Undang-undang jenayah sivil cilok peruntukan syariah? (Utusan Malaysia 7 Mei 2021)

BUDI pekerti yang tinggi adalah rasa malu terhadap diri sendiri.’ – Plato

Menerusi penghakiman dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Satu Yang Lain, Yang Arif Hakim Abdul Wahab Patail telah memperincikan bidangkuasa jenayah bagi kesalahan melibatkan isu kesusilaan di bawah undang-undang jenayah sivil dan syariah. Bahagian Rogol dalam Bab XVI Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan melibatkan kehormatan dalam pada enakmen syariah pula, sebagai contoh di bawah Bahagian IV, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], memaktubkan kesalahan berhubung dengan kesusilaan. 



Antara kesalahan yang disebut sebagai contoh jenayah melanggar kesusilaan adalah perbuatan sumbang mahram dan pelacuran. Apa yang menarik dalam penghakiman itu, Yang Arif Hakim telah menyebut kedua-dua kesalahan ini sebagai jenayah yang diperkemaskan di bawah enakmen syariah, secara eksklusif. Ini kerana pada masa penghakiman itu dibuat dalam tahun 1998, perbuatan sumbang mahram dan pelacuran hanyalah kesalahan yang diperuntukkan di bawah pelbagai enakmen syariah negeri sedangkan Kanun Keseksaan pada masa itu tidak menjadikan sumbang mahram mahupun pelacuran sebagai suatu jenayah. 

Sumbang mahram hanya dimasukkan sebagai jenayah di bawah Seksyen 376A dan 376B Kanun Keseksaan melalui pindaan Akta A1131 yang berkuatkuasa pada tahun 2002. Dalam masa yang sama, pelacuran turut dimasukkan melalui Seksyen 372, 372A, 372B dan 373 ke dalam Kanun Keseksaan. Antara alasan yang diberikan semasa perdebatan di parlimen bagi membahaskan kemasukan kedua-dua kesalahan ini sebagai jenayah di bawah Kanun Keseksaan adalah tanggapan bahawa gejala sumbang mahram dan pelacuran semakin berleluasa di kalangan masyarakat pada ketika itu maka haruslah dibendung. 

Malah, dalam tahun 2001, ketika pindaan di bawah Akta A1131 dibahaskan, hukuman yang ke atas sumbang mahram adalah jauh lebih tinggi daripada jenayah rogol. Ini kerana pada ketika itu, peruntukan berkenaan dengan hukuman rogol menyebut bahawa sesiapa yang disabit kesalahan rogol “hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari tiga puluh tahun dan bolehlah dikenakan sebat.” Sedangkan hukuman bagi sumbang mahram di bawah Seksyen 376B menyebut bahawa pesalah sumbang mahram “hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari dua puluh tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.” Hukuman yang lebih berat ini adalah kerana kerajaan pada masa itu memandang kesalahan ini sebagai suatu jenayah yang keji dan perlu ditangani dengan sewajarnya. 

Walaupun undang-undang syariah terlebih dahulu memperakui peripenting kesalahan sumbang mahram dan pelacuran, namum agak unik melihatkan hukuman bagi kesalahan ini di bawah Kanun Keseksaan adalah jauh lebih berat berbanding hukuman yang dibenarkan di bawah enakmen syariah termasuklah di bawah Akta 559. Sebagai contoh, di bawah Seksyen 20 Akta 559, hukuman bagi sumbang mahram hanyalah separuh daripada hukuman yang dibenarkan di bawah Kanun Keseksaan yakni denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan.

Begitu juga dengan hukuman pelacuran. Di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan misalnya, sesiapa yang terlibat dalam aktiviti persundalan hendalah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 15 tahun dan dengan sebatan, dan hendaklah juga dikenakan denda. Sedangkan di bawah Seksyen 21 Akta 559 pula hanya memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali. 

Amat penting bagi masyarakat Muslim di Malaysia untuk memahami kronologi kemasukan beberapa kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan enakmen syariah lebih-lebih lagi mengambil kira polemik di bawah penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra bin Mubarrak v Kerajaan Negeri Selangor & Satu Yang Lain. Ini kerana Mahkamah Persekutuan dengan jelas telah memperincikan keadaan di mana enakmen syariah boleh dilihat tidak sah kerana dewan undangan negeri yang menggubal enakmen itu dianggap tidak kompeten dan terbatas dengan peruntukan perlembagaan. 

Sebaliknya, dalam kesalahan seperti sumbang mahram dan pelacuran yang sudahpun diperuntukkan dalam pelbagai enakmen syariah negeri sejak ia mula dikuatkuasakan, isu sama ada dewan undangan negeri adalah kompeten atau tidak seharusnya tidak boleh dibangkitkan lagi. Ini kerana sumbang mahram dan pelacuran sudahpun menjadi kesalahan jenayah syariah; paling awal semenjak tahun 1986 apabila kedua-dua kesalahan ini digubal di bawah Enakmen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 1985. Walhal pada ketika itu Kanun Keseksaan masih terkial-kial untuk melihat kepentingan peruntukan khusus menentang kedua-dua jenayah ini. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Mei 7, 2021 dengan pindaan Editor sebagai 'Jenayah sivil 'cilok' syariah?'. 


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)