Hukuman Mati untuk Rasuah (Utusan Malaysia 25 Disember 2020)
“APABILA kuasa dianggap peluang untuk memenuhi kepentingan diri dan bukan amanah untuk mengimarahkan bumi Allah, maka rosaklah tata urus pemerintahan yang akhirnya berkesudahan dengan kejatuhan sesebuah kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Antara perihal yang dibangkitkan dalam Belanjawan 2021 tempoh hari adalah usaha kerajaan untuk memastikan keberkesanan Pelan Antirasuah Nasional (NACP). NACP diniatkan sebagai dokumen utama yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah merangkumi isu tadbir urus, integriti dan antirasuah menerusi suatu kerangka bersepadu.
Ahli-ahli parlimen turut memperbahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 dan sama menekankan kepentingan pengurusan kewangan negara yang baik bagi membenteras pembaziran, ketirisan, salah urus dan rasuah. Ada ahli parlimen yang membangkitkan insiden rasuah yang tidak terbendung dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga memungkinkan lebih berjuta-juta pendatang asing tanpa izin (PATI) di bumi Malaysia ini mendapat kad pengenalan palsu. Ada pula yang membangkitkan keberkesanan NACP dalam penangkapan secara besar-besaran yang dilakukan ke atas mereka yang terlibat dalam jenayah penipuan Macau Scam.
Terbaru, timbul pula insiden kartel daging sejuk beku yang memberi sogokan wang dan imbuhan seksual kepada pegawai-pegawai kerajaan bagi meloloskan pergerakan kartel ini. Taktik jahat kartel daging ini bermula dengan menyeludup daging sejuk beku dari Kanada, Colombia, Ukraine, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal lalu menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.
Walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pada 8 Disember yang lalu, telah menjawab di Parlimen dan memberikan pengesahan tiada daging babi yang dijumpai dalam serbuan ke atas sindiket itu, namun tetap memualkan apabila dikhabarkan sindiket ini membawa masuk daging kuda serta daging kerbau termasuklah daripada ternakan yang berpenyakit melalui proses penyembelihan yang tidak sah.
Sungguhpun negara telah berhabisan jutaan ringgit untuk menggajikan pegawai-pegawai kerajaan bagi memastikan SOP import daging sejuk beku dipatuhi, namun nampak jelas langkah ini hanyalah satu pembaziran apabila ada ramai pegawai yang sanggup menjual maruah diri mereka kepada sindiket ini yang sudah beroperasi sejak 1980an lagi. Malah menurut laporan akhabr, kartel daging haram ini mempunyai 'orang dalam' pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk negara.
Kesan rasuah kepada negara bukan sekadar merosakkan proses SOP yang digarap kemas bagi melincirkan kerja-kerja negara seharian. Lebih malang lagi, kesan rasuah kini membusung di dalam perut-perut rakyat marhaen yang sudah berpuluh tahun menelan daging haram hasil kerakusan pegawai kerajaan yang tidak segan dengan amanah masing-masing. Mengikut resmi bagaikan hinggap seperti benalu, tabiat buruk penerima rasuah ini bukan hanya merosakkan diri mereka dan keturunan mereka tetapi juga akhirnya, membinasakan agensi kerajaan yang mereka wakili.
Rakyat lelah memikirkan gelaran yang wajar diberikan kepada pegawai-pegawai yang digajikan kerajaan, dengan hasil kutipan cukai daripada rakyat, tetapi mungkar kepada amanah dalam berkhidmat untuk masyarakat. Jika dikatakan hukuman yang diperuntukkan undang-undang masa kini tidak mencukupi, maka disarankan agar Malaysia mengambil langkah lebih tegas dan mengikut langkah negara-negara seperti China, Korea Utara, Iran, Iraq, Indonesia, Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar serta Maghribi; yakni dengan meminda undang-undang mengenai rasuah agar pesalah boleh dihukum dengan hukuman mati.
Bukankah kakitangan kerajaan yang menerima rasuah itu pengkhianat negara? Tidakkah tindakan mereka itu wajar dilihat sebagai kesalahan terhadap negara yang membolehkan hukuman mati? Untuk apa mereka duduk bernaung di bawah kedaulatan Malaysia jika mereka memandang enteng kedaulatan undang-undang negara ini?
Dalam pada menteri-menteri kerajaan berterusan mengulang-ulang isu integriti bagaikan ratib harian mereka, pegawai kerajaan yang bekerja di jalanan dan lorongan gelap seluruh negara semakin nipis iman dan tipis amanah. Buat menteri-menteri kayangan ini, sudah-sudahlah berbenak di awangan sehingga kalian buta dengan realiti. Perhatikan anak-anak buah di kementerian masing-masing yang saban tahun mampu bersilih ganti kenderaan import yang serba mewah itu.
Harus ditanyakan juga kepada penerima rasuah ini: tidak jijikkah mereka dengan lendir-lendir rasuah yang disuapkan kepada anak-anak saban hari? Jangan nanti sehinggakan rakyat terasa jijik setiap kali ada orang yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai kerajaan; takut-takut orang itu juga sudah terbiasa dengan resmi rasuah yang membarah dalam setiap agensi kerajaan dan terpalit sama kekotorannya.
PENULIS ialah pengamal undang-undang serta merupakan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, juga Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.
*Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Disember 25, 2020.
Comments
Post a Comment