Menentang Islamophobia melalui Rangka Perundangan di Malaysia (Sinar Harian 16 Mac 2020)

Insiden prejudis atau kebencian berlandaskan sentimen Islamophobia semakin merawak dalam masyarakat dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Ini terbukti dengan penahanan dan pertuduhan terhadap beberapa individu yang tidak segan untuk mengeji atau menghina agama Islam, umat Islam mahupun figura Islam sejak kebelakangan ini, terutama di media sosial. 



Majlis Eropah menterjemahkan Islamophobia sebagai ‘ketakutan atau pandangan prejudis terhadap Islam, umat Islam dan hal-hal berkaitan dengan Islam.’ Majlis Eropah turut mengklasifikasikan Islamophobia, sama ada dimanifestasi dalam bentuk bentuk diskriminasi harian atau dalam bentuk yang lebih ganas, sebagai pelanggaran hak asasi manusia dan ancaman terhadap perpaduan sosial.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengulas bahawa propaganda anti-Islam, termasuklah Islamophobia, di dunia hari ini telah menjadi tidak terkawal dan beliau merasakan sudah menjadi mustahak untuk negara-negara Islam menjelaskan Islam yang sebenarnya kepada masyarakat dunia. Ini bertujuan untuk memulihkan kepercayaan kepada perjuangan agama Islam dalam memelihara keamanan yang dilihat tercemar selepas insiden keganasan yang banyak dilakukan militia penunggang agama Islam. 

Agak pelik melihatkan percambahan sentimen Islamophobia di Malaysia sedangkan majoriti penduduk negara ini beragama Islam. Lebih unik lagi, di Malaysia, takrifan bangsa Melayu telah diikat rapi sebagai seorang yang beragama Islam. Namun ini tidak menghalang ramai rakyat Malaysia, walaupun berbangsa Melayu dan beragama Islam untuk turut terpalit dengan sentimen prejudis dan kebencian terhadap Islam. 

Adakah mustahil untuk seorang Melayu yang beragama Islam merasa sentimen Islamophobia terhadap agama yang dianutinya? Daripada kebanyakan kes-kes yang dilaporkan, disiasat dan akhirnya dibawakan ke Mahkamah, jelas menunjukkan bahawa sama sekali tidak mustahil untuk seorang yang beragama Islam mempunyai prejudis yang tinggi terhadap agama Islam. Sebagai contoh baru-baru ini seorang penuntut universiti didenda RM4,000.00 selepas mengaku bersalah memuat naik status yang dianggap menghina dan merendah-rendahkan Nabi Muhammad di laman sosial dalam bulan September 2019. 

Di negara ini, walaupun kerangka perundangan tidak menangani isu Islamophobia secara khusus, namun setelah mengiktiraf bahawa sebarang sentimen prejudis dan kebencian dalam masyarakat mampu merosakkan inisiatif negara ke arah perpaduan nasional, maka telahpun diwujudkan peruntukan undang-undang untuk membanteras sentimen Islamophobia daripada terus tular. 

Daripada sudut perundangan jenayah, sebarang penghinaan kepada mana-mana agama atau kepercayaan adalah kesalahan yang dipandang berat dalam masyarakat Malaysia. Ini diserlahkan dalam peruntukan yang terpakai di bawah Bab XV Kanun Keseksaan [Akta 574]. Bab tersebut menyenaraikan beberapa kesalahan-kesalahan berkenaan dengan agama termasuklah menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau permusuhan, benci-membenci, niat jahat atau memudaratkan perpaduan. Jika sesuatu perbuatan itu dibuat atas alasan agama dan mengakibatkan suasana tidak harmoni, yang sama adalah kesalahan di bawah Seksyen 298A Akta 574. 

Sebagai contoh, seorang lelaki ditahan polis pada bulan lalu kerana membuat siaran langsung di Facebook menunjukkan aksinya memijak al-Quran dan membuat rakaman suara menghina Islam. Tindakannya disiasat di bawah Seksyen 295 dan 298A Akta 574 kerana mencemarkan kitab yang dipegang suci oleh umat Islam dengan niat mengaibkan agama Islam dan jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda. 

Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] memperuntukkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, di mana seseorang yang  secara sedar menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian dan membuat apa-apa komen yang sumbang, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain adalah dianggap telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a). 

Sebagai contoh, tahun lalu, seorang suri rumah telah didakwa atas 6 pertuduhan menghina Islam apabila dia memuat naik status yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Antara status yang dimuat naiknya di laman Facebook termasuklah mempersoalkan perbuatan solat berjemaah dan mempersenda wahyu yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Nabi Muhammad.

Di samping itu, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] menjadikan kesalahan mana-mana orang melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut. Sebagai contoh, tahun lalu polis telah menyiasat komen jelik berunsur penghinaan terhadap institusi diraja dan agama Islam yang dimuat naik oleh seorang individu yang mengguna nama ‘Lionel Proctor’ di laman Facebook. Individu itu menulis komen, ‘siapa nak hormat raja-raja kau yang bertaraf macam ketua kampung dan agama kau yang diasaskan bangsa penunggang unta dari padang pasir’. 

Mengambil kira bahawa penghinaan terhadap agama Islam juga boleh dilakukan oleh pesalah-pesalah yang beragama Islam, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah menggubal peruntukan khusus bagi menangani isu yang sama. 

Di peringkat Persekutuan, Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] terpakai ke atas mana-mana orang yang telah secara lisan, bertulis atau dengan gambaran menghina agama Islam atau menyebabkan ia dipandang hina, mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. 

Antara kes yang tular telah disabitkan di bawah Seksyen 7 Akta 559 adalah kes Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin yang diperintahkan berkelakuan baik selama enam bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah selepas mengaku salah menghina kesucian agama Islam. Kesalahan Raja Bomoh adalah berhubung dengan amalan ritual yang dilakukannya untuk menurun hujan dan meredakan panas kesan fenomena El Nino pada tahun 2016. Tindakannya dilihat telah menyebabkan agama Islam dipersendakan dan dipandang hina oleh masyarakat umum. 

Peruntukan yang serupa juga digubal di bawah Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bagi menghalang perbuatan menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, serta perbuatan mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam, atau perbuatan mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam. 

Antara kes yang telah diadukan di bawah Seksyen 10 adalah insiden melibatkan Nik Ahmad Farhan, atau lebih dikenali sebagai Da’i Farhan yang tular di media sosial sebelum ini kerana mengulas tentang pernikahannya kepada isteri kedua semasa mereka berkenalan di Tanah Suci. Ulasan Da’i Farhan dilihat seolah-olah mempersendakan kesucian Islam dan boleh menyebabkan agama Islam dipersendakan atau dipandang hina, lebih-lebih lagi apabila orang ramai membuat perbandingan bagaimana seorang figura Islam boleh menindas isteri pertamanya hanya bagi meraikan poligami. 

Begitu juga di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang turut menjadikan perbuatan menghina agama Islam sebagai suatu kesalahan. Antara kes yang pernah disiasat di bawah peruntukan ini adalah kes melibatkan tajuk debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak yang tular di media sosial. Antara tajuk yang dicadangkan oleh mahasiswa yang terlibat dalam pertandingan debat itu telah memaksa penghujahan para peserta mengenai kecacatan dan kekurangan al-Quran serta menyarankan mereka menulis semula al-Quran dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal selain membincangkan kononnya ‘amalan homoseksual bukan dosa dalam Islam’. 

Tindakan orang ramai yang tidak menghormati agama Islam yang diangkat tinggi sebagai agama Persekutuan adalah titik permulaan kepada pertambahan insiden yang berkaitan dengan rasa prejudis dan kebencian terhadap agama Islam. Rasa prejudis ini dengan mudah dimanifestasikan sebagai diskriminasi terhadap penganut agama Islam. Hal ini dapat dilihat dengan merujuk kepada beberapa laporan diskriminasi terhadap umat islam yang sudah dilaporkan sebelum ini. Sebagai contoh, diskriminasi melalui halangan solat yang dikenakan oleh majikan bagi mendiskriminasi Muslim di tempat kerja serta halangan wanita Muslim mengenakan hijab di tempat kerja.

Bagi memulakan perbincangan menangani isu Islamophobia di Malaysia, perkara pertama yang harus dilakukan adalah dengan mengiktiraf bahawa prejudis yang ketara terhadap Islam dan hal berkaitan dengan agama ini sudah mula wujud di Malaysia. Hanya dengan mengambil langkah permulaan ini, barulah kita sebagai sebuah masyarakat mampu melihat isu ini secara objektif dan mencari jalan membendung sentimen kebencian terhadap agama yang mulia ini. 

PENULIS adalah pengamal undang-undang, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ serta Setiausaha Kehormat MACSA.

** Disiarkan melalui ruangan Perspektif, Sinar Harian pada Mac 16, 2020 dengan pindaan Editor.  

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)