Undang-undang bak bola mainan politik? (Utusan Malaysia 9 Januari 2019)

"KEMAJUAN sesebuah negara amat dipengaruhi oleh keyakinan warga dan keyakinan dunia bahawa negara diurus tadbir secara adil lagi saksama berteraskan sistem dan institusi undang-undang yang berintegrasi lagi telus." - Sultan Nazrin Shah.




Asal keperluan untuk mengadakan undang-undang dalam sesebuah masyarakat adalah sebagai satu bentuk ‘kawalan keras’ bagi mengawal selia kemakmuran masyarakat, mempertahankan ketenteraman, menyelesaikan pertikaian, dan melindungi kebebasan dan hak. Untuk memastikan setiap ahli masyarakat menghormati undang-undang yang wujud, haruslah peraturan yang ada meletakkan kedaulatan undang-undang tinggi menandingi sebarang bentuk kawalan lain dalam masyarakat.

Keadilan untuk itu bukan saja harus dilaksanakan tetapi juga harus dilihat sebagai terlaksana. Ini bererti keadilan juga harus meletakkan undang-undang sebagai terpakai ke atas semua ahli masyarakat secara selaras dan sama rata tanpa membeza-bezakan status sosial ahli masyarakat. Setiap orang adalah sama di bawah litupan proses perundangan, baik seorang raja mahupun rakyat marhaen yang diperintah baginda raja.

Maka adalah amat tersasar daripada terapan kedaulatan undang-undang apabila keadilan dilihat tidak memayungi setiap warga negara Malaysia secara sama rata. Apabila wujud kes-kes yang menggunakan undang-undang secara ketat dalam pada masa yang sama wujud kes-kes yang melonggarkan pemakaian undang-undang untuk sekumpulan yang lain. Ini mewujudkan persepsi salah dalam kalangan masyarakat bahawa kononnya wujud komuniti istimewa yang hidup di luar daripada litupan proses perundangan.

Sebagai contoh apabila undang-undang melibatkan percakapan yang berbaur hasutan kebencian dilontar oleh orang-orang politik. Ada pertuduhan yang dilepaskan tanpa sebarang tindakan lanjut atas sebab laungan kuat aktivis hak asasi manusia. Sedangkan laungan yang sama tidak kedengaran apabila percakapan yang sama dilontarkan oleh ahli politik yang tidak mereka senangi.

Kewujudan reaksi yang berbeza-beza mengikut siapa pihak yang terlibat mencipta persepsi bahawa keadilan juga membezakan pihak sehinggakan ada yang akan bersudu daun labu, ada pula yang akan bersudu daun lalang. Dikhuatiri ketidakadilan dalam sistem kehakiman yang mengangkat keadilan sebagai intisari akan mewujudkan kebobrokan yang ketara dalam masyarakat.

Lebih malang lagi jika perintah mahkamah yang dikeluarkan hanya dilihat sebagai dokumen picisan yang tidak punya taring sehingga boleh ditolak tanpa hormat. Apakah jadinya dengan masyarakat yang sudah melihat institusi perundangan sebagai alat yang boleh diperkotak-katikkan oleh mainan politik? Sudah tentu masyarakat yang dilahirkan bersikap biadab dan tidak percaya kepada kedaulatan undang-undang yang hanya wujud sebagai perhiasan kosong.

Kedaulatan undang-undang harus wujud dengan mengangkat pemisahan kuasa antara badan eksekutif negara berbeza dengan badan legislatif dan badan kehakiman. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 39 yang memperuntukkan kuasa eksekutif Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Perkara 44 yang memberi kuasa perundangan Persekutuan kepada Parlimen dan Perkara 121 yang memaktubkan kuasa kehakiman Persekutuan kepada mahkamah, telah dengan jelas mewujudkan prinsip pemisahan kuasa.

Namun apabila keluar kenyataan-kenyataan rasmi yang membenarkan ahli kuasa eksekutif berbicara tentang perkara yang melibatkan kehakiman, sudah tentu nampak kekok, malahan pincang sekali. Adakah masyarakat akan terus berdiam diri? Sedangkan mereka dapat melihat bagaimana undang-undang dipergunakan sebagai bola mainan politik. Sedangkan dengan jelas kehakiman menggugurkan kes-kes politik, pada masa yang sama dengan keras menuntut keadilan ketat ke atas yang lain.

Kepincangan kehakiman yang mencairkan kedaulatan undang-undang akan merosakkan masyarakat dengan bukan sedikit.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Januari 9, 2019.  

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)