Trend Mencabar Perundangan Syariah (Utusan Malaysia 5 Mac 2021)

“Berusahalah menjadi orang Islam yang berani menunjukkan jati diri yang sebenarnya, bukan dengan ingin menyembunyikannya.” – K.H. Ahmad Dahlan



Gegak-gempita ruang polemik di Malaysia apabila baru-baru ini Mahkamah Persekutuan membatalkan keabsahan peruntukan di bawah enakmen Syariah. Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 diputuskan tidak berperlembagan dan tidak sah kerana memperuntukkan kesalahan melakukan seks luar tabii sebagai jenayah, sedangkan yang sama sudah diperuntukkan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan. 

Alasan Penghakiman menyatakan bahawa Seksyen 28 bercanggah dengan Item 1 Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang mengenai perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan. Maka amatlah jelas bahawa peruntukan yang melibatkan kesalahan yang sudahpun diperuntukkan di bawah akta persekutuan tidak boleh diwartakan sebagai kesalahan syariah di bawah enakmen negeri. 

Ini bukanlah kali pertama sistem mahkamah sivil dirujuk bagi memutuskan keabsahan peruntukan dalam enakmen Syariah. Pada tahun 2012, terdapat pihak yang telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keabsahan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992. Peruntukan ini menjadikan kesalahan mana-mana lelaki berpakaian persis seorang wanita. Namun, pada tahun 2015 Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa prosedur bagi mencabar mana-mana peruntukan enakmen negeri adalah dengan merujuk isu keabsahan terus ke Mahkamah Persekutuan dan bukannya melalui prosedur semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Maka isu keabsahan peruntukan ini tidak boleh diputuskan mahkamah. 

Pada tahun 2015 juga, suatu petisyen telah difailkan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keperlembagaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (II) (1993) Pindaan 2015. Petisyen ini telah ditolak Mahkamah Persekutuan yang menekankan bahawa sebarang enakmen Syariah hanya mengikat orang yang beragama Islam dan oleh itu, cabaran keabsahan hanya boleh difailkan oleh orang beragama Islam yang terkesan dengan peruntukan mana-mana enakmen Syariah. 

Dalam tahun yang sama, Mahkamah Persekutuan telah dirujuk bagi mengesahkan keabsahan Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang yang memiliki, menerbitkan atau mencetak apa-apa buku atau dokumen yang mengandungi perkara yang bertentangan dengan Hukum Syarak. Dalam cabaran terhadap peruntukan Seksyen 16 ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan ini adalah sah namun tidak terpakai kepada fakta kes yang dirujuk. 

Dalam tahun 2017, Mahkamah Persekutuan telah dirujuk bagi memutuskan semakan kehakiman terhadap keputusan ketua pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan untuk mendakwa seorang aktivis sosial di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya bagi kesalahan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama di bawah Seksyen 7 dan 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997. Di peringkat Mahkamah Rayuan, yang membuat keputusan dalam tahun 2015, mendapati bahawa penahanan dan pendakwaan adalah tidak sah dan terbatal kerana terdapat kecacatan prosedur. 

Agak menghibakan apabila dalam Alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan turut memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi sivil mempunyai bidang kuasa lebih tinggi terhadap tribunal lebih rendah, termasuk Mahkamah Syariah apabila ia terkhilaf daripada aspek undang-undang. Alasan ini sekaligus mengatakan bahawa Mahkamah Syariah dilihat sebagai duduk lebih rendah berbanding kuasa Mahkamah Tinggi. 

Dalam pada bahang keputusan melibatkan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 belumpun reda, kita sudahpun diingatkan untuk mengikuti perkembangan semasa cabaran terhadap keabsahan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 pula. Pendengaran di peringkat Mahkamah Persekutuan dijangkakan akan ditetapkan dalam pertengahan tahun ini.  

 Melihatkan wujud trend di mana penganut agama Islam itu sendiri enggan menerima keabsahan peruntukan-peruntukan di bawah enakmen Syariah, maka amatlah tidak janggal untuk kita fahami mengapa prejudis terhadap martabat Mahkamah Syariah masih dipersoalkan sehingga ke hari ini. Undang-undang Syariah tidak dilihat membentuk jati diri masyarakat Islam itu malah ada yang merasa segan dengan undang-undang Syariah meskipun acapkali peruntukan Syariah adalah lebih lembut atau longgar dalam menetapkan hukuman. 

Sebagai contoh, hukuman di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 377A. Sedangkan hukuman di bawah Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 menetapkan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau sebatan tidak melebihi 6 sebatan. Jika dibandingkan di antara kedua-dua peruntukan ini, tidak masuk akal untuk mana-mana orang Islam memilih untuk dituduh di bawah Seksyen 377A yang memperuntukkan hukuman yang lebih tinggi berbanding di bawah Enakmen Syariah.

Sungguhpun banyak pihak yang sudah berkali-kali melontarkan saranan agar kuasa Mahkamah Syariah dapat diperkasakan, namun saranan ini masih belum cukup memaksa kerangka sistem perundangan Malaysia untuk mengarusperdanakan kehakiman Syariah. Apalah yang rosak dengan jati diri orang Islam yang semakin mereka tidak segan untuk mencabar kedudukan undang-undang Syariah malah dengan angkuh memperlekehkan kedudukan kehakiman Syariah di negara ini. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Mac 5, 2021 dengan pindaan editor sebagai 'Trend mencabar perundangan'.


Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)