Bila PDRM nak celik mata? (Utusan Malaysia 16 April 2021)

MASYARAKAT Islam hendaklah dibina daripada kalangan ummah yang mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna dalam semua lapangan, merangkumi kehidupan berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat dan bernegara.’ – Sultan Nazrin Shah



Dalam menginsafi amalan berpuasa di bulan yang mulia ini, titah Sultan Nazrin Shah sewajarnya dilihat lebih meluas bukan hanya terpakai kepada seorang Islam tetapi kepada mana-mana ahli masyarakat yang mengamalkan kehidupan berkeluarga, berjiran, bermasyarakat dan bernegara. Titah ini harus diangkat sebagai pesanan umum agar setiap warganegara Malaysia yang hidup dalam lingkungan komuniti Malaysia, lantas menerima banyak faedah daripada negara ini, haruslah turut sama berkehendak untuk memberikan pula manfaat kepada rakan senegara yang lain. 

Di sinilah berlakunya kontrak sosial yang paling asas: bilamana setiap warganegara memberikan sedikit daripada hak dan kebebasan peribadi masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan khalayak ramai. Apatah lagi apabila kita fahami bahawa asas cara hidup Islam itu sebetulnya adalah menghormati hak dan tanggungjawab yang harus kita imbangi dalam memastikan tiada orang yang tertindas oleh perlakuan kita sendiri. Nilai sejagat ini sepatutnya diangkat oleh semua pihak bagi memastikan kehormatan setiap insan terpelihara dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. 

Sayangnya, sebaik manapun kerangka undang-undang dan dasar negara digarap, tetap juga ada individu yang ingkar kepada fitrah dengan merosakkan aturan bermasyarakat ini. Maka saban hari masih kita dengari laporan media tentang kejadian-kejadian jenayah yang jelik dan pelik dari segenap pelosok negara. 

Amat janggal untuk membiarkan resmi ‘campak baju nampak kurap seperti anak kacang hantu’ terus berlaku dalam masyarakat yang beragama, berbudaya dan beradab. Sedangkan masyarakat ini punya pelindung dan penjaga yang memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti. Di mana tampang pelindung dan penjaga komuniti ini apabila masih banyak kejadian yang mencemar maruah berleluasa dalam masyarakat? 

Di bawah Seksyen 3 Akta Polis 1967 [Akta 344], fungsi anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah dan mengumpul risikan keselamatan. Besar sekali peranan anggota PDRM dalam hidup bermasyarakat dan bernegara. 

Sebagai badan penguatkuasaan undang-undang negara, anggota PDRM bukan saja bertanggungjawab mencegah jenayah tetapi juga mempunyai tanggungjawab untuk turut sama peka dan cakna dalam mengendalikan isu-isu sosial masyarakat Malaysia agar kesejahteraan dan keselamatan negara terus terpelihara. Sudah tentu sangat canggung kedengaran apabila ada laporan anggota PDRM sendiri yang melakukan kesalahan jenayah yang mencemarkan maruah bangsa yang mereka lindungi. 

Contohnya, heboh sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila banyak aduan dibuat terhadap anggota polis yang menjaga sekatan jalan raya (SJR) kononnya mereka melakukan gangguan seksual kepada pemandu yang diperiksa. Jika dahulu hal ini banyak didiamkan tetapi dengan penggunaan media sosial yang meluas, perbincangan mengenai sikap jelik sebegini cepat sekali tular dan tidak boleh lagi ditutup tanpa penyiasatan formal. 

Aduan orang ramai demi membaik pulih integriti dan kredibiliti PDRM harus diselesaikan dengan berhemat dan telus. Atas sebab itu, saya merasakan tindakan tegas yang dikenakan ke atas anggota polis terlibat adalah langkah sihat dalam pasukan PDRM menggunapakai kuasa mendisiplinkan anggota berlandaskan peruntukan di bawah Bahagian XII Akta 344. 

Terkini ada pula aduan di media alternatif menyebut tentang anggota polis yang enggan menerima laporan orang ramai tentang gangguan seksual yang berlaku di tempat awam. Misalnya, minggu lalu seorang remaja wanita telah diganggu secara seksual apabila seorang lelaki melakukan aksi lucah di hadapannya dalam tren Laluan Transit Aliran Ringan (LRT). Aksi ini direkodkan mangsa dan diadukan kepada anggota polis yang enggan menerima laporan mangsa malah kemudian menyuruh mangsa pula berpatah ke stesen asal untuk melaporkan insiden itu atau menarik balik aduan yang dibuat mangsa. 

Hal ini tidak seharusnya berlaku memandangkan di bawah Seksyen 13 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], orang awam hendaklah melaporkan ke balai polis tentang perbuatan orang lain melakukan mana-mana kesalahan di bawah Kanun Keseksaan. Tanggungjawab ini sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 107 Akta 593 yang mewajibkan ketua balai polis untuk merekodkan sebarang aduan orang awam. 

Sebarang keengganan mana-mana anggota polis untuk menerima aduan atau mengambil langkah untuk memastikan maklumat perbuatan jenayah direkodkan harus ditangani dengan lebih tegas. Tiada guna peruntukan kemas mengenai gangguan seksual diperketatkan di bawah Kanun Keseksaan jika PDRM enggan memandang isu ini serius sehinggakan maklumat orang awam boleh pula didiamkan. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada April 16, 2021. 

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)