Di mana pergi hak pendidikan di Malaysia? (Utusan Malaysia 8 Oktober 2018)

“IMAN tanpa ilmu bagaikan lentera di tangan bayi. Namun ilmu tanpa iman, bagaikan lentera di tangan pencuri.” - Buya Hamka.



Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) pada 1995. Berkesinambungan daripada itu, Parlimen Malaysia telah memperkenalkan Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611]. Artikel 28 dan 29 CRC memperuntukkan hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan. Namun Malaysia telah merekodkan kekecualian kepada Artikel 28(1)(a) berkaitan dengan kewajipan Kerajaan untuk menyediakan pendidikan asas secara percuma.

Hal ini memberikan kesan langsung kepada kanak-kanak daripada komuniti orang tidak bernegara (OTB) dan komuniti pelarian kerana walaupun sudah wujud langkah-langkah untuk menerima kemasukan mereka ke sekolah kebangsaan, namun mengikut data yang dikeluarkan pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri menyatakan bahawa terdapat lebih daripada 2,500 orang kanak-kanak OTB yang sedang menunggu untuk didaftarkan ke sekolah. Sedangkan kanak-kanak pela­rian hanya mendapatkan pendidikan melalui sekolah sukarelawan yang dibangunkan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Setakat ini walaupun kerajaan dengan pucuk pimpinan baharu telah menyatakan komitmen untuk memperkasakan pendidikan negara, namun masih belum timbul janji kukuh untuk menyemak semula kekecualian Malaysia dalam CRC. Adakah Malaysia baharu akan terus meminggirkan hak kanak-kanak komuniti rentan untuk mendapatkan pendidikan asas?

Di bawah Artikel 19 CRC, Kerajaan Malaysia telah memberikan komitmen untuk memastikan kanak-kanak di negara ini dilindungi daripada sebarang keganasan, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau kecuaian secara fizikal atau mental, penganiayaan atau eksploitasi, termasuk penderaan seksual. Komitmen ini dizahirkan dalam bentuk peruntukan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 38 Akta 611 serta Akta Ke­salahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792]. Namun apakah peruntukan undang-undang saja sudah memadai untuk memelihara kesejahteraan kanak-kanak?

Seringkali kita dibangkitkan dengan kisah penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian, baik di ta­ngan ibu bapa, saudara-mara atau pengasuh kanak-kanak. Kekerapan berlakunya kes penderaan yang teruk di Malaysia membuktikan kerajaan sudah gagal melaksanakan komitmen yang diikrarkan kepada kanak-kanak negara ini.

Ini termasuklah kemaraan kes-kes jenayah seksual yang dikaitkan dengan penderaan ke atas kanak-kanak oleh keluar­ga dan pengajar.

Sebagai contoh, negara digemparkan dengan berita penahanan dan perbicaraan pedofilia Britain, Richard Huckle yang menggunakan gereja di Kuala Lumpur untuk mengenali mang­sa-mangsanya. Huckle dengan angkuh merekodkan penderaan dan kejahatannya dalam manual yang menyenaraikan cara memerangkap mangsa-mangsanya, ada yang semuda tiga tahun. Begitu juga dengan penahanan guru-guru daripada sekolah tahfiz yang tidak berdaftar di seluruh negara atas jenayah melakukan penderaan dan gangguan seksual ke atas kanak-kanak yang dididik mereka.

Kerajaan Malaysia baharu harus lebih inovatif dalam memastikan ikrar dan sumpah yang mereka berikan untuk menjaga hak kesemua kanak-kanak negara ini dipelihara dengan baik. Pendidikan asas yang wajib diberikan kepada semua tanpa mengira status adalah langkah awal dalam membentuk masyarakat yang berilmu. Namun kerajaan harus juga memastikan pendidikan yang diberikan adalah dalam suasana yang selamat dan bebas daripada sebarang bentuk penga­niayaan. Tiada guna ilmu yang cuba diberikan jika proses itu disulami dengan kehinaan.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada Oktober 8, 2018 dengan pindaan Editor sebagai 'Ke mana pergi hak pendidikan?'. 

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)