Menegakkan kehormatan yang hilang (Utusan Malaysia 23 Januari 2019)

“Setiap anggota badan kehakiman yang memilih untuk memakai jubah keadilan dan naik ke kerusi keadilan mesti belajar untuk membuang perasaan peribadinya bagi kesaksamaan mutlak.” - Hakim Wan Yahya dalam kes Abdul Ghani Ishak & Anor v. PP [1981].



Kehakiman sebagai penjaga pintu sistem keadilan berpaksi kepada kepercayaan dan rasa hormat masyarakat terhadap integriti, kesaksamaan serta sikap tidak berpihak pegawai-pegawai kehakiman dalam kesemua perkara yang harus diputuskan mereka. Dalam menjaga kepercayaan masyarakat agar terus menghormati badan kehakiman, setiap gerak kerja mereka menjadi air yang jernih, sayak yang landai agar tiada ruang untuk dipersoalkan di kemudian hari.

Jika bercerita anekdot kehebatan hakim-hakim terdahulu dalam memelihara integriti masing-masing, akan ada peguam kanan yang akan memetik bagaimana tulus hakim-hakim dalam memelihara imej dan reputasi mereka sehingga ada yang enggan sama sekali menerima pelawaan makan minum daripada peguam-peguam.

Langkah ini bukanlah untuk menjaga status pegawai kehakiman itu semata-mata tetapi lebih utama, adalah untuk memelihara kesucian reputasi badan kehakiman yang mereka wakili. Apakah yang akan terjadi apabila masyarakat umum melihat peguam, pendakwa raya dan pegawai kehakiman bebas bersosial bersama?

Tidakkah akan terdetik di hati masyarakat kebimbangan tentang perkara apa yang mereka boleh bincangkan di luar mahkamah dan sama ada hal dalam mahkamah juga akan lolos dalam perbincangan mereka? Sedangkan setiap hakim yang menghakimi sesuatu kes harus melihat fakta kes secara saksama dan adil tanpa boleh ada pratanggap.

Bukankah mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menghormati Kod Etika Hakim 2009 [P.U. (B) 201] yang “bertujuan untuk menetapkan standard asas untuk mengawal tatakelakuan semua hakim dan menjadi bimbingan kepada hakim dalam membentuk dan memelihara budi pekerti dan tata kelakuan kehakiman yang tinggi”? Ini termasuklah untuk etika untuk mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman hakim semasa menjalankan aktiviti luar kehakimannya, seperti yang dimaktubkan di bawah Seksyen 8(1)(a) “Mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman hakim semasa menjalankan aktiviti luar kehakimannya menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim.”

Perundangan, kehakiman dan keadilan negara semakin kebobrokan apabila pendakwa raya dilihat bersosial bebas dengan pihak hakim yang sepatutnya memutuskan kes-kes yang didakwa di mahkamah secara tulus. Lebih buruk lagi apabila peguam kanan juga dilihat beramah mesra. Di manakah keadilan yang dilengah-lengahkan apabila pegawai mahkamah dilihat punya kelapangan untuk bersosial dalam pada kes di mahkamah masih bertimbun meningkat? Sedangkan kes jenayah paling dahsyat masih belum boleh melihat sinar penghujung.

Kepercayaan masyarakat kepada keadilan yang diputuskan di mahkamah adalah penting kerana kewibawaan mahkamah juga adalah dalam kuasa mahkamah untuk memerintah mana-mana ahli masyarakat berbuat itu dan ini termasuklah dalam hal pemilikan harta peribadi mereka.

Dengan mencairkan kepercayaan dan rasa hormat masyarakat kepada badan kehormatan, apa yang timbul hanyalah keporak-perandaan yang ketara apabila ada pihak yang melihat perintah mahkamah sebagai kertas kosong yang tidak perlu dipatuhi.

Di mana keadilan apabila perintah mahkamah boleh dengan senang dicampakkan ke tepi tanpa perlu dihormati lagi? Malah lebih buruk lagi apabila peguam yang mewakili pihak yang ingkar kepada perintah mahkamah dilihat sebagai mempunyai akses besar untuk bersosial dengan pegawai kehakiman yang memeterai perintah mahkamah itu.

Tiada teguran yang boleh mengembalikan kepercayaan dan rasa hormat yang telah tercalar tetapi mungkin dengan teguran ikhlas masyarakat kepada mereka yang diamanahkan untuk memelihara keadilan, kesaksamaan dan ketulusan sistem kehakiman negara, perkara yang memburuk-burukkan imej sistem keadilan ini dapat dihentikan.

PENULIS adalah pengamal undang-undang, Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ dan Pengerusi program #TagupiMembaca.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Januari 23, 2019.  

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)