Membudayakan acuan kebangsaan (Utusan Malaysia 17 September 2018)

TAHUN ini genap 55 tahun pembentukan Malaysia. Sekalung penghargaan buat setiap warganegara Malaysia yang menabur bakti dalam memastikan pembentukan negara ini masih berkekalan dengan aman. Pe­nyatuan ini hanya dimungkinkan oleh daya usaha pejuang negara yang memandang kekuatan dalam kesatuan.

Kesatuan ini adalah seperti yang diasaskan melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Melalui Artikel 1 MA63, de­ngan jelas memaktubkan: “Koloni Borneo Utara, Sarawak dan Singapura hendaklah bersekutu dengan Negeri-ne­geri Persekutuan sedia ada sebagai negeri Sabah, Sarawak dan Singapura mengikut instrumen perlembagaan yang dilampirkan kepada perjanjian ini dan selepas itu Persekutuan disebut sebagai ‘Malaysia’.”

Pertama kali dengan skema warna UM yang berbeza.

Sebagaimana kebiasaan sebarang perjanjian, terma yang termeterai adalah berdasarkan hubungan timbal-balik dan kesepakatan yang menjadi pengikat pihak-pihak yang bersetuju memeterai perjanjian. Maka sebarang apa yang ada dalam terma-terma MA63 haruslah dihormati oleh semua warganegara Malaysia.

Penghormatan ini membenarkan Sabah dan Sarawak hak quasi-autonomous melalui terma Artikel 8 MA63 untuk mengambil apa-apa langkah bagi maksud memastikan terma MA63 diterima pakai keseluruhannya ke atas Sabah dan Sarawak. Terma ini adalah pemangkin kepada hujahan yang mengatakan Sabah dan Sarawak tidak berkongsi acuan kebangsaan yang sama dengan Semenanjung. Namun hujahan ini sebetulnya tempang.

Acuan kebangsaan merujuk kepada terma-terma sosial dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi penggalas fabrik sosial di Malaysia keseluruhannya. Ini terma­suklah martabat yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan di bawah Perkara 3, peruntukan melibatkan kewarganegaraan di bawah Bahagian III, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 dan Perkara 161, hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri seperti diperuntukkan jelas dalam Perkara 153 serta kedaulatan Raja-Raja di bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan-peruntukan ini harus diangkat secara bersama untuk melihat apa itu acuan kebangsaan. Mendalami apa itu acuan kebangsaan adalah mustahak bagi memastikan jati diri negara Malaysia kekal utuh walaupun selepas 55 tahun negara bergerak maju merentas pembangunan.

Kerana itulah, amat perlu bagi keseluruhan Semenanjung, Sabah dan Sarawak mengenal elemen yang mewujudkan kesatuan kita sebagai rakyat sebuah negara. Tanpa jati diri yang sama, mustahil kesatuan ini mampu membentuk perpaduan.

Memahami keperluan ini, Sabah sudah jauh ke hadapan dalam menerima terma-terma sosial dan acuan kebangsaan. Sebagai contoh, walaupun Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan memberikan kelonggaran kepada Sabah dan Sarawak untuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi mengikut undang-undang di negeri ma­sing-masing, namun di Sabah, bahasa Melayu sudah pun diterima sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi melalui Enakmen Bahasa Kebangsaan (Pemakaian) 1973.

Malangnya di Sarawak, rakyatnya masih enggan mengambil langkah yang sama dan acuan kebangsaan yang digembar-gemburkan sedikit pun tidak mencuit hati rakyat Malaysia di Sarawak. Sedangkan pada rakyat di Semenanjung dan Sabah diikat oleh identiti yang sama, di Sarawak mereka amat bermegah dengan punya identiti yang berbeza.

Agak janggal bagaimana rakyat yang memegang kewar­ga­negaraan Malaysia tidak menerima acuan kebangsaan. Selepas 55 tahun, bila lagi kita, warga Malaysia mampu untuk bangkit menjadi saksi kepada pepatah di mudik sebulakan, di hilir semuara? Selamat hari Malaysia!

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.

* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada September 17, 2018. 

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)