Gangguan seksual kerana sakit jiwa (Utusan Malaysia 30 April 2021)
‘Pekerjaan tangan yang paling sederhana sekalipun demi mempertahankan harga diri seseorang, jauh lebih utama daripada kekayaan yang disertai penyelewengan.’ – Saidina Ali Abi Talib
Asas kepada hak asasi manusia (HAM) meletakkan harga diri dan kehidupan dalam nilai kehormatan setiap orang. Inilah yang dimaktubkan dengan kemas dalam semua konvensyen HAM yang telah diratifikasi Malaysia seperti Artikel 1 Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) yang menyebut ‘semua manusia adalah setaraf dalam kehormatan dan tanggungjawab asas’. Penekanan kepada kerhomatan ini juga diulang dalam Artikel Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Artikel 1 Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN (AHRD).
Sebarang tindakan yang merendahkan kehormatan seseorang adalah pelanggaran HAM dan harus ditangani dengan penuh hikmah di setiap peringkat masyarakat. Sebagai contoh, gangguan seksual adalah perbuatan yang mendatangkan trauma kepada mangsa dengan merendahkan kehormatannya. Jelas sekali isu gangguan seksual adalah suatu perihal yang turut mengingkari perjuangan HAM.
Gangguan seksual boleh ditakrifkan sebagai apa-apa perbuatan berunsur seksual yang tidak disenangi mangsa. Dengan menyelesuri kerangka perundangan, kita akan lihat bagaimana gangguan seksual boleh berlaku dalam beberapa bentuk dan terbahagi mengikut takat teruknya gangguan yang dilakukan terhadap mangsa. Hukuman yang dikenakan juga berbeza dan setimpal mengikut takat keterukan perbuatan pemangsa ke atas mangsa gangguan seksual.
Di bawah Seksyen 354 dan 355 Kanun Keseksaan, adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul atau menjatuhkan kehormatan seseorang. Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan adalah pemenjaraan sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan. Sedangkan hukuman yang dibenarkan di bawah Seksyen 355 hanyalah pemenjaraan sehingga dua tahun atau denda dan dilihat lebih rendah kerana peruntukan ini turut mengambil kira elemen bangkitan-marah dalam perbuatan tertuduh.
Antara intipati utama dalam kesemua seksyen ini adalah keperluan membuktikan bahawa tertuduh telah menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah yang bermaksud telah berlaku perbuatan fizikal berbentuk seksual ke atas mangsa. Jika dibandingkan dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan sebatan yang dibenarkan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [Akta 792] bagi kesalahan melakukan amang seksual berbentuk fizikal ke atas kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, jelas kerangka perundangan melihat sebarang perbuatan jenayah seksual terhadap kanak-kanak sebagai lebih teruk.
Seksyen 377D Kanun Keseksaan pula menjadikan perbuatan melanggar kesopanan suatu kesalahan apabila mana-mana orang melakukan sebarang perbuatan kelucahan melampau. Perbuatan ini boleh dihukum dengan pemenjaraan sehingga dua tahun. Sedangkan Seksyen 377E memperuntukkan hukuman sehingga 15 tahun penjara dan sebatan bagi mana-mana perbuatan merangsang seorang kanak-kanak di bawah umur 14 tahun untuk melakukan kelucahan melampau. Agak menarik bagaimana dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v Ketua Pengarah Penjara, Malaysia & Anor [1999] 2 MLJ 241, mahkamah menyatakan bahawa takrifan kelucahan melampau tidak pernah dinyatakan oleh badan legislatif secara jelas, yang mana kehakiman juga mengalami kesulitan untuk mentakrifkan istilah ini.
Peruntukan Seksyen 509 Kanun Keseksaan mengkhususkan pengharaman ke atas perlakuan gangguan seksual yang tidak bersifat fizikal, yakni sebarang bentuk sebutan, bunyi, isyarat, atau gambaran yang menganggu kesantunan seseorang bagi tujuan mengaibkan kehormatannya. Hukuman di bawah Seksyen 509 adalah pemenjaraan tidak melebihi lima tahun atau denda. Sedangkan perbuatan amang seksual bukan fizikal ke atas kanak-kanak di bawah Seksyen 15 Akta 792 boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20 ribu.
Pemahaman yang jelas mengenai kerangka perundangan melibatkan perbuatan gangguan seksual adalah mustahak dan penting apabila kita membincangkan insiden-insiden gangguan seksual yang berlaku secara rawak kebelakangan ini. Lebih dasyat lagi apabila gangguan seksual turut dilakukan oleh pemangsa ke atas orang asing di tempat awam tanpa memikirkan natijah perbuatan mereka.
Sebagai contoh, kelmarin seorang lelaki warga asing telah berjaya diberkas polis atas aduan melakukan perbuatan lucah di dalam tren, yang mana perbuatannya di hadapan seorang remaja perempuan sempat dirakamkan. Bulan lalu seorang lelaki ditahan selepas tular video dia menaiki motor lalu meraba punggung seorang wanita yang berjalan kaki di tempat awam. Semalam, di tempat kejadian yang sama, seorang lelaki yang sedang mengayuh basikal menghampiri mangsa sebelum menunjukkan kemaluannya. Suspek kejadian masih belum berjaya dikenalpasti.
Tidak segankah masyarakat Malaysia dengan hak, tanggungjawab dan peranan masing-masing sehingga masih ramai yang tidak malu menjatuhkan kehormatan sendiri dengan perlakuan lucah? Atau adakah sememangnya benar masyarakat kita sudah semakin hilang waras dan sakit jiwa sehingga kelucahan dilihat biasa?
PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada April 30, 2021 dengan pindaan Editor sebagai 'Waraskah kita pabila lucah jadi biasa?'.
Comments
Post a Comment