kemampan kendiri dan negara bagi mendepani kemelut global ini. Pemimpin yang baru dilantik ini haruslah mengetepikan permainan kuasa politik yang hanya akan berbuai mengikut arus sentimen semasa. Sebaliknya mereka harus meletakkan cabaran ekonomi sebagai fokus utama. 

Amanat di bahu peimpin tidak pula melepaskan rakyat daripada turut menjaga tanggungjawab di dada. Tidakkah sebagai rakyat kita juga memegang peranan yang besar memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kestabilan negara agar kita tidak ditelan arus kemodenan serantau? Jika dulu rakyat Indonesia dilihat tidak mahir dengan politik serantau dan ditindas sebagai pemain ekonomi yang lemah, kini mereka sudah jauh melangkaui keupayaan rakyat Malaysia. Kita sudah tiada pilihan lain selain daripada menjadikan kesepaduan nasional sebagai paksi dan taruhan dalam persaingan ekonomi negara. 

Rakyat yang punya suara besar di corong-corong media sosial, tidak boleh terusan memalitkan kesalahan kepada pihak lawan dan melihat diri kita sendiri maksum daripada sebarang rasa bersalah. Rakyat yang sedar dan berusaha mencapai keperibadian unggul serta menghayati akhlak mulia haruslah sama memainkan peranan menjadikan jati diri Malaysia sebagai pasak negara bangsa yang menguatkan negara. 

Nak dapat pemimpin yang baik, didik diri sendiri dulu. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Nov 25, 2022 dengan pindaan Editor sebagai 'Ketidakstabilan politik bukan permainan'.



Comments

Popular posts from this blog

Pengkhianat Negara Makin Ramai (Utusan Malaysia 28 Ogos 2020)

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)