Keadilan yang dinafikan (Utusan Malaysia 10 Jun 2019)

“JANGAN perdebatkan soal keadilan sebab keadilan bukan untuk diperdebatkan.” – Iwan Fals.



Keadilan adalah meletakkan hak kepada tempat yang sewajarnya. Ini termasuklah memastikan setiap yang bersalah menerima hukuman setimpal. Menidakkan hukuman kepada pesalah bukan sahaja menafikan hak pembelaan mangsa yang menerima kesan daripada tingkah laku pesalah tetapi juga meletakkan keselamatan masyarakat dalam bahaya, pesalah masih bebas untuk mengulangi kesalahannya tanpa sebarang kesan.

Untuk kesekian kali, kisah kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim kembali hangat diperdebatkan. Inkues yang sepatutnya menghampiri penghujung, masih berterusan dilanda skandal dan drama. Terbaharu, penarikan diri peguam Syazlin Mansor daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga Muhammad Adib.

Selepas 36 hari memperkenalkan diri sebagai peguam mewakili pihak-pihak ini, akhirnya Peguam Negara menegaskan kononnya wujud percanggahan kepentingan untuk Syazlin mewakili ketiga-tiga anak guamnya. Logik yang tidak masuk akal kerana umum sudah maklum, inkues bukanlah seperti prosiding mahkamah lain, yang mana isu utama melihatkan kepentingan yang bercanggah dan bertentangan. Sedangkan inkues ditubuhkan melalui bidang kuasa di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] mempunyai satu matlamat agar semua pihak terlibat mendapatkan kesahihan punca kematian mangsa.

Kepentingan dilihat bercanggah apabila mempertimbangkan keseluruhan fakta berkenaan dengan inkues ini. Antara fakta relevan adalah apabila Peguam Negara membuat afidavit menegaskan tentang perkara berkaitan dengan punca kematian, walhal inkues sedang berjalan. Jika benar alasan inkues dijalankan kerana punca kematian masih tidak diketahui, bagaimana mungkin Peguam Negara dengan yakin, sudah tahu lebih awal untuk mengatakan dalam afidavit kononnya kematian Muhammad Adib bukanlah disebabkan dia dipukul?

Fakta relevan lain adalah seperti diakui sendiri oleh Peguam Negara dalam kenyataan akhbar bahawa Syazlin telah mengambil peranan aktif semasa menyoal saksi-saksi yang dipanggil dalam inkues itu. Jika ini dilihat sebagai justifikasi bagi menyokong arahan untuk penarikan diri Syazlin, sudah tentu ini adalah cara licik untuk menidakkan mana-mana pihak berperanan aktif semasa inkues dijalankan. Ini adalah jelas penafian hak keadilan untuk semua rakyat Malaysia mengetahui punca sebenar kematian Muhammad Adib.

Seorang peguam harus menjalankan tugasnya tanpa rasa gentar mahupun memihak. Tugas itu termasuklah memainkan peranan aktif dan efektif dalam menyoal saksi-saksi yang hadir semasa prosiding berjalan bagi merungkai kesahihan fakta dan mendapatkan kebenaran. Jika tugas dan tanggungjawab ini dilihat sebagai berlebih-lebih, sudah tentu peguam tidak dapat memainkan peranan sewajarnya. Sudah tentu keadilan direndahkan nilainya apabila pertimbangan diberikan kepada mereka yang melihat tanggungjawab seorang peguam menyoal untuk kebenaran sebagai berlebih-lebih.

Bukankah ini memungkiri ikrar mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan inkues dalam menjalankan kewajipan mereka seperti di bawah Perlembagaan Persekutuan? Sejauh mana rakyat akan terus berpeluk tubuh menerima sandiwara yang memperolokkan perundangan negara dalam pada keadilan dipermainkan?

PENULIS adalah pengamal undang-undang, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ dan Pengerusi program #TagupiMembaca.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Jun 10, 2019. 

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)