Hak asasi manusia melalui UPR (Utusan Malaysia 8 November 2018)
KHAMIS ini takat kelangsungan hak asasi manusia (HAM) di Malaysia akan disemak untuk kali ketiga di Majlis Hak Asasi, Pertubuhan Hak Asasi Manusia (PBB). Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) hanya berlaku setiap lima tahun sekali. Maka landasan ini haruslah digunakan sebaiknya untuk memastikan negara dapat menambah baik lagi pemakaian HAM sedia ada.
UPR akan dimulakan dengan wakil Majlis Hak Asasi, PBB menjemput ahli delegasi Malaysia yang selalunya diwakili oleh pegawai Kementerian Luar dan beberapa badan kerajaan lain untuk menyampaikan pembentangan Laporan Negara Dalam Semakan (SUR). Selanjutnya persidangan semakan UPR akan membenarkan ahli-ahli delegasi negara luar untuk memberikan ulasan dan pandangan mereka kepada wakil Malaysia tentang isu-isu HAM yang dilihat penting sedang berlaku di Malaysia.
Wakil negara Malaysia akan diberikan sedikit ruang untuk menjelaskan sebarang persoalan yang ditanya oleh ahli negara luar atau menyatakan kedudukan Malaysia berkenaan dengan mana-mana isu khusus yang dibangkitkan oleh negara luar. Persidangan akan diteruskan dengan mengumpulkan perkongsian syor negara luar dan hanya akan ditangguhkan selepas mendengar ulasan penutupan daripada wakil-wakil Malaysia.
Selepas kesemua syor negara-negara luar dikumpulkan oleh Kumpulan Kerja, Majlis Hak Asasi, PBB barulah persidangan UPR untuk proses penerimaan akan dimulakan. Di dalam sesi penerimaan (adoption), wakil Malaysia akan mengesahkan syor-syor daripada wakil-wakil negara luar yang akan diguna pakai di Malaysia atau ditolak kerana dilihat tidak bersesuaian untuk diterjemahkan ke dalam konteks HAM di Malaysia. Selalunya persidangan proses penerimaan akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas sesi semakan bagi membolehkan kumpulan kerja mengumpul dan meringkaskan syor yang diberikan.
Dalam sesi penerimaan, penglibatan organisasi masyarakat madani (CSO) adalah lebih jelas kerana CSO antarabangsa yang mempunyai status Perundingan Majlis Ekonomi dan Sosial, PBB (ECOSOC) akan dijemput untuk menyampaikan pandangan mereka.
UPR memberikan ruang besar kepada CSO untuk terlibat dalam membentuk dasar kerajaan negara terlibat, terutama dalam pembentukan dasar HAM. Bagi menggunakan landasan sedia ada untuk mengangkat taraf HAM dalam negara, Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the Universal Periodic Review Process (MACSA) di bawah pimpinan Azril Mohd. Amin dan Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar telah memainkan peranan dalam setiap peringkat penglibatan dalam proses UPR termasuklah dengan menyerahkan satu Laporan Gabungan Pemegang Kepentingan ke PBB.
Penglibatan MACSA dalam proses UPR menjadi saksi bagaimana CSO mampu bangkit bersama memperjuangkan HAM tanpa perlu menggadaikan naratif, sejarah atau acuan kebangsaan. HAM yang diangkat oleh MACSA adalah mengikut relativisme budaya yang menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan di samping membudayakan HAM dalam masyarakat yang mementingkan adat, adab dan agama.
Penulis berharap penglibatan MACSA dalam UPR pusingan ini adalah penggerak kepada lebih banyak lagi penglibatan CSO tempatan yang akan lebih cakna akan perihal HAM dan lebih tegas dalam menuntut komitmen kerajaan dalam menghormati HAM rakyat Malaysia sejajar dengan acuan negara.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada November 8, 2018 dengan pindaan Editor.
Comments
Post a Comment