Perintah berkurung: Mengasuh atau memasung? (Utusan Malaysia 14 Februari 2019)
“APA yang dapat anda lakukan untuk mempromosikan perdamaian dunia? Pulanglah dan cintai keluarga anda.” - Mother Theresa.
Undang-undang hanyalah satu bentuk kawalan keras ke atas masyarakat dalam memastikan kesejahteraan, ketenteraman dan keselamatan negara diselia dengan baik. Demi tujuan ini sebarang permasalahan sosial dalam masyarakat juga dikawal mengikut buram perundangan bagi memastikan kecelaruan sosial tidak menjejaskan negara.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan perintah berkurung bagi kanak-kanak bawah 18 tahun.
Ramai yang memberikan reaksi negatif kepada cadangan itu dengan rata-rata berpendapat bahawa sebarang bentuk kawalan ke atas kanak-kanak seharusnya ditentukan oleh ibu bapa mereka sendiri.
Tetapi pandangan ini tidak mengambil kira permasalahan yang sudah kerap timbul apabila zaman moden, yang melihat kebangkitan pesat teknologi, semakin melumpuhkan institusi kekeluargaan.
Hampir dua tahun lalu negara dikejutkan dengan kemalangan di Johor Bahru melibatkan lapan remaja berlumba basikal lajak di awal pagi. Awal tahun lalu, dua remaja maut dalam kemalangan lewat malam, juga melibatkan perlumbaan basikal lajak.
Ditambah lagi dengan kes-kes rogol remaja melibatkan kenalan di aplikasi sosial. Bukan fenomena yang janggal untuk duduk di mahkamah jenayah dan saban hari mendengar kes-kes rogol statutori yang rata-rata mempunyai fakta yang sama: berkenalan melalui aplikasi sosial, berjumpa dan keluar bersiar-siar sebelum remaja bawah umur dirogol.
Undang-undang sedia ada yang digubal dengan tujuan memelihara kehidupan kanak-kanak seperti sudah hilang taring kerana dilihat tidak berjaya memastikan keselamatan mereka. Di mana ketanggungjawaban masyarakat dalam hal mengawasi anak-anak ini?
Sedangkan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] menyebut dengan jelas tentang kesalahan membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.
Peruntukan ini menjadikan kesalahan kepada mana-mana orang yang merupakan ibu atau bapa atau penjaga atau orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak untuk meninggalkan kanak-kanak itu dalam keadaan tidak berpatutan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak kurang dua tahun jika disabitkan kesalahan ini.
Jika masyarakat tidak khuatir dengan keselamatan anak-anak yang mungkin terancam dengan pengawasan dilonggarkan, mungkin hukuman berat sebegini patut menjadikan mereka lebih berhati-hati dalam mengawasi anak-anak.
Cadangan untuk mengadakan perintah berkurung dengan menjadikan rangka perundangan dari negara luar seperti di Iceland, Amerika Syarikat, Australia dan Thailand sebagai contoh adalah sebetulnya hanya salah satu cadangan bagi menangani isu sosial kanak-kanak bawah umur.
Keberkesanan belum boleh dipastikan dengan rangka untuk membolehkan perintah berkurung berjalan secara lancar haruslah diperkemaskan lagi.
Adakah langkah mengadakan perintah kurung ini hanya bertujuan untuk menyelesaikan masalah sosial dengan memasung anak-anak di rumah tanpa memikirkan cara halus untuk mengasuh mereka mengenal baik daripada buruk?
Ibu bapa masih mempunyai tanggungjawab berat untuk mengajar anak-anak berdikari dan ruang mengenal erti kebebasan. Namun tanggungjawab ini tidaklah sehingga menghendaki halus, genting; genting putus sudahnya.
Yang lebih utama adalah dengan memastikan institusi keluarga diperhebatkan lagi dengan mengembalikan nilai kasih-sayang dalam masyarakat. Ibu bapa yang sewajarnya mengawasi anak-anak, haruslah mempunyai ruang untuk memainkan peranan masing-masing.
Mustahil untuk institusi keluarga berjalan baik jika kekangan ekonomi tidak memungkin ibu bapa untuk ada bersama anak-anak.
PENULIS ialah pengamal undang-undang.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Februari 14, 2019.
Comments
Post a Comment