Harga kedaulatan selatan sempadan (Utusan Malaysia 7 Disember 2018)
“NEGARA Malaysia telah 61 tahun merdeka dan ketika negara mencapai kemerdekaan, yang dilahirkan ketika itu ialah sebuah negara baharu iaitu negara merdeka yang mempunyai kedaulatan ke atas warga dan wilayah yang ditetapkan...” - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Semasa sesebuah negara terbentuk, dengan meraih kemerdekaan melalui perjuangan yang pelbagai, negara itu juga dengan sendirinya membentuk kedaulatan ke atas keseluruhan jajahan dan takluk milik negara itu.
Kedaulatan ke atas sempadan negara adalah meliputi bukan hanya tanah tetapi juga udara dan laut.
Di bawah Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS), Artikel 2 menyebut bahawa ‘kedaulatan sebuah negara pesisiran merangkumi, melampaui kawasan daratan dan perairan dalamannya dan dalam hal sebuah negara kepulauan, perairan kepulauan ke pinggir laut bersebelahan yang digambar sebagai wilayah laut.’
Di bawah Artikel 14 - 16 UNCLOS, konvensyen ini juga menyatakan cara menentukan wilayah laut negara perairan yang berjiran dengan kepulauan lain.
Hal ini penting kerana sebarang pencerobohan kepada kedaulatan negara adalah perkara yang memungkinkan perbalahan antara negara berjiran sehingga membawa kepada konflik bersenjata. Sebagai contoh, wilayah Jammu dan Kashmir yang menjadi punca persengketaan di antara India dan Pakistan sehingga pernah meragut ratusan ribu nyawa.
Rabu lalu, Singapura menegaskan bahawa niat Malaysia untuk memperluaskan had pelabuhan Johor Bahru adalah sebetulnya menceroboh kawasan perairan Singapura di Tuas. Penegasan itu adalah bagi membalas kenyataan Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan bahawa kajian had persempadanan masih sedang dijalankan.
Malaysia menyatakan bahawa had persempadanan di antara Singapura-Malaysia mungkin berubah kerana kerja-kerja menambak tanah yang banyak dilakukan di sebelah Singapura. Namun, ini tidak sepatutnya mengubah perkiraan garis pangkal negara Singapura.
Ini bukanlah kali pertama Malaysia dan Singapura bertelagah berebutkan wilayah laut. Sebelum ini kedua-dua negara turut mempertikaikan wilayah Poin 20 yang dikatakan telah ditambak secara salah oleh Singapura di bahagian Tuas sehingga memasuki kawasan wilayah Malaysia.
Isu perebutan Batu Puteh atau Pedra Branca pula menjadi pertikaian antarabangsa apabila kes ini dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Walaupun kes telah dirungkaikan memihak kepada Singapura namun kesan tidak berpuas hati ke atas penghakiman itu masih dirasai hingga hari ini dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama dalam hal berkaitan persempadanan negara.
Adakah kesungguhan Singapura menegaskan tuntutan mereka ke atas wilayah laut yang semakin banyak diambil adalah atas dasar menegakkan hak persempadanan dan kedaulatan negara mereka? Atau adakah ini semua taktik lebih besar bagi menundukkan kuasa ekonomi Malaysia di perairan selatan?
Tidak habis dengan isu wilayah laut, timbul pula isu wilayah udara bila mana Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan niat negara untuk mengeluarkan Nota Bantahan melalui Kementerian Luar bagi pelanggaran prinsip hak kedaulatan negara ini kerana negara itu menyiarkan tatacara Sistem Instrumen Pendaratan (ILS) di Lapangan Terbang Seletar.
Malaysia menegaskan bahawa penyiaran tatacara ILS adalah melanggari peruntukan di bawah Konvensyen Penerbangan Sivil Antarabangsa (Konvensyen Chicago) 1944.
Perbalahan di antara Singapura dan Malaysia adalah trend yang tidak sihat memandangkan terlalu banyak hubungan perdagangan di antara dua negara berjiran ini.
Jika perbalahan ini berkembang kepada konflik antarabangsa, sudah tentu hubungan serantau yang baik terjalin selama ini akan tergugat dan mengakibatkan ramai rakyat terganggu.
Sebaik-baiknya isu kedaulatan negara diselesaikan dengan mengambil kira keselamatan negara dan impak akan dirasai rakyat Malaysia dan Singapura jika konflik berterusan.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Disember 7, 2018 dengan pindaan Editor.
Comments
Post a Comment