Wujudkah ‘Rogol’ dalam Perkahwinan?: Bahagian Pertama (Utusan Malaysia 5 Februari 2021)

Artikel bahagian pertama kepada rencana draf asal berjudul "Consideration of family values in defining marital rape" yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan disiarkan dalam Utusan Malaysia melalui empat bahagian di bawah CAKNA sepanjang bulan Februari 2021.

‘JUMLAH hutang-piutang antara dua orang yang telah berkahwin tak mungkin dapat dihitung. Ia adalah hutang tak terbatas, yang hanya dapat dilunasi di akhirat yang abadi.’ - Johann Wolfgang von Goethe



Ungkapan ‘rogol dalam perkahwinan’ bagi merujuk kepada hubungan intim di antara seorang suami tanpa kerelaan isterinya, adalah suatu paradoks yang membangkitkan banyak isu. ‘Rogol’ ditakrifkan sebagai persetubuhan tanpa kemahuan atau kerelaan seseorang wanita. Manakala ‘perkahwinan’ adalah ikatan suci di antara dua orang dewasa yang rela disatukan. Dalam kefahaman tentang kedua-dua istilah ini, timbul paradoks yang nyata: bagaimana mungkin hubungan intim dalam ikatan suci, yang dimeterai oleh dua orang dengan rela hati, dilihat sebagai rogol atas alasan ketiadaan kerelaan isteri semasa hubungan itu berlaku?

Sesebuah ikatan perkahwinan hanya boleh dimeterai apabila kedua-dua pihak merelakan penyatuan di antara mereka. Penyatuan ini disaksikan, direkodkan, diwar-warkan dan didaftarkan mengikut hukum perundangan. Meskipun penuh dengan formaliti, perkahwinan bukanlah semata-mata untuk membentuk sebuah perhubungan yang sah di sisi undang-undang bagi maksud hubungan sosial, ekonomi mahupun kewangan. 

Sebaliknya, sifat perkahwinan yang paling ketara dan unik adalah bagi membenarkan pihak-pihak di dalamnya menjalinkan hubungan seksual. Ketika seorang wanita bersetuju untuk berkahwin, dia merelakan dan mengizinkan untuk pasangan mengadakan hubungan intim kerana perkahwinan itu sendiri menghalalkan seseorang lelaki dan wanita melakukan hubungan seksual, yang mana adalah terlarang sebelum penyatuan mereka.

Malah, perkahwinan meletakkan kepentingan dalam perhubungan intim di antara pasangan suami isteri. Ini dapat dilihat dengan merujuk kepada beberapa peruntukan undang-undang yang jelas menekankan keutamaan ini, antaranya: 

Pertama, di bawah Seksyen 69(b) Akta 164, kanak-kanak, di bawah 18 tahun untuk lelaki dan 16 tahun untuk wanita, tidak boleh bersetuju atau memberi kerelaan untuk berkahwin. Hikmah peruntukan ini boleh difahami kerana seorang kanak-kanak juga tidak mempunyai kedudukan yang sah untuk memberikan persetujuan seksual. Daripada pemahaman ini juga, dapat kita mengerti mengapa Malaysia masih menjadikan kesalahan bagi hubungan seksual dengan seorang perempuan di bawah 16 tahun walaupun ‘dengan kerelaannya’, seperti yang termaktub di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan.   

Kedua, di bawah Seksyen 70(b) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164], sesuatu perkahwinan boleh menjadi tidak sah atas alasan persetubuhan belum dilakukan kerana salah seorang pasangan enggan melakukannya. Peruntukan yang sama juga ada di bawah enakmen Syariah, contohnya di bawah Seksyen 52(1)(i) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303].

Ketiga, sesiapa yang tidak mempunyai akal yang sempurna untuk memberikan kerelaan melakukan persetubuhan juga dianggap tidak mempunyai kesempurnaan akal untuk memberikan persetujuan secara sah untuk berkahwin. Hal ini diperuntukkan dalam Seksyen 70(c) dan (d) Akta 164 yang membenarkan pembubaran perkahwinan jika ada pihak yang tidak mampu memahami sifat dan akibat persetujuan yang diberikan untuk berkahwin. Peruntukan yang serupa juga ada dimaktubkan dalam Seksyen 52(1)(j) Akta 303.

Keempat, kesihatan seksual pihak-pihak dalam perkahwinan merupakan hal yang dipertimbangkan dalam menentukan status perkahwinan itu. Di bawah Seksyen 70(a) dan (e) Akta 164, ketidakupayaan pasangan untuk melakukan hubungan intim dan pasangan yang menghidapi penyakit kelamin berjangkit, adalah dua alasan munasabah untuk membubarkan perkahwinan itu. Peruntukan yang serupa juga ada dalam Seksyen 52(1)(e) Akta 303.

Kelima, aktiviti seksual pasangan yang berkahwin adalah relevan dalam menentukan kelangsungan perkahwinan itu. Di bawah Seksyen 54(1)(a) Akta 164, kecurangan pasangan boleh membuktikan bahawa perkahwinan itu telah retak yang tidak boleh dibaiki lagi, maka mewajarkan penceraian. Juga di bawah Seksyen 70(f) Akta 164, jika pada masa perkahwinan itu, isteri telah dihamilkan oleh lelaki selain daripada suami, maka perkahwinan itu boleh dibubarkan. Begitu juga di bawah Seksyen 52(1)(h) Akta 303, seorang isteri berhak mendapatkan perintah membubarkan perkahwinan jika suami menganiayainya dengan berkawan dengan perempuan yang jahat atau hidup berperangai keji atau jika suami cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

Dengan mempertimbangkan peruntukan-peruntukan di atas, persoalan yang timbul adalah: sama ada pasangan boleh menolak daripada memberikan kerelaan dalam perkahwinan, sedangkan penolakan untuk bersatu dan melakukan hubungan intim yang berpanjangan boleh mengakibatkan pembatalan perkahwinan dan merupakan alasan yang sah untuk perceraian?

Sewajarnya sebelum pihak-pihak membahaskan istilah ‘rogol dalam perkahwinan’, haruslah difahami dahulu sifat dan akibat perkahwinan yang dipersetujui dan dimeterai dengan kerelaan pihak-pihak. Polemik ini timbul apabila ramai yang mendesak agar pengecualian kepada Seksyen 375 Kanun Keseksaan dimansuhkan. Sedangkan isu kompleks ini harus dikupas dengan kemas untuk memahami perlindungan yang sudah sedia ada wujud bagi membenteras keganasan seksual dalam sesebuah perkahwinan. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Februari 5, 2021.


Artikel bahagian kedua kepada rencana draf asal berjudul "Consideration of family values in defining marital rape" yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan disiarkan dalam Utusan Malaysia melalui nama Sdr Ku Amirul Faiz Ku Seman.


DALAM Kanun Keseksaan Malaysia, peruntukan mengenai ‘Rogol’ adalah di bawah Seksyen 375 dan 376 yang memperuntukkan beberapa keadaan khusus di mana hubungan intim akan dianggap sebagai kesalahan rogol. Penulisan ini merujuk kepada Pengecualian di bawah Seksyen 375 yang menidakkan pemakaian peruntukan ini kepada mana-mana hubungan intim di antara seorang suami dan isterinya dalam perkahwinan yang sah. 

Wujud desakan daripada aktivis hak asasi manusia khususnya aktivis yang memperjuangkan hak wanita agar Pengeculian kepada Seksyen 375 Kanun Keseksaan dimansuhkan. Hujah mereka adalah bahawa Pengecualian Seksyen 375 menindas kaum wanita dengan membenarkan para suami melakukan hubungan intim walaupun tanpa kemahuan atau kerelaan isteri mereka. Maka, desakan pemansuhan Pengecualian ini adalah bagi membolehkan hubungan intim tanpa kemahuan atau kerelaan isteri ditakrifkan sebagai rogol dan suami boleh dikenakan hukuman seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 376. 

Namun, pendirian Kerajaan mengenai isu ini adalah jelas – Pengeculian Seksyen 375 Kanun Keseksaan tidak akan dimansuhkan. Beberapa alasan telah diberikan bagi menjustifikasikan pemakaian Pengeculian ini termasuklah bahawa selepas berkahwin, mengikut perundangan, seseorang isteri tidak boleh menafikan kerelaan untuk mengadakan hubungan intim dengan suaminya. Atas alasan inilah, kerelaan seorang wanita untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki dipandang amat penting dan mustahak. Kerana setelah perkahwinan itu disahkan, wanita itu terikat kepada suami yang dikahwininya termasuklah dalam hal seksual. 

Hal ini berkait rapat juga dengan peruntukan di bawah Seksyen 493 Kanun Keseksaan yang menjadikan kesalahan bagi mana-mana lelaki yang memperdaya seorang wanita yang bukan isterinya supaya wanita itu mempercayai kononnya telah dia berkahwin dengan lelaki itu.  Begitu juga dengan Seksyen 496 yang memberi hukuman kepada sesiapa yang berkahwin dengan niat fraud sedangkan dia tahu perkahwinan itu adalah tidak sah di sisi undang-undang. Kedua-dua peruntukan ini wujud bagi melindungi wanita daripada diperdayakan mana-mana lelaki hanya untuk membolehkan lelaki itu melakukan hubungan intim dengannya. 

Alasan lain adalah dengan mengambil kira sejarah hubungan seksual di antara suami dan isteri, amat sukar untuk pihak penyiasatan dan pendakwaan membuktikan bahawa wujud rogol jika ada isteri yang mengadukan kepada polis kononnya hubungan intim yang terjalin adalah tanpa kemahuannya atau kerelaannya. Bagaimana mungkin penyiasatan dapat dengan jelas mengatakan insiden khusus yang diadukan adalah hubungan intim yang tidak dipersetujui isteri sedangkan dalam sesebuah perkahwinan, sudah tentu suami dan isteri itu telah mengadakan hubungan banyak kali dengan kerelaan isteri? Perlu ditekankan, beban pembuktian dalam semua kes jenayah adalah melangkaui keraguan munasabah. 

Ini adalah kegusaran yang harus dipertimbangkan memandangkan rogol dalam perkahwinan telahpun diiktiraf sebagai suatu kesalahan di beberapa negara lain dan rata-rata, undang-undang ini dikritik keras kerana sukar digunapakai. Contohnya di Argentina, melalui Seksyen 5(3) Undang-Undang Perlindungan Wanita 2009 [Undang-Undang 26485] telahpun dengan jelas menjadikan hubungan intim tanpa kerelaan isteri sebagai suatu kesalahan. Namun sehingga kini, masih banyak kritikan tentang tahap pemakaian peruntukan ini di Argentina. Tiada guna sesuatu hal itu dimaktubkan dalam perundangan jika ia hanya ada untuk mengumpul habuk dan tidak boleh digunapakai. 

Kegagalan mana-mana peruntukan undang-undang untuk digunapakai secara praktikal hanya akan mewujudkan ketidakpercayaan kepada undang-undang. Secara praktikal, jika Pengecualian Seksyen 375 Kanun Keseksaan dimansuhkan, adakah di masa hadapan para suami dikehendaki untuk meminta kerelaan isteri setiap kali sebelum mereka menjalinkan hubungan? Adakah permintaan dan kerelaan harus dinyatakan dalam bentuk lisan atau perlukah secara bertulis atau persetujuan tersirat mencukupi? Undang-undang harus mengambil kira konteks sosial dan kerumitan yang ada dalam sesebuah perhubungan suami isteri sebelum mengadakan peruntukan yang akhirnya akan merendahkan privasi pasangan yang berkahwin. 

Dengan Pengecualian Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang masih terpakai sekalipun, tidak bererti suami yang mendera isteri secara seksual dianggap tidak boleh dipertanggungjawabkan dan dihukum di bawah undang-undang lain. Sebagai contoh, tahun lalu seorang nelayan telah disabitkan dengan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ke atas isterinya semasa menjalinkan hubungan intim. 

Dalam kes itu, Mahkamah Sesyen Ipoh telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan selepas nelayan itu mengaku salah terhadap tujuh pertuduhan melakukan keganasan seksual terhadap isterinya. Ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan mana-mana orang kena tuduh disabitkan dengan pertuduhan berlainan bagi setiap kesalahan berlainan. 

Maka adalah menyeleweng untuk mana-mana orang memberikan tanggapan bahawa undang-undang di Malaysia tidak memelihara wanita yang berstatus isteri daripada dianiaya secara seksual oleh lelaki yang bergelar suaminya. Perbahasan mengenai isu rogol dalam perkahwinan haruslah dilihat dengan merujuk kepada segala peruntukan undang-undang melibatkan pasangan yang berkahwin secara menyeluruh. 


PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA. 

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Februari 12, 2021.


Artikel bahagian ketiga kepada rencana draf asal berjudul "Consideration of family values in defining marital rape" yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan disiarkan dalam Utusan Malaysia melalui nama Sdri Nur Farihah Meor Mazli.

 
PADA 7 September 2007 aktivis-aktivis wanita di seluruh negara meraikan kemenangan besar apabila Kanun Keseksaan dipinda untuk memasukkan Seksyen 375A yang menyatakan: “Mana-mana lelaki dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian atau kecederaan isterinya atau mana-mana orang lain untuk melakukan persetubuhan dengan isterinya hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun”. 

Sebelum ini, tidak ada peruntukan spesifik di bawah undang-undang untuk menghukum suami yang melakukan penganiayaan seksual terhadap isterinya. Bahkan Kanun Keseksaan India, yang menjadi tunjang kepada Kanun Keseksaan Malaysia juga belum pernah memasukkan pindaan tersebut.

Di negara ini, terdapat peruntukan khas bagi menangani jenayah rogol sepertimana yang diperjelaskan di bawah Seksyen 375 dan Seksyen 376. Manakala undang-undang yang menyentuh perlakuan yang menyumbang kepada pelbagai klasifikasi kecederaan terdapat di bahagian ‘Cedera’ yang meliputi Seksyen 319 hingga Seksyen 338. Realitinya, kemasukan Seksyen 375A adalah langkah bagi membasmi sebarang perilaku ganas dalam hubungan intim antara pasangan yang berkahwin dengan meletakkan peruntukan khas melangkaui hukuman di bahagian ‘Cedera’. 

Kendatipun begitu, masih ada pihak yang menghujahkan bahawa terdapat ketidakseimbangan pada hukuman yang dibenarkan di bawah Seksyen 375A bagi tindakan seorang suami terhadap isterinya berbanding dengan lelaki lain yang merogol, sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 375 dan 376 Kanun Keseksaan. Seksyen 376 memaktubkan bahawa sesiapa yang melakukan pemerkosaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, dan juga akan dikenakan hukuman sebat. Sedangkan, di bawah Seksyen 375A, seorang lelaki yang menyebabkan kecederaan untuk melakukan hubungan intim dengan isterinya hanya dihukum penjara selama maksimum lima tahun.

Untuk memahami perbezaan ini, kita harus perhatikan bahawa Seksyen 375 Kanun Keseksaan telah menggariskan dua keadaan bagi mentakrifkan sesuatu hubungan seksual sebagai rogol: pertama, apabila tiada persetujuan pasangan dan kedua, apabila tindakan itu bertentangan dengan kehendak wanita itu. Jelas, Seksyen 375A secara khusus membahaskan hubungan seksual yang bertentangan dengan kehendak isteri dan menyebabkan kecederaan.

Namun, Penulis ingin menekankan bahawa mana-mana pihak yang menyebabkan kecederaan kepada orang lain juga boleh didakwa di bawah Seksyen 319, yang dibaca secara bersama dengan Seksyen 323. Hukuman bagi peruntukan tersebut adalah penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000.00 atau kedua-duanya. Tambahan lagi, Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 326A melipatgandakan hukuman bagi pasangan berkahwin yang menyebabkan kecederaan kepada pasangannya, di mana hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga dua tahun. Melihat peruntukan ini, boleh dikatakan hukuman untuk kelakuan yang menyebabkan kecederaan adalah jauh lebih ringan daripada hukuman yang dijelaskan dalam Seksyen 375A. Maka dapat disimpulkan, Seksyen 375A tidaklah memberikan kelonggaran kepada para suami untuk mengasari isteri mereka secara seksual dengan hukuman yang lebih ringan berbanding Seksyen 376. 

Penulis berpendapat bahawa hujah kononnya wujud hukuman ringan bagi jenayah serangan seksual terhadap isteri perlu dibahaskan dengan memahami asas Seksyen 319, 323, 326A, 375, 375A dan 376 Kanun Keseksaan. Setelah mengambil peruntukan ini secara keseluruhan, boleh kita difahami bahawa undang-undang itu tidak semestinya dilihat ‘longgar’ bagi menghukumi kesalahan yang dilakukan oleh seseorang lelaki, hanya semata-mata kerana statusnya sebagai suami. 

Kesalahan di bawah Seksyen 375A Kanun Keseksaan adalah isu rumit yang telah lama cuba ditangani. Peruntukan ini adalah untuk menghukum si pelaku, sementara memberi ruang untuk melindungi mereka daripada unsur ketidakadilan. Ingatlah bahawa penjenayah yang dimaksudkan di sini bukanlah orang asing yang datang daripada lorong-lorong gelap. Sebaliknya, ‘penjenayah’ itu ialah suami yang masuk ke tempat tidur pengadu setiap malam, yang mungkin telah melahirkan zuriat dan membina kehidupan bersama dengannya. 

Para penggubal undang-undang sedar bahawa terdapat juga kemungkinan kesalahan Seksyen 375A terpakai kepada seorang suami yang isterinya tidak bekerja, yang mana si isteri mungkin merasa terhalang untuk melaporkan serangan seksual oleh suami jika dia menganggap ketua keluarga itu sebagai satu-satunya punca rezeki. Seksyen 375A diadakan bagi mendorong para isteri memperjuangkan hak mereka dan tidak terhalang daripada melaporkan serangan seksual hanya kerana mereka takutkan hukuman berat yang akan ditanggung si suami.

Hikmah di sebalik hukuman undang-undang adalah juga sebagai satu bentuk pemulihan ke atas orang yang dihukum. Hukuman penjara maksimum lima tahun bertujuan mendidik suami mengenai akibat perbuatannya, tetapi pada masa yang sama, tidak menjadikannya seorang penjenayah tegar dengan membiarnya meringkuk di dalam penjara untuk jangka masa panjang. Bagi mengangkat nilai keadilan dan kesejahteraan institusi keluarga, pertimbangan-pertimbangan ini haruslah dijadikan ruh dan semangat undang-undang yang utama ketika kita membincangkan peruntukan ini.

Penulis ialah pengamal undang-undang, ketua biro media WAFIQ, aktivis hak asasi manusia dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Februari 19, 2021.


Artikel bahagian keempat kepada rencana draf asal berjudul "Consideration of family values in defining marital rape" yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan disiarkan dalam Utusan Malaysia melalui nama Sdr Muhammad Syafiq Mukhtar.


DALAM memahami tanggungjawab dan kekangan moraliti atau etika dalam hidupan seharian seorang Muslim, kita harus yakini bahawa Syariah membentuk sistem peraturan yang menyeluruh termasuklah dalam bab perkahwinan. Seorang Muslim bukan saja harus menghormati kawalan keras yang termaktub dalam peruntukan undang-undang negara tetapi juga kawalan lunak dalam peraturan moraliti yang dibentuk daripada norma agama dan sosial masyarakat Islam di Malaysia. 

Walaupun isu tanggungjawab pasangan berkahwin sudah acap kali dibincangkan dalam penulisan sebelum ini, namun masih ramai yang enggan mengiktiraf prinsip Islam dalam membentuk etika kehidupan berkahwin. Walhal, dalam isu pembentukan undang-undang jenayah berkaitan paksaan dalam hubungan kelamin pasangan berkahwin, parlimen sebagai penggubal undang-undang telahpun membahaskan isu ini dengan mengambil kira pegangan agama Islam, sebagai agama yang terbesar dianuti di Malaysia. 

Inilah yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen semasa membentangkan dapatan mereka pada 12 Julai 2006 dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 di Dewan Rakyat; pindaan yang sama mengekalkan Pengecualian di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan dalam pada menambah masuk Seksyen 375A. Dapatan ini dibentuk selepas mengambil kira pandangan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak termasuklah agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. 

Semasa perbahasan pindaan kepada Kanun Keseksaan, Mendiang Dato' Seri Utama Karpal Singh telah bertanya jika benar ada peruntukan dalam al-Quran atau hadith yang membenarkan suami mengasari isteri semasa menuntut nafkah batin. Sudah tentu apabila isu ini dibangkitkan, kita akan sering teringat kepada hadith yang diulang-ulang para penceramah tentang kewajipan isteri meladeni permintaan suami. 

Hadith yang masyhur diriwayatkan oleh Zayd Ibn Arqam menyebut, “Seorang wanita tidak akan (sempurna) menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya, dan sekiranya dia (suami) memintanya (untuk bersetubuh) di atas Qatbi (pelana di atas unta) (isteri) (seharusnya) tidak menolak.” Hadith lain yang selalu dipetik adalah mengikut Riwayat al-Bukhari 3237, “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil, lalu isteri itu menolaknya. Maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.”

Namun perlu ditekankan, hadith ini terpakai juga apabila mengatakan hak isteri terhadap nafkah batin daripada suami dan juga tidak boleh dibincangkan tanpa menyebut batasan tuntutan hak itu. Sebagai contoh, hadith yang diriwayatkan Sahih al-Bukhari 5204, merekodkan penghormatan yang harus diberikan oleh seorang suami terhadap keselamatan fizikal isterinya, meskipun isterinya itu boleh didisiplinkan kerana melakukan kesalahan (seperti penolakan hubungan intim ketika suami mengajaknya). Dalam riwayat `Abdullah bin Zam`a, Rasulullah melarang hubungan intim bagi seorang suami yang mengasari fizikal isterinya: “Rasulullah  berkata, “Tidak seorang pun daripada kamu boleh mengasari isterinya seperti memukul seorang hamba dan kemudian melakukan hubungan seksual dengannya di hujung hari.”

Hadith ini menekankan prinsip keharmonian dalam perkahwinan seperti yang disebut dalam Surah al-Baqarah (2:187), “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa untuk bercampur dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka...” 

Ini juga dikuatkan lagi dengan banyak hadith tentang layanan seorang suami kepada isteri, contohnya dalam Sunan Abi Dawud 2144, diriwayatkan Mu'awiyah al-Qushayri, ‘Saya menemui Nabi SAW dan bertanya kepadanya: Apa yang diperintahkan tentang isteri-isteri kami? Baginda menjawab: Beri mereka makanan daripada apa yang kamu miliki untuk diri sendiri, dan berikanlah pakaian kepada mereka dengan pakaian kamu, dan jangan memukul mereka, dan jangan mencerca mereka.’ 

Jelas banyak sekali ayat al-Quran dan hadith Rasulullah yang menitikberatkan keharmonian dan keselamatan pasangan dalam perkahwinan yang sah. Tambahan lagi, dalam Islam, isteri diberikan hak untuk menuntut penceraian melalui fasakh jika dibuktikan di mahkamah bahawa suaminya telah berlaku zalim kepadanya termasuklah dengan lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya. Mengikut undang-undang Syariah, tiada wanita yang dibenarkan ditindas atau dianiaya oleh mana-mana lelaki hanya atas alasan statusnya sebagai seorang suami. Hak ini diingatkan kepada setiap wanita oleh jurunikah apabila ta’liq (syarat dalam perkahwinan yang boleh membatalkan perkahwinan jika dilangar) dibacakan. 

Perkahwinan adalah kontrak sosial yang suci, dan perjanjian yang dimakbulkan atas nama Tuhan. Setiap penganut agama Islam percaya bahawa sebarang pelanggaran kontrak ini, bukan sahaja membawa kepada kesan sosial tetapi juga keagamaan.  

PENULIS ialah Peguam Syarie yang beramal di Kuala Lumpur, Selangor & Pulau Pinang dan merupakan aktivis WAFIQ & MACSA.
*Disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Februari 26, 2021.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)