Jangan undi kluster mahkamah (Utusan Malaysia 16 November 2022)
‘KITA menghukum gantung pencuri kecil dan melantik penyamun besar dalam pejabat awam.’ – Aesop
Demokrasi Malaysia kini semakin maju dan berkembang rawak mengikut peredaran masa. Ini dapat dilihat dengan mengkaji senarai nama calon yang bertanding di seluruh negara. Semakin ramai calon Bebas yang bertanding tanpa jentera parti politik yang mampu membantu mereka; mereka amat yakin dengan proses demokrasi itu sendiri sehingga sanggup mempertaruhkan wang ringgit dan modal sosial masing-masing.
Ada beberapa tempat yang mempertandingkan sehingga lapan calon, contohnya di Parlimen Bangi. Malah, Parlimen Batu P115 melihat sehingga 10 orang calon yang bertanding untuk meraih undian daripada lebih kurang 113,000 orang rakyat yang layak mengundi. Ini bukan saja menggambarkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan proses demokrasi dalam negara. Sebaliknya, di satu sisi lain, calon bebas juga memberikan gambaran rakyat jelata tanpa sokongan parti politik besar sudah jemu dengan sajian politik yang disogokkan parti-parti politik sehinggakan mereka sanggup berhabis wang dan tenaga untuk membetulkan keadaan politik negara dari dalam sistem itu sendiri.
Kematangan pergerakan sistem demokrasi ini harus menjadi batu ukur kepada kematangan rakyat Malaysia dalam memilih wakil yang akan mengangkat suara, hak dan kepentingan rakyat ke Dewan Rakyat. Antara petua yang harus ditekankan adalah untuk mengundi berdasarkan prestasi dan rekod politikus yang menjadi calon.
Para pengkaji sains politik sudah banyak menyuarakan kajian dan pemerhatian mereka mengenai kematangan demokrasi di Malaysia. Bahkan, ada yang memberikan pelbagai saranan, khususnya buat titipan pengundi muda yang pertama kali akan melibatkan diri secara terus dalam proses demokrasi ini. Antara saranan yang sering diulang adalah untuk memilih berdasarkan penawaran yang dinyatakan dalam manifesto setiap calon yang bertanding.
Sebagai pelajar sistem perundangan negara, saya merayu kepada semua pengundi di Malaysia untuk tidak memilih mana-mana calon yang terpalit dalam sebarang kes jenayah di mahkamah. Meskipun negara kita masih memegang erat prinsip Kedaulatan Undang-Undang yang membezakan peranan tiga cabang kerajaan, namun amatlah janggal apabila wakil legislatif diheret ke cabang kehakiman dalam pada mereka ialah orang yang sama seharusnya menggubal undang-undang untuk diterjemahkan mahkamah.
Sejauh mana nanti undang-undang yang digubal di Dewan Rakyat sebagai sebuah badan legislatif mampu memelihara kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata apabila wakil legislatif yang dilantik antaranya mampu menyarankan penggubalan undang-undang berdasarkan kepentingan peribadi? Jika dulu amatlah mengejutkan untuk melihat ahli legislatif diseret ke pintu mahkamah, terutama ke kamar bicara jenayah, namun kini setiap parti politik tidak sunyi terpalit dengan politikus yang memegang pelbagai kertas pertuduhan.
Ada ahli politik yang di mahkamah membela diri terhadap pertuduhan pengubahan wang haram, ada juga yang dituduh bersubahat pecah amanah selain salah guna harta, ada pula yang dituduh merogol, meliwat, meraba anak gadis orang malah menganggu isteri orang. Etika diri tidak mampu membendung politikus jijik ini daripada merasa diri kebal daripada cengkaman undang-undang. Sedangkan moraliti ketimuran pula semakin terhakis dengan meletakkan mereka yang cacat akhlak sebagai wakil negara. Sehingga orang luar memandang nama Malaysia dengan rasa kelucuan dan bukan lagi kagum atau hormat.
Sudah tentu setiap kali ahli politikus diheret ke mahkamah, pembelaan utama mereka adalah kononnya pertuduhan hanyalah ‘fitnah politik’. Fakta kes yang disiasat agensi penguatkuasaan negara diperlecehkan seolah-olah setiap orang pegawai dalam pasukan penyiasatan dan pendakwaan yang saban hari bertungkus-lumus menegakkan peruntukan undang-undang, hanyalah patung-patung kosong yang berniat jahat terhadap ahli politikus kesayangan penyokong mereka.
Tidak langsung penyokong tegar politikus jijik merasa janggal apabila mereka menghina diri sendiri untuk menyokong dan membela kejahatan yang dilakukan ahli politik yang dipuja. Setiap kali mahkamah mendengar perbicaraan kes mereka, ruang mahkamah dipenuhi dengan penyokong sehingga ada yang menjerit, terpekik melolong, merayu sokongan buat ahli politikus. Sedangkan jika ditanyakan kepada ahli politik itu, belum tentu mereka mengenali nama penyokong yang berdiri berjam-jam lama di luar kamar mahkamah untuk menyatakan sokongan kepada mereka.
Selain Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 [Akta A1663] yang baru digubal untuk menghalang ahli politik lompat parti selepas menang pilihan raya, mungkin ada eloknya jika di masa depan nanti diadakan satu lagi pindaan bagi menghalang mana-mana ahli politik yang terpalit dalam kes jenayah daripada menamakan diri sebagai calon dalam pilihan raya. Langkah ini akan dapat memperkukuhkan lagi kestabilan politik dalam negara daripada diperkotak-katikkan mereka yang miskin akhlak.
Dalam ekonomi global dan negara yang semakin meruncing, serta melihat keadaan sosial semasa yang semakin tidak stabil, wakil rakyat yang dipilih haruslah memperhambakan diri untuk kebaikan ramai dan bukannya kepentingan diri. Undilah calon yang langsung tidak terpalit dalam mana-mana kes di mahkamah. Jangan jadi bebal dengan mengundi calon yang sudah jelas menggunakan politik hanya sebagai landasan untuk meraih pengaruh tanpa menghormati amanah yang dipegang.
PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Nov 16, 2022 dengan pindaan Editor sebagai 'Jangan jadi pengundi bebal'.
Comments
Post a Comment