#DalamBerita: Rakyat tak faham atau penguat kuasa ambil kesempatan?
JIKA anda berjalan bersendirian dari tempat kerja ke stesen LRT, adakah perlu memakai pelitup muka? Bagaimana pula jika anda berada di tempat awam tetapi bersendirian?
Ramai masih keliru bukan? Termasuk kes tular baru-baru ini berhubung dakwaan seorang individu disaman kerana tidak memakai pelitup muka ketika membaca akhbar di taman awam di depan rumahnya di Klang, Selangor.
Menjelaskan dakwaan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu itu tidak sepatutnya dikompaun kerana arahan kerajaan sudah jelas.
Pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di tempat awam yang sesak.
Jika kita bersendirian atau ada penjarakan fizikal walaupun di tempat awam, terdapat kelonggaran untuk tidak memakai pelitup muka.
Ini termasuk ketika berada di kedai makan untuk makan. Dalam hal ini, siapakah yang patut dipersalahkan? Adakah orang ramai yang tidak faham atau anggota penguat kuasa yang mengambil kesempatan?
Membangkitkan hal itu, penganalisis undang-undang, Fatihah Jamhari berkata, sebenarnya peruntukan pemakaian mewajibkan pelitup muka ini memang terlalu kabur. Ini kerana katanya, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sangat samar.
Contohnya di bawah Seksyen 22 tentang kesalahan menghalang mana-mana pegawai yang diberi kuasa melaksanakan kewajipannya. Jadi, pegawai penguat kuasa sebenarnya diberikan kuasa yang sangat besar.
“Kami juga rasa pelik sebab ada yang pernah kena saman apabila pakai pelitup separuh muka dalam tempoh yang sekejap. Ada yang kena walaupun bukan tempat awam, ada yang kena bukan tempat sesak.
“Jadi kalau orang awam itu enggan bayar kompaun, boleh mengemukakan perkara itu di mahkamah. Tapi proses untuk mandamus (court order) ini panjang jalannya dan mahal. Itu sebab ramai yang lebih rela bayar RM1,000 itu, walhal sangat tak wajar apabila tak konsisten tindakan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Fatihah berkata, jika tak mahu melalui mahkamah, orang ramai boleh membuat aduan secara formal melalui Biro Pengaduan Awam atau Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.
Walau bagaimanapun, Fatihah menyarankan kerajaan supaya lebih jelas dengan maksud pemakaian pelitup muka. Bukan hanya terletak kepada pegawai yang diberi kuasa untuk putuskan. – UTUSAN
*Disiar Utusan Malaysia.
Comments
Post a Comment