Maruah agama tanpa rasa hormat (Utusan Malaysia 7 Mac 2019)
“AGAMA diajarkan kepada manusia agar ia memiliki pengetahuan dan kesanggupan untuk menata hidup, menata diri dan alam, menata sejarah, kebudayaan, dan politik.” - Cak Nun.
Agama menjadi isu sensitif bukan kerana rasa hormat yang tinggi kepada ajaran agama itu sendiri tetapi lebih kerana tanggapan penganut agama menjadi terlalu beremosi dalam memelihara agama masing-masing.
Sedangkan setiap agama yang wujud adalah bagi memelihara rasa kehormatan dalam kehidupan dan garis panduan untuk mengatur kelangsungan kehidupan dengan kehormatan.
Sebetulnya agama hanya menjadi isu sensitif apabila ramai yang tidak segan dan hilang hormat dalam menata kehidupan bermasyarakat.
Apabila berlaku insiden penghinaan ke atas Rasulullah oleh Wai Foo Sing, timbul kembali wacana menghentikan insiden ini daripada terus berlaku.
Pelik, bagaimana insiden ini bukanlah kali pertama penghinaan ke atas agama dan tokoh Islam berlaku di Malaysia - negara yang mengangkat agama Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, yakni undang-undang tertinggi negara.
Sebelum ini pun sudah banyak insiden yang membiarkan orang-orang angkuh berleluasa menghina agama Islam. Paling hangat diperkatakan adalah tindakan Alvin Tan melarikan diri mencari suaka di luar negara selepas dikehendaki pihak berkuasa atas penghinaannya kepada agama Islam.
Apakah kerana tiada kesungguhan politik (political will), maka isu ini dipandang hangat-hangat tahi ayam?
Terdapat cadangan untuk mengetatkan undang-undang di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan [Akta 574] bagi membolehkan peruntukan ini membasmi dengan efektif sebarang serangan terhadap mana-mana agama.
Ada juga yang mencadangkan agar Seksyen 298A Akta 574 dipinda dan diperkemaskan untuk mencairkan kesan keputusan kes Mamat bin Daud & Lain-lain lawan Kerajaan Malaysia, oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 1987 yang menghakimi bahawa Seksyen 298A sebagai tidak berpelembagaan.
Tidak kurang tuntutan untuk menggubal Akta Undang-Undang Kebencian Bangsa dan Agama.
Cadangan-cadangan ini semua dilihat bermewah-mewah, lebih-lebih lagi dengan melihatkan kemungkinan wujud kelompongan yang akan membolehkan pertuduhan dilakukan terhadap pendakwah agama Islam yang menggunakan perbandingan agama sebagai cara mereka menyebarkan ajaran agama Islam kepada orang ramai.
Persoalan yang akan timbul nanti adalah: dakwah mana yang dilihat tidak termaktub di bawah Seksyen 298 Akta 574 dan dakwah mana yang akan terperangkap? Terutama apabila banyak pihak mengkritik cara penyampaian dakwah sesetengah pendakwah bebas, seperti Dr. Zakir Naik, menyampaikan cara dakwah mereka.
Adakah dengan suara yang membentak-bentak itu akan dilihat sebagai ‘dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama seseorang’?
Maka jika suara ‘dilunakkan’ adakah perkataan menghina agama boleh diterima sebagai bukan ‘menyebabkan suasana tidak harmoni’? Di mana nanti had pemakaian peruntukan-peruntukan ini nanti?
Kita harus lebih berhati-hati dalam memastikan wujud keseimbangan menuntut jalan muktamad dalam pada masa sama memastikan kebebasan untuk berdakwah sekelumit pun tidak boleh dijejaskan.
Jangan dek kerana nak menyelamat kelambu terbakar, habis seluruh rumah dihurung nyamuk.
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ dan Pengerusi program #TagupiMembaca.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Mac 7, 2019.
Comments
Post a Comment