Masyarakat cakna kehormatan (Utusan Malaysia 24 Ogos 2022)

Diriwayatkan daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Tidak ada kebijaksanaan lebih baik daripada renungan, dan tidak ada kehormatan lebih baik daripada akhlak yang mulia’.” – Sunan Ibn Majah 4218.


Martabat yang diberikan kepada akhlak mulia dalam kehidupan seharian menggambarkan kehormatan seseorang itu. Bahkan, kehormatan bukan saja diberikan kepada ahli masyarakat tetapi lebih utama, kehormatan yang dipelihara dalam diri sendiri. Tanpa kehormatan, manusia akan hidup tidak lebih baik daripada haiwan yang masih bergelumang dengan naluri semula jadi tanpa mengendahkan peradaban dan ketamadunan. 

Tidak pelik mengapa pemeliharaan kehormatan adalah asas kepada hak asasi seperti yang diterapkan dalam banyak konvensyen hak asasi manusia di peringkat serantau dan antarabangsa. Sebagai misalan, dalam Artikel 1 Deklarasi Kaherah tentang Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) yang menyatakan “Setiap manusia membentuk satu keluarga yang anggotanya disatukan oleh penyerahan mereka kepada Allah dan keturunan Adam. Setiap orang adalah sama dari segi martabat asas manusia serta kewajipan dan tanggungjawab asas, tanpa sebarang diskriminasi atas dasar bangsa, warna kulit, bahasa, kepercayaan, jantina, agama, gabungan politik, status sosial atau pertimbangan lain. Agama yang benar adalah jaminan untuk meningkatkan martabat tersebut di sepanjang jalan menuju integriti manusia.”

Penekanan yang diberikan kepada hak asasi manusia dan lebih utama kepada martabat setiap orang itu untuk mendapatkan kehidupan penuh integriti. Inilah pemeliharaan sebenar peradaban negara bangsa itu apabila kehidupan setiap insan berpaksikan kehormatan. 

Atas prinsip dan pegangan ini, perbahasan dan akhirnya penggubalan Rang Undang-Undang Antigangguan Seksual 2021 [DR18/2021] di Parlimen Malaysia disambut baik. Dalam masyarakat yang tidak malu dengan kehormatan diri dan bangsa, sebuah rangka undang-undang yang nyata adalah amat perlu bagi memelihara martabat masyarakat. 

Saya sudah kerap menulis tentang gangguan seksual baik di tempat kerja, di institusi pendidikan, di tempat awam, malah dalam alam maya. Namun, tanpa kerangka undang-undang yang kemas, ketirisan akan berlaku yang mencipta ruang untuk individu tidak bertanggungjawab meneruskan kelucahan dan gangguan seksual. Dengan penggubalan DR18/2021, setiap ruang lingkup kerangka perundangan diutuhkan bagi membasmi gangguan seksual.  

DR18/2021 adalah bagi menzahirkan ‘suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual, penubuhan Tribunal bagi Antigangguan Seksual, meningkatkan kesedaran tentang dan mencegah berlakunya gangguan seksual, dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.’ 

Tujuan ini membuktikan komitmen negara dalam membenteras segala bentuk kelucahan yang menjadi landasan gangguan seksual. Apabila DR18/2021 diperbahaskan dalam Bacaan Kedua dan Ketiga baik di Dewan Rakyat pada 19hb Julai mahupun di Dewan Negara pada 11 Ogos 2022, perdebatan diikuti oleh ramai ahli-ahli parlimen yang turut menyumbang kritikan dan saranan bagi tujuan penambahbaikan RUU ini. Lebih utama lagi, setiap kali undian diadakan sepanjang perbahasan, tiada sekalipun mana-mana ahli parlimen mengundi ‘tidak’. Ini bukti iltizam dalam memastikan prinsip menentang gangguan seksual dizahirkan dengan jelas melalui badan legislatif negara. 

Yang unggul mengenai DR18/2021 adalah buat pertama kali, gangguan seksual ditakrifkan sebagai “apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.”

Jika sebelum ini takrifan gangguan seksual dalam Akta Parlimen adalah menjurus kepada gangguan seksual di tempat kerja, namun kali ini diadakan suatu takrifan gangguan seksual yang boleh dipakai dalam semua lingkungan tanpa menghadkan rangkumannya. Daripada takrifan ini, tiga elemen utama gangguan seksual diperjelaskan, yakni: i) kelakuan yang tidak diingini, ii) bersifat seksual, dan iii) kesan kepada mangsa adalah menyinggung atau menghina atau mengancam kesejahteraannya. 

DR18/2021 juga menubuhkan tribunal bagi tujuan menuntut suatu hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual. Ramai yang bertanya apa kepentingan penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual walhal undang-undang sedia ada sudah mampu menguruskan aduan gangguan seksual. Nasihat saya adalah untuk orang ramai memahami fungsi rangka perundangan sedia ada. 

Meskipun undang-undang gangguan seksual sudah ada, namun rangka perundangan ini hanya untuk menghukum pelaku gangguan seksual melalui proses undang-undang jenayah. Ini bagi memastikan pelaku serik dan tidak mengulangi perbuatan melampaunya di masa depan. 

Adakah ini akan memelihara hak mangsa? Bagaimana dengan mangsa yang mengalami trauma berpanjangan yang memerlukan rawatan psikologi atau psikiatrik? Adakah munasabah untuk mangsa dibebankan dengan tanggungan kos mendapatkan rawatan sedangkan traumanya diakibatkan oleh perbuatan pelaku? Tanpa penubuhan Tribunal ini, mangsa akan perlu melalui proses litigasi sivil di mahkamah yang umum maklum menelan belanja yang besar. 

Maka ditubuhkan suatu Tribunal yang akan membenarkan mangsa gangguan seksual menuntut haknya mendapatkan tebus rugi agar dapat digunakan untuk menampung kos rawatan yang diperlukan bagi membenarkan mangsa pulih dan kembali menjalani hidup dengan penuh kehormatan selepas berlakunya gangguan seksual. Tribunal ini adalah juga medan yang akan membenarkan mangsa gangguan seksual berdepan dengan pelaku selain menyuarakan bebanan emosi yang ditanggungnya agar pelaku sedar kesan tindakannya dan mengiktiraf kesalahannya kepada mangsa. 

Besar harapan saya sebagai aktivis yang telah memperjuangkan isu gangguan seksual untuk melihat tertubuhnya Tribunal Antigangguan Seksual yang akan memelihara martabat dan kehormatan diri rakyat dan bangsa Malaysia. Lebih besar lagi harapan saya untuk melihat kelucahan dan gangguan seksual langsung tiada di bumi yang menghormati martabat masyarakatnya. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.


*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Ogos 24, 2022 dengan pindaan Editor sebagai 'Realisasi tribunal antigangguan seksual'.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)