Mendidik pemimpin Malaysia yang buta tauladan (FMT 24 Ogos 2018)

Harga nyawa rakyat dalam TPPA

Sejak 2013 lagi, gabungan masyarakat madani seperti Bantah TPPA telah bangkit menentang pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Di bawah gabungan ini, masyarakat madani melepaskan perbezaan pegangan agama, bangsa, mahupun politik untuk menyatakan gema suara yang senada. Antara tuntutan yang dibawa oleh gabungan NGO ini adalah agar kerajaan Malaysia tidak menandatangani perjanjian tersebut oleh kerana pelbagai kesan yang tidak memihak kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Antaranya, TPPA mengikat keupayaan negara-negara ahli dalam hal membentuk dasar ekonomi negara, yang mana sebarang undang-undang atau polisi yang dibuat kerajaan haruslah mengambil kira terma TPPA dan memastikan polisi itu tidak menggugat penglibatan pelabur luar di pasaran Malaysia. Sepatutnya dalam mana-mana negara yang berdaulat, kepentingan utama yang harus dipelihara kerajaan yang memerintah hanyalah kepentingan rakyat yang mereka wakili. Namun dengan adanya TPPA, kepentingan pelabur asing menjadi lebih tinggi dan mulia mengatasi rakyat negara.

Dalam pada masyarakat dan rakyat terus bangkit membantah, pada 4 Februari 2016, akhirnya Malaysia akur dan tunduk kepada gesaan luar dengan menandatangani TPPA. Sejujurnya, penulis sedar sekalipun gegak-gempita rakyat Malaysia bangkit melaungkan Bantah TPPA, namun umum maklum perjanjian itu tetap akan diteruskan. Kelangsungan TPPA tetap terjamin dek ketakutan yang berjaya dicipta oleh AS untuk menundukkan negara-negara luar yang berunding dengannya.

Lihat saja contoh yang diberikan oleh John Perkins dalam buku ‘Confessions of an Economic Hitman’, bagaimana Bank Dunia dan AS, beserta agensi-agensi di bawahnya, telah memastikan pemimpin dunia yang enggan bekerjasama dengan tuntutan ekonomi AS didiamkan. Begitu juga dengan amaran yang diberikan oleh Naomi Klein dalam buku beliau, ‘The Shock Doctrine: The Rise of Disaster Capitalism’ yang banyak memanjangkan hujahan Noam Chomsky seperti yang beliau nukilkan dalam ‘Manufacturing Consent: The Political Economy of the Mass Media’.

Kisah seram yang diwar-warkan bagaimana AS tidak segan untuk menggunakan kekerasan sekalipun menyebabkan kematian beribu-ribu nyawa, sememangnya telahpun berlaku di banyak negara dunia ketiga. Dunia terdiam melihat bagaimana ramai pemimpin negara ‘mundur’ yang tunduk kepada kuasa besar AS akibat takutkan pembunuh upahan yang tidak kenal undang-undang. Begitu juga dengan negara-negara yang terpaksa menerima penindasan keras yang menjejaskan kelangsungan hidup rakyat mereka seperti di Chile, Guatemala dan Peru hanya kerana ingin memastikan kepentingan ekonomi AS di negara-negara ini dapat bercambah sihat walaupun dalam pada rakyat tempatan hidup tenat.

Mengambil tauladan daripada kisah-kisah penindasan ini, rakyat Malaysia harus berwaspada dalam penerimaan TPPA dan masih ramai yang giat menyuarakan bantahan kepada TPPA walaupun selepas kerajaan Malaysia memeterai TPPA. Namun akhirnya, dalam bulan Januari 2017, selepas dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengambil keputusan untuk menarik keluar AS daripada TPPA. Dalam konteks sempit ini, rakyat Malaysia patut ‘berterima kasih’ kepada Donald Trump kerana penarikan AS keluar daripada TPPA sekaligus menghentikan proses pemakaian perjanjian itu. Jika tidak, banyak bundak yang akan tercipta dalam ekonomi Malaysia. Kendatipun begitu, sedikit kegusaran masih wujud apabila dalam bulan April 2018, Donald Trump menyuarakan hasrat untuk mendalami kemungkinan AS menyertai semula TPPA.

CPTPP hantu momokan TPPA

Selepas bersilat dengan penarikan Amerika Syarikat daripada TPPA, timbul pula Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). CPTPP sebetulnya hanyalah jasad baru yang diisikan roh TPPA; walaupun nampak baru namun kebobrokannya tetap sama. Ketiadaan AS di dalam CPTPP tidak akan berjaya menenteramkan desas-desus yang mula mengetengahkan kebingungan terma CPTPP.

Perjanjian ini antara lain memperuntukkan kawalan ke atas monopoli Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) milik negara-negara ahli. Peruntukan di bawah Klausa 17 CPTPP akan memberi kesan yang besar kepada GLC seperti Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Telekom Malaysia (TM) yang selama ini mendapat perlindungan pasaran melalui peruntukan undang-undang negara. Jika CPTPP diteruskan juga, peruntukan undang-undang seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 [Akta 144] akan perlu, sedikit sebanyak, dipinda bagi memberikan ruang kepada negara-negara ahli CPTPP untuk meneruskan dengan obligasi masing-masing di bawah perjanjian itu.

Walaupun wujud 22 penangguhan sementara kepada CPTPP, termasuklah bagi perkara yang melibatkan sektor minyak dan gas, tetapi apa yang rakyat Malaysia harus fahami penangguhan ini hanyalah bersifat sementara dan tetap akan diteruskan juga apabila kesemua negara-negara ahli CPTPP bersetuju untuk menerima penuh terma-terma CPTPP. Sudahkah Malaysia sebagai sebuah sistem ekonomi global mampu untuk bersaing dengan pasaran CPTPP?

Keburukan perjanjian ekonomi global, sudahpun terbukti oleh Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang menyaksikan bagaimana akhirnya negara-negara ahli berantakan dan langsung mengubah polemik sosial mereka. Sebagai contoh, NAFTA antara punca pekerja dari Mexico mendapat tempat dalam pasaran AS namun penyudahnya mereka dikatakan sebagai pencuri pekerjaan rakyat AS.

Akhirnya migran haram dari Mexico dihantar balik dalam proses deportasi besar-besaran dek kerana tanggapan rakyat AS yang melihat pekerja Mexico sebagai punca masalah sosial mereka. Tanpa belas kasihan, pekerja-pekerja migran dikaut seperti parasit dan dihumban keluar sedangkan ekonomi AS ditampung berat hasil titik peluh pekerja migran ini. Sepanjang bulan Julai tahun ini, masyarakat dunia turut melihat bagaimana kejam AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, yang memisahkan kanak-kanak migran daripada ibubapa mereka semasa proses deportasi dijalankan. Alasan mereka bertindak tanpa perikemanusiaan hanyalah dengan menegaskan bahawa polisi imigrasi mereka tidak menyokong kemasukan pekerja haram.

Adakah Malaysia sudah lahap benar untuk mengulangi masalah ini di Malaysia? Sedangkan tanpa pelaksanaan CPTPP sekalipun, masalah migran negara sudah  meruncing. Apakah Malaysia bersedia untuk menerima kesan membuka pasaran ekonomi kepada buruh luar? Sedangkan golongan rentan seperti komuniti tidak bernegara di Malaysia masih terpekik lolong meminta bantuan dan pengiktirafan.

Orang tidak bernegara (OTB) sepatutnya mendapat tempat di pasaran ekonomi negara namun dipinggirkan tanpa tiada sesiapa yang membantu penglibatan mereka dalam pasaran Malaysia. Mereka telah lama bertapak di Malaysia dan ada di antara mereka yang mempunyai ikatan keluarga yang sememangnya mempunyai kewarganegaraan Malaysia. Namun dek mengikut menghormati kedaulatan undang-undang, mereka hidup sebagai melukut yang dipandang hujung mata.

Sebetulnya jika OTB diangkat sebagai penyumbang ekonomi negara secara sah, banyak kebaikan yang boleh dihasilkan mereka. Sebagai contoh OTB, dari komuniti Suluk, Bajau Darat dan Bajau Laut di Sabah mempunyai kepakaran selok-belok perairan negara ini. Jika mereka diterima sebagai tenaga yang menggerakkan industri perikanan, sudah tentu OTB dapat menyumbang dengan lebih pesat kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Sayangnya, pemimpin negara masih tidak belajar daripada sejarah dan enggan membuka minda dalam menangani isu OTB secara sistematik. Maka, jikapun 10 kerajaan silih berganti, tanpa pengiktirafan selayaknya, OTB tetap dianak tirikan tanpa pembelaan.

Jika nasib OTB di Malaysia masih samar-samar, apakah yang merasuk pemimpin negara yang tidak belajar tauladan dan kini terhegeh-hegeh membenarkan pekerja asing mencari jalan masuk untuk mengambil peluang bekerja dalam pasaran tempatan?

Maruah rakyat hanya komoditi

Kebobrokan ekonomi di AS sudah jelas apabila mereka hanya memperkayakan golongan bourgeoisie dalam pada terusan meminggirkan golongan murba terutama yang rentan. Jika Malaysia meneruskan dengan TPPA tentu saja sistem ekonomi negara akan dijangkiti juga barah yang membusung di AS. Lihat saja bagaimana dalam kesemua dokumentari filem yang diterbitkan oleh pengarah Michael Moore mendidik rakyat mereka betapa busuknya nanah jelik yang mengalir sebagai penghidup hayat ekonomi AS. Di AS, rakyat mereka hanyalah bernilai setakat untuk dijadikan hamba yang mencandak berat beban golongan kaya-raya.

Sistem penjagaan kesihatan Amerika Syarikat adalah antara yang termahal di dunia dengan perbelanjaan tahunan $3 trilion atau $9,523 setiap orang. Namun dengan harga yang sebegitu tinggi, sistem penjagaan kesihatan AS tersenarai sebagai salah satu yang terburuk di kalangan negara maju. Begitu juga dengan perkiraan komplek gaji minimum di AS yang melihat secara amnya ditetapkan sebanyak $7.25 sejam. Sedangkan di negara maju lain seperti di Australia, gaji minimum adalah $15 sejam. Di AS, perbezaan pendapatan di antara golongan kaya dan murba berterusan membesar dengan hampir 12% rakyat AS hidup dalam kadar kemiskinan.

Kerajaan AS juga tidak menjaga kebajikan pendidikan rakyat AS apabila mengikut angka yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan AS, di antara 2014 dan 2015, sebanyak 1,573 buah sekolah ditutup. Ini tidak termasuk penarikan dana kerajaan kepada perpustakaan awam di seluruh AS.

Sebagai negara maju, AS menghantar pesanan yang jelas kepada dunia: penjagaan kesihatan dan pendidikan bukanlah suatu isu penting. Mampukah Malaysia bekerjasama dengan negara yang dipenuhi rakyat yang dididik untuk merendahkan martabat kesihatan dan pendidikan?

Rakyat Malaysia tidak buta sejarah

Entah mengapa kerajaan Malaysia seringkali mengambil contoh dari negara barat untuk dijadikan modal penambahbaikan sistem negara. Walaupun tidak dinafikan ada baiknya dalam sistem yang lebih maju dari barat, namun perlu disiasati dengan teliti beberapa tauladan yang wajib dijadikan sempadan.

Baru-baru ini timbul pula cadangan oleh timbalan menteri kesihatan untuk mewujudkan sistem insuran kesihatan bagi golongan B40. Jikapun pada luarannya cadangan ini kelihatan selamat kerana kerajaan akan memberikan perlindungan insurans secara percuma kepada B40 namun hakikatnya jika cadangan ini diteruskan, langkah ini hanyalah permulaan kepada penghapusan sistem penjagaan kesihatan yang disubsidi hampir keseluruhannya oleh kerajaan Malaysia.

Tanpa mendalami cadangan ini, kita hanya akan dibuaikan dengan perkataan ‘percuma’ walhal harga yang rakyat perlu langsaikan di masa depan teramatlah tinggi. Sistem yang menggunakan perlindungan kesihatan sejagat di Malaysia buat masa ini adalah antara yang diakui terbaik di dunia. Kadar kematian maternal menyusut 89% di antara 1963 hingga 2013 dan jangka hayat di Malaysia meningkat kepada 75 tahun. Ini adalah pencapaian yang baik bagi sistem penjagaan kesihatan negara dan haruslah dipelihara dan ditambah baik lagi.

Dengan memasukkan elemen perlindungan insuran kepada golongan B40, sistem yang berjalan baik ini akan mula dihakis sedikit demi sedikit sehinggakan akan tiba masa apabila sistem kesihatan negara akan menyerupai keadaan di AS, di mana rakyat sejak tahun 2017 mula bangkit untuk menuntut lebih banyak subsidi diberikan kepada penjagaan kesihatan mereka. Apakah keperluan Malaysia meniru sistem yang sudah terbukti bobrok, busuk, nazak dan menunggu masa untuk mati di AS?

Sudah cukup daifkah idea kerajaan Malaysia sehingga sistem yang rosak pun ingin diimport masuk ke dalam negara? Kerajaan yang dilantik dengan mandat majoriti rakyat Malaysia haruslah bijak mengimbangi di antara tuntutan pasaran global dan keperluan menjaga amanah dan kebajikan rakyat negara ini. Jangan dek kerana tergila-gila menjarah pembangunan sehinggakan rakyat tergadai.

* Fatihah Jamhari ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ, sebuah NGO gabungan dalam MACSA. Tulisan di atas merupakan pandangan peribadi beliau sendiri dan tidak berkait dengan The Malayan dalam apa jua keadaan.

** * Disiarkan melalui Free Malaysia Today dan juga portal
TheMalayan Ogos 24, 2018.

Comments

Popular posts from this blog

Kebebasan Bersuara Yang Tidak Sama Rata (Unpublished 5 Jun 2017)

Menyusukan kera di hutan biarpun anak di rumah kebuluran! (Utusan Malaysia 12 Jul 2024)

Keadilan buat Penyewa – Tuan Rumah (Utusan Malaysia 7 Julai 2023)