Melestarikan SDG2030 dengan pendidikan (Utusan Malaysia 3 September 2018)
“PENGETAHUAN adalah kuasa. Maklumat membebaskan. Pendidikan adalah premis kemajuan, dalam setiap masyarakat, dalam setiap keluarga.” - Kofi Annan
Bagi tujuan melestarikan pembangunan global agar kemajuan yang dicapai bersifat menyeluruh tanpa meninggalkan hak-hak dan kepentingan golongan rentan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mewujudkan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030).
Dalam mukadimah Resolusi 70/1 oleh Sidang Umum PBB bertarikh 25 September 2015, SDG diperkenalkan sebagai agenda tindakan untuk manusia, planet dan kemakmuran global. SDG 2030 adalah kesinambungan daripada Matlamat Pembangunan Milenium (MDG 2015) dan merangkumi isu pembangunan lestari.
Antara 17 perkara yang diberikan penekanan adalah pembasmian kemiskinan, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan berkualiti yang menyeluruh dan saksama, kesaksamaan jantina dalam memperkasakan wanita serta pengurangan ketidaksamaan antara semua rakyat global.
Pada September 2015, selepas menghadiri Sidang Kemuncak PBB untuk Menerima Pakai Agenda Pembangunan Pasca-2015, Perdana Menteri telah mengumumkan komitmen Malaysia untuk melaksanakan agenda SDG 2030. Dalam Semakan Nasional Sukarela 2017, kerajaan Malaysia telah menyatakan langkah-langkah yang telah diambil kerajaan sejak 2015 untuk memastikan komitmen negara dalam agenda SDG 2030 benar-benar terlaksana.
Antaranya, dengan memastikan bidang pendidikan negara merangkumi semua rakyat Malaysia. Untuk itu, kerajaan telah melaporkan bahawa kadar kemasukan untuk sekolah rendah adalah 97.2 peratus manakala sekolah menengah adalah 90 peratus bagi 2016.
Penekanan kepada kemasukan rakyat Malaysia ke dalam institusi pendidikan adalah sebagai mematuhi komitmen di bawah SDG 2030 dalam memperkasakan masyarakat Malaysia melalui pendidikan yang saksama dan mampan.
Di Malaysia, pendidikan diangkat sebagai hak asasi yang perlu diberikan kepada setiap warganegara Malaysia tanpa sebarang diskriminasi selaras dengan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) sememangnya tiada peruntukan yang memaktubkan bahawa kewarganegaraan adalah salah satu syarat sebelum seseorang boleh diterima sebagai murid di sekolah kebangsaan yang dibiayai kerajaan.
Malah tafsiran `murid’ di bawah Akta 550 hanyalah merujuk kepada seseorang tanpa mengira umurnya, yang kepadanya pendidikan sedang diberikan di sesuatu institusi pendidikan. Namun melalui pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, dokumen pengenalan diri adalah diperlukan sebelum seseorang boleh didaftarkan ke mana-mana sekolah kebangsaan.
Justeru, masalah timbul bagi Orang Tidak Bernegara (OTB) kerana mereka tidak diiktiraf untuk dikeluarkan dokumen pengenalan diri. Hakikatnya, mereka adalah rakyat dan ahli masyarakat di Malaysia yang mampu untuk memberikan sumbangan kepada sosial dan ekonomi namun terbatas dek kerana kekangan dokumentasi.
Walaupun di bawah Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2009, Kementerian Pendidikan dengan jelas menerima kemasukan kanak-kanak warganegara Malaysia tanpa dokumen ke sekolah, namun terdapat dua syarat penting yang harus dibuktikan iaitu salah seorang sama ada ibu atau bapa kanak-kanak itu mestilah warganegara Malaysia.
Antara caranya adalah melalui surat pengesahan ketua kampung bahawa kanak-kanak berkenaan adalah anak kepada warganegara Malaysia. Syarat ini mengehadkan kemasukan mereka daripada komuniti OTB ke dalam institusi pendidikan terutama ke sekolah-sekolah kebangsaan.
Bagi memastikan komitmen Malaysia dalam agenda SDG 2030, kemasukan pelajar ke dalam sistem pendidikan sewajarnya dijadikan lebih inklusif dan saksama. Memahami kekangan kerajaan dengan peruntukan dana yang terhad, menjadi kewajipan kepada masyarakat Malaysia yang berkemampuan untuk menggalas kewajipan mendidik ahli masyarakat yang berada dalam golongan rentan seperti OTB. Antara jalan penyelesaian adalah dengan memperbanyakkan program pendidikan percuma melalui badan-badan kebajikan dengan menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan OTB. Pendidikan yang diberikan adalah satu-satunya jalan untuk memapankan taraf sosial dan ekonomi sesebuah masyarakat.
Realitinya, taraf sosial dan ekonomi sesebuah masyarakat perlu disemak secara keseluruhan dan bukan hanya terhad kepada masyarakat yang berkemampuan. Masyarakat Malaysia tidak akan dilestarikan dengan mampan jika masih ada yang terkebelakang dek kerana pendidikan yang tidak sampai kepada mereka yang amat memerlukan.
Mengabaikan kepentingan pendidikan yang lebih inklusif adalah mengekang pencapaian negara dan menyekat kemampuan individu untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan negara. Sebagai rakyat negara berdaulat Malaysia ini, kita hanya merdeka di jasad apabila kita bebas di akal. Selamat hari Merdeka.
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.
* Disiarkan melalui ruangan Cakna, Utusan Malaysia pada September 3, 2018.
Comments
Post a Comment